suria

Terpesona lihat bunga ros muncul depan mata, dua gadis tiba-tiba lemas! Pelik geng abang motor tak bantu walau jerit minta bantuan

Kejadian berlaku di sungai di Hulu Langat, Selangor.

PADA awalnya ingin berseronok dan menikmati barbeku bersama rakan-rakan, tetapi situasi berubah menjadi tragedi yang mengakibatkan trauma.

Begitulah pengalaman Shasha Afifi yang bekerja di bahagian pentadbiran di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dia lemas akibat tergelincir ketika cuba menyelamatkan rakannya yang juga hampir tenggelam dalam sungai.

Shasha, ketika dihubungi mStar memberitahu, dia sememangnya seorang yang 'takut air' termasuklah laut dan sungai kerana pernah ternampak seekor ular semasa zaman kanak-kanak.

Wanita berusia 25 tahun dan berasal dari Balakong, Selangor itu berkata tragedi berlaku pada 8 Januari lalu ketika dia keluar berkelah bersama rakan-rakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Inilah wira! Remaja pantas kayuh perahu selamatkan budak nyaris lemas, netizen puji semangat berani redah ombak besar

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu leka dengan telefon, anak kecil nyaris lemas dalam kolam renang... mujur ada hero umur 11 tahun pantas selamatkan

Pada awalnya, mereka bercadang untuk pergi Sungai Tekala di Semenyih tetapi tempat tersebut tutup, justeru mereka menuju ke lokasi lain di Hulu Langat.

Walaupun berkunjung pada hujung minggu, sungai di situ agak sunyi kerana pelawat dikenakan bayaran untuk masuk ke kawasan tersebut.

Shasha berkata, ketika tiba, di situ hanya ada dia dan lima rakan yang lain serta sekumpulan penunggang motosikal.

Kejadian Shasha lemas bermula apabila dia sedang duduk di atas batu dan seorang rakannya teruja melihat bunga ros muncul di permukaan air.

“Ada bunga ros terapung atas permukaan air sungai depan dia. Saya pun marahlah dia cakap jangan pegang.

“Tiba-tiba kawan saya tu lemas, saya pun hulur tangan untuk selamatkan dia. Pada ketika itu rasa macam kena tarik arus.

“Saya sempat minta dia untuk tidak terus tarik saya sebab takut lemas juga tapi malangnya kami berdua sama-sama lemas juga,” ujarnya.

Tiba-tiba kawan saya tu lemas, saya pun hulur tangan untuk selamatkan dia. Pada ketika itu rasa macam kena tarik arus.

Shasha Afifi

Shasha berkata, sungai tersebut agak dalam dan kakinya yang tidak dapat jejak bahagian dasar membuatkan dia bertambah panik ketika hampir tenggelam.

Ketika Shasha dan rakannya hampir tenggelam, seorang rakan lelakinya yang pandai berenang cuba untuk menyelamatkan mereka.

“Kawan lelaki tu cakap dia rasa macam ada orang tarik saya semula, jadi saya lemas sekali lagi dalam sungai," katanya yang bersyukur dia dan seorang lagi rakan bagaimanapun berjaya diselamatkan.

Selepas Shasha sedar, kawan-kawannya memberitahu bahawa dia juga meracau, menjerit-jerit walaupun tidak sedarkan diri.

Apa yang membuatkan dia lebih hairan, ketika mereka berdua sedang lemas, kumpulan 'mat motor' yang berada dekat situ langsung tidak menghiraukan mereka.

Shasha berjaya diselamatkan oleh rakannya.

“Saya pelik sebab semasa kami semua sedang bergelut dalam sungai, sekumpulan penunggang motosikal tersebut tidak berikan pertolongan.

“Kami dah jerit minta tolong, tiada yang berikan bantuan. Rasa kecewa sedikitlah,” ujarnya.

Shasha amat berterima kasih kepada rakan lelakinya, Zainur dan Aiman yang melakukan usaha menyelamat.

Shasha berkata, ibu kepada salah seorang daripada rakannya juga membacakan doa di telinganya ketika dia sedang meracau dan keadaannya bertambah baik selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan kembali cemas apabila dalam perjalanan pulang Shasha tiba-tiba sesak nafas dan terus dibawa ke Hospital Serdang.

Shasha dimasukkan ke Hospital Serdang selama satu malam.

Setelah satu malam berada di hospital, doktor mengesahkan dirinya dalam keadaan baik susulan pemeriksaan yang dilakukan pada hari sebelumnya.

Shasha kini semakin sihat tetapi tidak mempunyai keberanian untuk mandi sungai.

“Seandainya saya pergi ke sungai lagi, saya akan lebih berhati-hati dan jadikan peritiwa ini sebagai pengajaran.

“Jaga percakapan, tak mahu terlalu seronok. Saya rasa sungai tersebut okay sahaja, kami yang tak berapa jaga percakapan,” katanya.

Antara komen netizen di TikTok.

Video yang dimuatnaik melalui akaun TikTok tersebut meraih lebih 170,000 tontonan dan 7,000 tanda suka.

“Orang dulu-dulu ada cakap ‘suka-suka lama-lama jadi duka’. Jadi, jangan terlampau suka sangat, malang tak berbau.

“Saya pernah lemas. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, saya pandai berenang.

“Tapi kalau bermandi-manda di lata memang banyak pantang larang. Kalau bab bakar-bakar makanan pun ada pantang larang dia. Ada yang boleh, ada yang tak boleh,” demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain