suria

“Nikmatilah hobi ini” - Gila kumpul photocard artis K-Pop... orang lain kata membazir, pemuda ini cuma nampak ‘duit’

Haziq mula mengumpul kad foto pada 2020.

WALAU dikritik 'membazir', lelaki ini menganggap bahawa hobi mengumpul kad foto merupakan satu pelaburan untuk jangka masa panjang.

Ketika dihubungi mStar, Haziq Zul Azfar Hisham, 21, dari Telok Panglima Garang, Selangor berkata dia mula aktif mengumpul kad foto dan buku foto kumpulan K-pop pada 2020.

Dia yang juga pelajar jurusan Sains Bioperubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui pada awalnya hanya mahu mencuba hobi ini kerana ingin mengetahui bagaimana perasaan mengumpul kad foto seperti yang dilakukan orang lain.

Pemuda ini berkata lama-kelamaan, dia semakin teruja apabila mendapat kad foto artis kegemarannya kerana biasanya kad foto yang diterima adalah secara rawak.

Haziq menggunakan media sosial untuk memberi penjelasan mengenai hobi mengumpul kad foto.

“Sesetengah orang tak tahu hobi mengumpul kad foto ini sebenarnya satu pelaburan atau 'investment'.

“Ada juga yang anggap ia pembaziran... mereka tidak tahu harga sebenar kad foto tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Pelajar ini berkata dia meminati ramai artis dari Korea Selatan, antaranya BTS, Blackpink, GOT7 dan banyak lagi.

Haziq juga memberitahu dia pernah ditemubual oleh sebuah stesen TV mengenai hobinya dan ia memberi impak positif kepada peminat K-pop yang lain.

Sesetengah orang tak tahu hobi mengumpul kad foto ini sebenarnya satu pelaburan atau 'investment'.

Haziq Zul Azfar Hisham

“Selepas temubual tersebut disiarkan, ibu bapa yang anak mereka mempunyai hobi mengumpul kad foto ini mula faham yang ia bukanlah satu pembaziran kerana boleh dijual semula,” ujarnya.

Haziq berkata buat masa sekarang, dia mempunyai kira-kira 200 keping kad foto artis K-pop dan sebahagian daripadanya menjadi antara paling mahal pernah dibeli.

Menurutnya, kad yang mahal biasanya berharga lebih dari RM125 yang memaparkan wajah artis-artis popular.

“Kalau untuk kad foto, selalunya harga berbeza bergantung pada kumpulan itu sendiri. Kalau lebih popular, harga kad tersebut akan lebih mahal.

“Selain itu, harga kad foto setiap ahli kumpulan juga berbeza. Antara yang mahal adalah Mingyu (Seventeen) dan Jaehyun (NCT).

“Selalunya, saya akan bertanya kepada rakan-rakan tentang harga kad foto tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Peminat K-Pop terjerit-jerit teruja jumpa ‘idol’ depan mata, tapi ‘potong mood’ makcik Rela buat muka... Siap halang nak bergambar!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dapat isteri BTS army, suami reda ‘merchandise’ K-pop penuh bilik tidur... Tapi mengadu foto kahwin hanya belakang TV!

Katanya, platform terbaik untuk membeli kad foto artis-artis kegemarannya adalah TikTok, Twitter, Telegram dan Shopee.

“Selalunya, jika saya memerlukan duit atau rasa macam nak beli sesuatu yang saya inginkan, saya akan jual kad foto tersebut.

“Kalau saya buat ‘live’ di TikTok, ramai akan tanya bila saya nak jual kad foto dalam koleksi.

“Apabila menjual kad foto tersebut, kebiasaannya harga yang dijual lebih tinggi dengan harga asal yang dibeli sebelum ini,” katanya.

Mengakui sedang seronok dengan hobi ini, Haziq juga sedar ia hanya satu fasa dalam kehidupan dan bersedia dirinya mungkin hilang minat ketika usia meningkat.

Haziq berkata harga kad foto boleh mencecah lebih RM125 sekeping.

Namun begitu, dalam masa terdekat dia masih belum terfikir untuk meninggalkan hobinya ini.

“Untuk mereka yang sedang mengumpul, semoga berjaya dan nikmatilah hobi ini.

“Kalau tak mampu nak beli dalam jumlah yang banyak, tak mengapa. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

“Pastikan sebelum membeli barang-barang K-pop, semak maklum balas pembeli lain terdahulu, tengok harga dan jika terlalu mahal, jangan beli sebab nanti membazir,” katanya.

Haziq juga berharap orang ramai cuba memahami keseronokan hobi ini sebelum memandang rendah apa yang disukai peminat-peminat K-pop.

“Saya tak marah pun segelintir orang yang tak tahu tentang kad foto ini, saya selalu akan upload video menerangkan tentang hobi saya supaya mereka boleh lebih faham.

“Kami sebagai peminat K-pop boleh je sokong hobi-hobi orang lain selagi tak melanggar hukum agama,” katanya.

Antara komen netizen di TikTok.

Video yang dimuatnaik di TikTok itu meraih 22,000 tanda suka dan 230,000 tontonan, kebanyakannya dilihat oleh peminat K-pop yang faham tentang hobi ini.

“Boleh gantikan emas kalau nak melabur.

“Itu ibarat harta pusaka. Kalau rasa tak ada duit, jual sahaja.

“Orang lain kalau nak beli barang mesti cari cara nak dapatkan duit, kita tinggal nak jual sahaja kertas tersebut.

“Ini saya tak nampak sebagai photocard, saya nampak sebagai duit sahaja.

“Semua konsert, album, photocard mungkin boleh beli iPad satu, selepas itu deposit kereta pun boleh dibayar,” demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan