suria

“Dialah yang buat oden... dialah semua” - Netizen simpati staf kedai serbaneka urus pelanggan seorang diri, macam tiada ‘famili’

Tular foto pekerja kedai serbaneka melakukan pelbagai tugasan seorang diri di kaunter.

BEKERJA dalam sektor makanan dan minuman (F&B), termasuk peruncitan bukan sesuatu yang mudah seperti disangkakan.

Lebih-lebih lagi ketika waktu puncak dengan kehadiran ramai pelanggan hingga menyebabkan petugas tidak menang tangan.

Tular di media sosial beberapa foto yang merakamkan seorang pekerja di kedai serbaneka FamilyMart dilihat melaksanakan pelbagai tugasan bersendirian di kaunter.

"Dialah juruwang, dialah buat aiskrim, dialah panaskan wrap, dialah yang buat oden, dialah yang buat ramen cheese, dialah basuh utensils. Dialah semua," demikian menurut satu ciapan yang ditulis oleh seorang pengguna Twitter sehingga menjadi tular.

Ciapannya itu meraih lebih 25,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 16,000 kali.

staf family mart 2

Ciapan seorang pengguna Twitter.

Menurut gadis bernama Aainaa, dia tidak mengetahui bagaimana proses bekerja di kedai serbaneka dari Jepun itu.

"Padahal ada lagi dua staf kat belakang... tapi aku pernah kerja retail dan F&B. Apapun, kalau dah tengok ramai pelanggan beratur, memang kena uruskan pelanggan.

"Kata famili, tapi seorang je kerja. Untuk adik dalam gambar ni, kalau terbaca, terima kasih dik cuba buat semua walaupun kau seorang.

"Aku tahu penat nak cari rezeki halal. Kalau ada peluang yang lebih baik, kejarlah peluang itu," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai serbaneka mohon maaf tampal notis 'hanya OKU tak buang lepas makan' - "Harap mereka pergi belajar adab"

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kedai serbaneka murah hati, buat live di TikTok sambil hadiahkan 'op up' untuk followers - "Saya akan teruskan selagi mampu"

Di ruangan bebenang, rata-rata netizen turut berkongsi pandangan yang sama.

"Ada satu satu cawangan tu... sentiasa hanya seorang je kerja. Dia la buat semua benda. Kasihan tengok.

"Dekat cawangan lain pun begini juga. Kasihan, sampai setengah jam saya menunggu.

"Tapi kita sebagai pelanggan kalau dah nampak dia terkial seorang, kena la sabar," demikian antara komen netizen.

family mart 3

Pelanggan sedang menunggu di kaunter.

Susulan perkongsian yang tular, FamilyMart Malaysia tampil memberi penjelasan dan berterima kasih di atas sokongan dan keprihatinan pelanggan yang berterusan.

Pada masa sama, mereka memohon maaf kepada pelanggan terhadap perkhidmatan yang kurang memuaskan.

"Industri runcit berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dan kami juga tidak terkecuali. Sifat bisnes kami yang menawarkan pelbagai makanan dan melibatkan waktu operasi yang panjang menambah kepada cabaran ini.

Industri runcit berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dan kami juga tidak terkecuali.

FAMILYMART MALAYSIA

"Sepanjang tahun lalu, kami meningkatkan usaha untuk menangani cabaran tenaga kerja ini, seperti menaikkan gaji dan elaun untuk mengekalkan dan menarik lebih ramai pekerja tempatan. Kami meneliti gaji secara berterusan.

"Kami melaksanakan usaha pengambilan pekerja yang berterusan melalui pelbagai saluran dan memendekkan waktu operasi di kedai-kedai yang mengalami kekurangan tenaga kerja," menurut keterangan di Facebook rasminya.

family mart 1

FamilyMart Malaysia tampil memberi penjelasan.

Menurut FamilyMart lagi, pihaknya terus mencari cara untuk menangani isu tenaga kerja.

"Kami sentiasa meneliti proses operasi untuk mengenal pasti penyelesaian yang boleh mengurangkan beban kerja di kedai contohnya, merintis perkhidmatan layan diri.

"Kami mempunyai banyak jawatan kosong untuk diisi di pelbagai lokasi sedia ada di seluruh negara terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor," katanya.

Dalam pada itu FamilyMart menambah, individu yang sedang mencari kerja atau mengetahui sesiapa yang memerlukan pekerjaan, boleh menghubungi mereka menerusi [email protected]

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain