suria

Malunya! Lelaki marah diri sendiri, akui ‘otak tak berfungsi sekejap’ ketika diurut abang OKU - “Saya tak sengaja tunjuk video tu”

Syah menceritakan pengalaman memalukan saat diurut oleh tukang urut OKU.

MALU! Perasaan inilah yang dirasai oleh seorang lelaki sepanjang sesi mengurut kaki pada suatu malam.

Ceritanya, dia pada ketika itu sedang leka melayari aplikasi TikTok sambil berbual kosong dengan tukang urut yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Ong Tai Kim, Gombak, Kuala Lumpur.

Namun, dia yang hanya ingin dikenali sebagai Syah tidak menyangka berlaku satu kejadian memalukan dan kisahnya tular selepas dikongsi di media sosial.

“Saya berseorangan saja masa pergi mengurut tu. Biasalah sambil mengurut tu kami berbual lagipun abang tu peramah.

“Sambil dia urut, saya tengah layan video-video dekat TikTok. Ada satu video ni buatkan saya gelak kuat. Abang tu tanyalah kenapa gelak? Saya pun tak sengaja tunjuk video tu dekat dia.

“Saya cakap ‘ni haa’. Masa tu barulah rasa otak berfungsi, baru saya terfikir yang abang ni buta. Terus rasa serba salah jugalah sebab kami memang sedang berbual,” katanya ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut, lelaki berusia 32 tahun ini berkata dia terus mendiamkan diri kerana berasa serba salah dengan tindakan spontannya tadi.

Bagaimanapun, lelaki OKU yang hanya dipanggil 'abang' itu memecahkan kesunyian dengan bertanya soalan kepada Syah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat cari tukang urut ‘online’ terbantut, lelaki terkejut lihat gambar isteri dalam laman web

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja selepas 15 tahun bergelar pensyarah, wanita ini tolak 2 tawaran demi ibu, anak disleksia... siapa sangka pilih jadi tukang urut - “Peringkat awal saya sangat down...”

“Lepas tu saya senyap, dia pun senyap. Tak lama kemudian dia tanya okay tak saya urut? Saya pun kata okay sajalah, kemudian kami sambung berbual macam biasa.

“Dah siap mengurut saya terus minta maaf dan abang tu okay saja. Dia tak adalah terasa hati. Cuma dia cakap kalau sakit atau ada kawan-kawan nak mengurut carilah dia,” kata Syah.

Bagi mengurangkan rasa bersalah, Syah yang menetap di Gombak Setia, Kuala Lumpur sempat bertanyakan tentang latar belakang dirinya dan pekerjaan sebagai tukang urut.

“Waktu siang, abang ni cakap dia ambil upah mengurut dengan orang lain. Jadi, pendapatan dia dapat kena bahagi dua. Macam tak adil pula kan.

“Jadi bila malam, abang ni ‘buka’ kerusi depan kedai Secret Recipe. Upah mengurut sebelah malam semua dia punya. Sebab tu saya suka datang malam.

Saya pilih nak mengurut kaki dengan orang buta sebab nak bantu ekonomi mereka. Lagi pula memang dah biasa mengurut dengan golongan orang buta.

SYAH

“Dia ambil upah RM50 sejam. Tapi bila dah siap mengurut saya bagi lebih sebab rasa bersalah. Dia tak nak tapi saya selit juga dekat tangan dia kemudian ‘cabut’ lari,” kata Syah lagi.

Hantaran dibuat Syah di TikTok meraih lebih 260,000 jumlah tontonan setelah disiarkan.

Sudah pasti video tersebut menjadi tular kerana ia menghiburkan dan dalam masa sama dapat dijadikan pengajaran untuk orang ramai lebih sensitif serta berhati-hati apabila berbual terutamanya dengan OKU.

Syah yang merupakan seorang jurutera dan pembuat kek (baker), menjelaskan dia mempunyai alasan tersendiri memilih golongan OKU untuk diurut.

“Dalam video TikTok yang saya share tu, saya tak menghina sesiapa kecuali mengatakan diri saya yang bodoh. Kalau boleh... bantulah mereka yang kurang upaya ni sebab apa mereka lakukan itu sajalah sumber pendapatan.

Syah dan isterinya membuka bisnes membuat kek secara sambilan.

“Saya pilih nak mengurut kaki dengan orang buta sebab nak bantu ekonomi mereka. Lagi pula memang dah biasa mengurut dengan golongan orang buta. Dengan abang ni pun dua kali dah.

“Mereka berusaha cari duit siang dan malam untuk teruskan hidup. Jadi apalah salahnya kalau kita bantu golongan ini. Dalam rezeki kita pun, ada terselit bahagian mereka juga,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain