suria

“Belanja aku RM18, lauk dia baru RM5” - Pemuda ‘musykil’ tengok penjaga kebun suka bayar orang makan, dapat jawapan selepas cuba tiru amalannya

Amalan seorang penjaga kebun yang suka bersedekah membuka mata lelaki berkenaan. Gambar hiasan

AMALAN bersedekah tidak akan sesekali menyebabkan seseorang itu miskin, sebaliknya ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah.

Mungkin ada yang mengambil ringan akan 'kuasa' sedekah, sehingga mereka terasa berat untuk melakukan amalan tersebut.

Namun hakikatnya, amalan bersedekah tanpa mengira apa jua bentuk, akan meluaskan lagi pintu rezeki buat seseorang.

Dalam satu perkongsian di Facebook Edi Arjuna Pencerita, dia berkongsi pengajaran daripada kisah bersedekah yang dialaminya sehingga membuatkan dirinya 'membuka mata' dan mula melakukan amalan berkenaan.

"Aku pernah bertanya kepada seorang tua. Dia ni, suka betul belanja orang makan. Padahal dia bukan orang senang. Duduk rumah kampung, kerja kampung, tiap pagi bawa cangkul naik motor buruk pergi menyangkul kebun orang.

"Orang bagi upah dia jaga kebun. Tapi tiap kali terserempak dengan dia dekat kedai makan, ada saja orang yang dia nak belanja," kongsinya.

Sehingga pada suatu hari, lelaki berkenaan terserempak dengan warga emas itu di sebuah kedai makan di kampung mereka dan seperti biasa, lelaki tua berkenaan mahu membayar harga makanannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejar saham akhirat, wanita ini sedekah buah ciku dengan jiran tak kira bangsa... ada yang mahu beli, tetap kasi percuma

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sedekah, peniaga letih jadi ‘mesin ATM’ makcik penagih dadah! Bagi RM3 ‘tak layan’, berdrama jika tak dipedulikan

"Ada sekali dia belanja aku lauk RM18, jenuh aku tolak tapi dia hulur juga dekat tauke kedai. Padahal lauk dia baru RM5.

"Patutnya aku yang kena belanja dia. Dah keluar kedai terus aku tanya dia 'eh, pakcik ada duit ke yang belanja saya ni?'.

sedekah 2

Amalan warga tua tersebut yang suka bersedekah menjadi ikutan lelaki berkenaan. Gambar hiasan

"Tahu dia jawab apa? Lapan belas ringgit tu memang dah rezeki hang, Tuhan tulis lama dah kat langit, saya tolong sampaikan ja. Bukan rezeki saya pun. Rezeki saya untuk hari ni yang lima ringgit ni ja," demikian dia mengimbas perbualan dengan pakcik tua berkenaan.

Jawapan warga emas itu serta merta membuatkan dirinya terkesima dan bermuhasabah menghayati pengajaran di sebalik kisah tersebut.

"Patutlah aku tak pernah nampak dia susah hati, tak pernah nampak dia mengemis, tak pernah nampak dia bersedih. Dok senyum saja 24 jam.

"Itulah rahsia dia, percaya dengan janji dan rezeki dari Allah. Dia pun dah kembali ke rahmatullah.

"Jika ada pahala sedekah aku untuk hari ini, aku sedekahkan pula untuk dia. Moga dihimpunkan dia bersama para wali dan anbiya," tulisnya.

Patutlah aku tak pernah nampak dia susah hati, tak pernah nampak dia mengemis, tak pernah nampak dia bersedih. Dok senyum saja 24 jam.

EDI ARJUNA

Disebabkan terkesan dengan kata-kata dan amalan warga emas berkenaan, lelaki tersebut cuba mempraktikkan perkara yang sama.

Dia turut berkongsi satu peristiwa di sebuah kedai makan apabila membayarkan harga makanan untuk seorang anak muda, baru-baru ini.

"Dia beli dua jenis lauk. Nampak lebih banyak berkuah dari isi. Semua sekali dia kena bayar RM6. Aku pun dah ready nak bayar untuk ayam goreng lapan ketul, gulai batang pisang sebungkus. Semua sekali RM30.

"Aku potong dekat kona. Simpan bang, saya belanja hari ni. Dia tengok aku. Betul ka bang?. Ya, saya bayar. Beli lauk dekat siapa?.Dekat mak. Terima kasih bang.

"Dia senyum tersimpul terus keluar kedai dan celapak naik motor EX5 yang macam dah nak luruh enjin. Kemudian, ada orang tua lelaki pun naik sama di belakang. Ayah dia kot. Nampak tua, terbongkok-bongkok.

sedekah 1

Amalan bersedekah sangat digalakkan di dalam Islam. Gambar hiasan

"Aku buat kesimpulan, lauk RM6 tu untuk tiga orang makan, mungkin juga lebih. Mungkin ada adik, mungkin ada entah siapa lagi dalam rumah mereka.

"Sedangkan aku, RM30 boleh makan ayam goreng seorang seketul tujuh beranak siap dengan gulai daging. Itu pun tak reti bersyukur, banyak complaint, berasa diri tak cukup serba serbi, berasa duit aku dah makin kurang. Apa punya manusia ni?" kongsinya lagi.

Sehingga kini posting lelaki berkenaan meraih lebih 2,600 shares di Facebook.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan rasa terharu dengan perkongsian yang menjentik seribu keinsafan buat mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain