suria

“Dah la laluan orang kampung” - Pelajar asrama teringin makanan luar kebiasaan, peniaga menggigil hantar... mujur ada alat khas

Lelaki ini menghantar makanan di pagar belakang sekolah asrama.

TINGGAL di asrama berjauhan dengan keluarga pastinya membantu mematangkan diri seseorang.

Kehidupan di asrama nyata mengajar anak muda untuk berdikari dan tidak hanya menunggu semuanya datang bergolek.

Namun begitu, perlu diingat mereka ini masih mahu menikmati zaman remaja dengan mencuba perkara baharu serta inginkan kebebasan.

Dalam satu video tular, peniaga dan penghantar makanan, Syahid Abas, 27, dilihat membantu pelajar sekolah berasrama penuh untuk 'menyeludup' makanan dari pagar belakang.

"Saya berniaga makanan Korea di Semabok, Melaka. Nak dijadikan cerita ada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh tingkatan enam berdekatan dengan tempat saya berniaga ni order makanan saya.

"Mungkin dia nampak iklan di media sosial. Saya pun tak fikir panjang ambil je order dan pergi hantar, orang kedai saya pun cakap tak elok kalau tolak rezeki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Boleh buat series Netflix” - Licik ‘bisnes haram’ di hostel sebab terdesak, pemuda insaf aniaya rakan sampai kena gantung sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak hiba balik asrama, walau nangis tak putus beri bermacam nasihat untuk ibunya - “Tak sampai 15 minit dia call tanya ibu sihat?”

"Saya pula kali pertama hantar ke situ, baru tahu yang sebenarnya asrama tu tak bagi bawa masuk makanan dari luar, ada warden jaga dekat depan.

"Jadi pelajar tu beritahu saya untuk hantar makanan ikut pagar belakang," kata Syahid ketika dihubungi mStar.

Menurut Syahid, kejadian itu berlaku dua tahun lalu dan ketika itu negara masih dalam fasa peralihan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya mula-mula risau juga nak ikut macam apa pelajar itu minta buat, kalau orang tengok nanti orang cakap apa pula.

Jadi nasihat saya kepada pelajar asrama selepas ini, ikutlah peraturan yang ditetapkan, kita tak tahu rasional di sebaliknya.

SYAHID ABAS

"Belakang tu dah la laluan yang digunakan orang kampung, nanti mereka ingat saya nak buat benda bukan-bukan dekat belakang asrama perempuan.

"Saya cuma nak hantar makanan je. Saya pun risau kalau pihak asrama tahu, saya juga yang kena nanti sebab apa yang saya buat ni dah kira langgar peraturan mereka.

"Tapi saya kesian dekat pelajar tu, mereka teringin nak makanan luar kebiasaan. Lagipun waktu tu Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 ketat dan mereka tak boleh keluar langsung dari asrama," ujar Syahid.

Syahid juga memaklumkan dia menunggu dua tahun untuk memuat naik video tersebut kerana risau 'suhu' yang panas pada ketika itu mungkin boleh menyebabkan dia mendapat kecaman.

Syahid di gerainya yang menjual makanan Korea.

"Waktu zaman Covid-19 tu kita dapat tengok viral sana-sini orang langgar SOP. Ramai yang marah-marah.

"Itu sebabnya baru sekarang saya upload sebagai kenang-kenangan, dulu saya simpan sendiri je," ujar Syahid.

Selesai menghantar pesanan makanan buat kali pertama di sekolah berasrama penuh itu, Syahid mendapat pesanan buat kali kedua dari sekolah asrama yang sama.

"Saya macam 'alamak' nak kena pergi hantar lagi sekali ke dekat pagar belakang tu. Dah la order kali ini banyak, dekat 12 bungkus.

"Ada ramen semua mereka order mungkin kawan hari tu recommend. Saya tahu apa yang saya buat ni salah tapi saya kesian dekat mereka.

"Waktu diaorang order tu dah malam dan saya diberitahu oleh kawan yang asrama tu ada kantin atau kafeteria tapi petang dah tutup.

Syahid menunjukkan menu hidangan citarasa Korea yang dijualnya.

"Mereka mesti kelaparan ni lepas dah ulang kaji perah otak nak makan. Lagipun makanan dekat kantin tu menu yang berulang, mereka pun manusia mesti la nak merasa benda baharu juga.

"Jadi saya pun terima order tu dan pergi hantar," cerita Syahid.

Setibanya di sana, apa yang dilihat Syahid mengejutkannya kerana pelajar itu sudah menyediakan 'sistem takal' untuk menarik makanan tu ke atas pagar dan masuk ke dalam.

"Saya nampak mereka ikat kain dan baju kurung jadi macam tali dan sambungkan ke sebuah beg. Saya cakap memang kreatif budak-budak ni.

"Saya tak buang masa dan terus letakkan makanan dalam beg tu. Risau nak tunggu lama-lama, ini kalau orang nampak ni memang macam-macam sangkaan boleh keluar, lain macam situasi dia.

Gerai Syahid di Semabok, Melaka.

"Lepas dah letak makanan dalam beg tu mereka pun angkat ke atas untuk diambil. Ini first time saya menghantar makanan guna sistem macam ini," kata Syahid.

Walaupun niat Syahid baik, dia mengakui tetap dikecam kerana melanggar peraturan asrama tersebut.

"Ada yang cakap saya tak patut buat macam tu. Makanan dari luar kita tak tahu kebersihan dia macam mana, kalau ada keracunan makanan pihak asrama juga yang kena tanggung.

"Ada sebab mengapa peraturan itu diwujudkan. Saya pun fikir ada betul juga tu. Selain itu ada juga yang cakap saya nak tutup periuk nasi pengusaha kantin asrama tu.

"Yang ini dah tak betul la. Saya tak ada niat langsung nak buat macam tu. Saya memang hantar makanan tu sebab kesian dekat budak-budak tu," katanya.

Syahid menasihatkan pelajar asrama supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana terdapat sebab dan rasional di sebaliknya setiap peraturan yang ditetapkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain