suria

Murid 7 tahun takut nampak sekolah, mengamuk teruk... doktor kata ada anxiety - “Cikgu garang alasannya paling kuat”

Seorang kanak-kanak enggan ke sekolah akibat menghidap anxiety.

MENGAMUK, sering menangis dan enggan ke sekolah, itu sikap murid perempuan berusia tujuh tahun yang mengadu takut dengan cara didikan gurunya.

Menurut ibunya, Nursyafiqah Halid, 33, masalah itu bermula apabila anaknya menolak untuk pergi ke sekolah walaupun pada masa itu dia baru belajar kurang dari seminggu.

Ketika dihubungi mStar, Nursyafiqah menceritakan semula kisah mengenai perubahan drastik anaknya, Nurnaylaa sehingga dia terpaksa dipindahkan ke sekolah lain.

“Awal-awal masuk dia okay, tapi dalam tiga hingga empat hari belajar, dia mula tak nak ke sekolah.

“Setiap pagi dia akan menangis, mengamuk untuk ke sekolah. Untuk budak-budak yang tiada masalah, sekolah adalah satu tempat yang best. Tapi tidak pada anak saya.

“Sampai satu masa, dia betul-betul menolak untuk ke sekolah. Amukan dia semakin ganas. Alasan paling kuat adalah 'cikgu garang',” ujarnya.

Ibunya terpaksa teman si anak ketika berada di sekolah.

Bagaimanapun, tegas Nursyafiqah, dia sedikit pun tidak bermasalah dengan guru yang bersikap garang selagi tidak mendatangkan kecederaan kepada murid.

Percaya bahawa paksaan bukanlah cara terbaik bagi memujuk Nayla, wanita itu akhirnya akur untuk anaknya belajar secara ‘homeschooling’.

Bagaimanapun, Nursyafiqah yang merupakan suri rumah sepenuh masa tetap bimbang melihat keadaan anaknya, justeru Nayla dibawa berjumpa pakar psikologi kanak-kanak.

“Kebetulan makcik kepada suami adalah doktor pakar psikiatri kanak-kanak. Saya refer kes Naylaa ni kepada dia.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Tengah jalan hilang pertimbangan, menggigil” - Diserang anxiety masa memandu, wanita terus telefon polis minta bantuan

ARTIKEL BERKAITAN: Suami geram ramai anggap isterinya hidap anxiety ‘mengada’, mengaku dulu diri sendiri pun pernah rasa bini ‘attention seeker’

“Terus dia cadangkan untuk rujuk ke bahagian psikiatri kanak-kanak. Di situlah bermulanya Naylaa didiagnos sebagai anxiety. Anxiety with history of extreme premature dan ada juga pakar yang beritahu dia hidap autism spectrum disorder.

“Selepas dia dirujuk ke pakar... ada beberapa pelan yang dicadangkan untuk bawa dia kembali ke sekolah. Pakar cadang untuk buat rutin yang sama setiap hari step by step. Seperti contoh bangun pagi, mandi, pakai uniform tapi tak pergi sekolah,” kata Nursyafiqah.

Selepas beberapa hari Syafiqah melakukan rutin yang sama terhadap anaknya, dia menambah rutin lain seperti masuk ke dalam kereta tapi tidak pergi ke sekolah.

Rutin tersebut dilakukan si ibu sehinggalah Naylaa yang merupakan anak sulung kembali terbiasa dengan rutin sama dan boleh menjejakkan kaki ke sekolah setelah lebih tiga bulan berada di rumah.

Perkara paling sukar untuk kami bila mana dia mula tantrum sebab tak dapat mengawal emosi.

NURSYAFIQAH

Walaupun tempoh yang lama diperlukan untuk pergi ke sekolah, Naylaa masih berasa takut untuk apabila melihat bangunan tempat belajar itu sehingga ibunya terpaksa menemaninya di kelas.

Ikhtiar seterusnya adalah menukar anaknya ke sekolah baharu, tetapi masih tidak berjaya apabila Naylaa masih mengamuk.

Sejak itu dia diberikan ubat untuk mengawal anxiety setelah berjumpa pakar.

“Sekarang Naylaa dah boleh pergi sekolah. Dia masih bergantung pada ubat. Setiap hari dia kena makan ubat.

“Sekarang dia tak ada masalah untuk bersiap, cuma dia akan bersikap agresif bila nak sampai ke sekolah.

“Walaupun tak sepenuhnya okay, tapi dah menampakkan perubahan yang positif. Alhamdulillah, guru-guru dan kawan-kawan dia sangat supportive untuk bantu dia di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Nursyafiqah yang memiliki tiga cahaya mata turut menceritakan pengalamannya menjaga dan menguruskan anaknya serta dalam masa sama perlu mengawal emosi serta kesihatan mental.

Naylaa terpaksa dipindahkan ke sekolah lain sebagai ikhtiar daripada ibu bapanya.

Dia yang sudah berumah tangga lebih lapan tahun turut menitipkan pesanan buat ibu bapa lain terutama sekali golongan yang menghadapi masalah sama seperti dirinya.

“Perkara paling sukar untuk kami bila mana dia mula tantrum sebab tak dapat mengawal emosi.

"Bila dapat tahu fasal Naylaa, kami rasa okay saja sebab dah bersedia untuk terima apa sahaja kemungkinan. Disebabkan dia lahir pramatang, banyak kemungkinan yang boleh jadi.

“Nasihat saya, kepada mereka yang ada masalah sama, selami dulu masalah anak, apa yang dia rasa. Sebab segala tindakan mereka ada puncanya. Bila dah tahu punca baru kita dapat selesaikan masalah satu persatu,” ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain