suria

Ibu ‘hilang’ di hospital, puas anak cari rupanya dah meninggal... hajat tertunai di Tanah Suci - “Mama senyum bilang hari”

Nazwan bersama arwah ibu di Tanah Suci.

TIADA siapa dapat menjangkakan seorang ibu akan menghembuskan nafas terakhir ketika pertama kali menunaikan umrah.

Jemaah wanita itu meninggal dunia di sebuah hospital di Madinah pada hari Jumaat, sehari sebelum dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke tanah air.

Berkongsi cerita kepada mStar, anaknya, Muhammad Nazwan Naziruddin Bahruddin berkata, dia tiba di Jeddah, Arab Saudi pada 6 Januari lalu.

mak meninggal umrah 6

Bersama keluarga di lapangan terbang sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, kunjungan mereka sekeluarga ke Tanah Suci dibuat selepas ibunya, Che Wan Rahimah Che Wan Malim sering menyuarakan hasrat untuk ke sana.

"Saya dan mama (panggilan ibu) bersama makcik, pakcik dan nenek menyertai rombongan. Memang kami semua nak pergi buat umrah.

"Mama teringin sangat nak ke Tanah Suci, malah pernah menyatakan yang dia reda sekiranya meninggal dunia di sana," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Nazwan, katanya, ibunya yang berusia 50 tahun menghidap penyakit kanser ovari tahap empat sejak lima tahun lalu.

mak meninggal umrah 3

Ibu Nazwan menggunakan kerusi roda sepanjang berada di Tanah Suci.

Walaupun dalam keadaan kurang sihat, ibunya yang berasal dari Dungun, Terengganu itu tetap bersemangat untuk menunaikan umrah.

ARTIKEL BERKAITAN: Laungan azan terakhir... Anak dijemput Ilahi sehari selepas ibu tiba di Tanah Suci, langit terang ketika kebumi jenazah 2 pagi

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata iringi kepulangan jemaah haji, ibu rindu arwah anak bongsu... Momen tidur bersama sebelum ke Makkah jadi kenangan terakhir

"Sepanjang masa saya bersama dengan mama. Saya sentiasa pantau keadaan mama di sana, dengan pergerakannya menggunakan kerusi roda.

"Selepas hari ketiga di Madinah, mama mula tak sihat dan sesak nafas. Mama dibawa ke hospital Madinah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," ujarnya.

mak meninggal umrah 5

Arwah ibu Nazwan (hadapan) bersama nenek (kanan), bapa saudara (kiri) dan ibu saudara.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, ibunya koma selama tiga hari dan dia berdepan detik cemas apabila tidak menjumpai ibunya di hospital pada hari ketiga.

"Petang Jumaat tu (13 Januari) saya cari mama di ICU, tapi tak ada. Pergi cari di bahagian kecemasan pun tak ada. Saya cuak sampai cari satu hospital.

"Saya minta bantuan mutawif sebab mak 'hilang'. Rupa-rupanya mak dah meninggal dunia pada petang Jumaat," katanya sambil menambah jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' di Madinah pada hari yang sama.

mak meninggal umrah 4

Arwah ibu Nazwan di Makkah.

Mengakui terkilan kerana tidak sempat melihat ibunya buat kali terakhir, namun Nazwan yang bertugas sebagai juruteknik itu reda dengan ketentuan Ilahi.

"Alhamdulillah, permintaan dan hajat mama sudah tertunai. Sebelum ini, mama nak sangat pergi ke Tanah Suci dan mama dapat menyempurnakan hajatnya.

Alhamdulillah, permintaan dan hajat mama sudah tertunai.

NAZWAN

"Mama meninggal dunia petang Jumaat. Malam tu saya sudah berangkat ke Jeddah untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia pada pagi Sabtu.

"Sepatutnya saya nak extend berada di Madinah sebab nak jaga mama di ICU, tapi mama dah 'pergi' dahulu sehari lebih awal," katanya yang turut berkongsi video mengenai perjalanan arwah ibunya menunaikan umrah, di TikTok.

mak meninggal umrah 2

Nazwan (kanan) menunaikan hasrat ibunya untuk ke Tanah Suci.

Menyifatkan ibunya sebagai seorang penyayang dan suka bersedekah, Nazwan mengimbas kembali detik-detik terakhir sebelum ibunya dimasukkan ke hospital dan koma.

"Mama tanya saya hari ini hari apa. Mama siap bilang hari. Saya jawab hari ni Rabu, dan mama pun senyum. Memang Allah permudahkan urusan mama, dia pergi pada hari Jumaat.

"Allah sayang mama. Mama menanggung kesakitan selama lima tahun. Allah dah tarik kesakitan mama selama-lamanya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan