PERJUANGAN menentang penyakit kanser ada kalanya dinoktahkan dengan pengakhiran yang tragis. Setiap pesakit kanser pasti mempunyai kisah meruntun jiwa tersendiri dalam mendepani ujian sebesar itu. Begitulah pengalaman seorang pengamal perubatan yang bertugas di sebuah pusat jagaan harian apabila seorang pesakit kanser memberitahu keputusannya untuk mengangkat bendera putih. Perkongsian melalui bebenang di laman Twitter. Lelaki yang senang disapa sebagai Mohd Arif di laman Twitter berkata wanita tersebut memutuskan perkara itu kerana mahu meluangkan masa bersama anak-anak setelah sekian lama terabai. "Salah seorang pesakit kami, seorang pensyarah... dia datang ke daycare sambil menangis. Saya cuba tanya dia apa yang terjadi. "Dia seorang pesakit kanser yang begitu kuat dalam perjuangannya tetapi pada hari itu, dia memilih untuk mengutamakan anak berbanding diri sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ubat tak hapus derita kanser, suami cuma minta isteri peluk untuk hilangkan sakit! Tidur pegang tangan sebelum ajal ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pesakit kanser masuk dewan guna stretcher, terlantar bersanding di pelamin... tetamu sebak, pengantin perempuan tetap senyum "Wanita itu didiagnos dengan kanser payudara dan sudah beberapa kali menjalani rawatan kemoterapi," cerita Arif. Menurut Arif, wanita tersebut hampir mengecapi garisan penamat untuk menewaskan kansernya tetapi keadaan berubah apabila dia kemudiannya didiagnos menghidap kanser paru-paru pula. "Kami sangat terkejut apabila tahu dia ada dua kanser tetapi situasi sebegini pernah terjadi kepada pesakit lain sebelum ini. Selalu terfikir kalau saya bertukar tempat dengan wanita ini, boleh ke saya jadi cekal macam dia? MOHD ARIF "Dia menjalani pembedahan untuk membuang kanser payudaranya dan melalui biopsi selama beberapa kali untuk kedua-dua kanser paru-paru dan payudara. "Dia juga sudah menjalani rawatan kemoterapi hampir 20 kali dan rawatan radioterapi lebih dari 30 kali. Namun kansernya masih belum menunjukkan tanda penyusutan," terang Arif. Wanita itu yang berlinangan air mata hanya mampu meluahkan keresahan yang terbuku di hadapan Arif dan beberapa pesakit lain. "Doktor, saya melalui ujian demi ujian sepanjang rawatan kanser saya selama empat tahun yang lepas. "Setiap kali saya rasa ada sinar harapan untuk kembali pulih, harapan saya itu lebur. Kanser masih ada dengan saya selepas empat tahun saya berjuang. Rawatan kemoterapi boleh disifatkan seperti menyedut kudrat dari badan pesakit. -Gambar hiasan "Sepanjang empat tahun saya berjuang ini, saya memang ketepikan anak-anak saya. Saya fokuskan sepenuhnya kepada diri saya, sampai saya tak ada masa untuk mereka. "Saya rasa cukup sampai sini sahaja perjuangan saya. Sekarang adalah masa untuk keluarga saya," Arif berkongsikan apa yang diujarkan wanita itu. Wanita itu sedar masa yang berbaki untuknya adalah sangat berharga dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bersama keluarga tersayang. "Saya nak luangkan masa yang tinggal untuk anak-anak. Saya nak pergi bercuti dengan mereka. Mereka berdua cuma berumur lapan dan enam tahun. "Setiap kali saya menjalani rawatan kemoterapi, saya akan pulang ke rumah dengan rasa lemah, mual dan tidak bermaya. Anak-anak saya cuma mampu tenung saya dengan rasa empati dan kasihan. "Mereka sangat sukar nak faham yang ibunya tidak akan ada bersama untuk melihat mereka membesar. Saya mungkin akan hidup untuk enam bulan atau setahun lagi," cerita Arif daripada perspektif wanita itu. Arif menyatakan rawatan kanser yang dilalui wanita itu selama empat tahun hanya mampu untuk memanjangkan jangka hayat wanita tersebut. "Dia baru bercerai dengan suami keduanya. Sebagai ibu tunggal, dia memilih anaknya dahulu. Dia memilih untuk menghabiskan saki-baki masa ini bergembira dan bergelak tawa bersama mereka. Sebahagian ciapan balas warga maya. "Dia mahu melepaskan anaknya dengan memori yang baik dan meninggalkan kenangan manis untuk mereka. "Saya selalu terfikir kalau saya bertukar tempat dengan wanita ini, boleh ke saya jadi cekal macam dia? "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?," ujar Arif bermuhasabah diri. Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya remuk hati membaca kisah yang dikongsikan Arif. "Tak boleh dengar kisah macam ni depan-depan, mesti saya akan jadi orang pertama yang menangis. "Keluarga saya pernah ada sejarah kanser, sangat sedih untuk lihat mereka sengsara di penghujung hayat. "Tak dapat bayangkan perasaan wanita itu yang lalui semua ini, baca kisah dia pun dah buatkan mata saya berair," ujar sebilangan warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube