suria

Tak mampu beli mainan anak, guru gaji ciput jual air tin, kasut bundle demi income lebih... akhirnya dapat bawa isteri masuk kedai emas

Cikgu Fadhli berkongsi kisahnya mencari pelbagai sumber rezeki bagi menjana pendapatan sampingan. Foto: Facebook Mohd Fadhli Salleh

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan perjalanan hidup guru ini yang berkongsi kisah hidupnya 'bergelut' mencari rezeki sebelum akhirnya meraih pendapatan selesa untuk keluarga.

Menurut guru ini yang tidak asing lagi di laman Facebook, Mohd Fadli Salleh, dirinya dahulu hanyalah guru biasa yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai seorang pendidik.

Namun dia mula beransur-ansur melakukan perubahan, semuanya didorong oleh kesedaran untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak dan isterinya.

"Saya nak kongsi sedikit sisi buruk saya dulu-dulu. Awal-awal dulu, saya pemalas pait (pahit). Betul-betul harap gaji jadi cikgu je. Langsung tak ada buat kerja tambahan. Cukuplah sekadar untuk hidup dan makan.

cikgu 3

Cikgu Fadhli berkhidmat sebagai pendidik di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

"Sehinggalah lahir anak pertama, kos anak-anak ni besar. Dan saya ingin yang terbaik untuk anak saya. Minum susu mahal, botol susu mahal, pampers mahal. Maklumlah, anak pertama. Semua nak yang terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: Geram martabat guru diperlekeh, Cikgu Fadli pertahan pengajar DidikTV dimalukan gara-gara slang Bahasa Inggeris tak macam ‘mat salih’ - “Yang mana hebat tu cuba mengajar live!”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan buka sekarang, saya malu” - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut

"Di situ mula terasa struggle, duit tak cukup. Tapi masih malas dan bertahan dengan gaji kecil tu. Sampai anak saya usia tiga tahun, dapat anak kedua pula. Anak dah dua, perit bergandalah. Tambah-tambah hidup dekat kota raya ni," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

Pernah satu ketika, imbas guru ini, dia tidak mampu membelikan mainan untuk anaknya, malah tidak membawa anak dan isterinya bercuti seperti keluarga lain.

"Teruk saya menung sendirian masa tu. Memang rasa loser. Rasa suami dan ayah yang tak berguna.

"Ayah apa aku ni anak nak mainan RM19 pun tak mampu beli? Sebiji kek hari jadi untuk isteri pun tak pernah beli.

"Oh ya, saya gaji cikgu diploma je. Kecik wei. Gaji permulaan tak sampai RM1,000 pun. Dah tu ada pula buat personal loan, yuran kebodohan zaman bujang. Dah tanggung beban bulanan bertahun-tahun lama.

cikgu 1

Anak dan keluarga menjadi pendorong utama untuk Cikgu Fadhli keluar dari zon selesa.

"Start dari situ saya cakap pada diri yang saya kena keluar dari zon selesa. Saya kena buat apa saja untuk ubah ekonomi diri dan keluarga," kongsinya.

Bertitik tolak dari situasi itu, Mohd Fadli mula menjual air tin dan kasut bundle di Uptown pada sebelah malam untuk meraih pendapatan sampingan.

Sungguhpun penat ditambah tidak mendapat tidur yang mencukupi demi mencari rezeki lebih, Mohd Fadli mendedahkan dia sama sekali tidak pernah membiarkan isterinya membantu kerana menyedari tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

"Bertahun-tahun saya begitu. Gigih buat apa jua kerja tanpa kira penat ke, letih ke apa. Janji rezeki halal untuk dibawa pulang. Dan benarlah janji tuhan, barang siapa berusaha tanpa meninggalkan doa, pasti Allah beri ganjaran.

Kita lelaki. Kita anak jantan. Isteri dan anak-anak tu tanggungjawab kita. InsyaAllah satu masa yang tepat, Allah akan murahkan rezeki kita.

MOHD FADHLI SALLEH

"Sedikit demi sedikit ada perubahan positif dalam income saya. Makin lega dan mula ada simpanan kecemasan, simpanan untuk hadiah isteri, simpanan untuk bercuti.

"Setelah sembilan tahun berkahwin, kali pertama saya tarik isteri saya masuk kedai emas dan saya suruh dia pilih barang kemas mana yang dia nak. Menangis isteri saya masa ni," luahnya lagi.

Dan buat pertama kalinya juga, selepas sembilan tahun perkahwinan, Mohd Fadlli membawa keluarganya bercuti.

cikgu 4

Cikgu Fadhli (depan) juga merupakan orang kuat pertubuhan kebajikan Dana Kita.

"Aku bawa mereka ke Kundasang, Sabah. Punya seronok anak isteri, akhirnya dapat pergi bercuti.

"Begitulah sedikit sebanyak kisah hidup aku. Harap perkongsian ini ada la memberi semangat kat kawan-kawan lelaki terutamanya yang masih struggle saat ini.

"Kayuh saja brother. Rempuh apa saja. Kita lelaki. Kita anak jantan. Isteri dan anak-anak tu tanggungjawab kita. InsyaAllah satu masa yang tepat, Allah akan murahkan rezeki kita," tulisnya.

Posting Mohd Fadli sehingga kini meraih lebih daripada 3,800 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain