PADA masa ini sudah semestinya golongan ibu bapa sedang sibuk menyediakan kelengkapan untuk anak masing-masing memandangkan sesi persekolahan penggal 2023 akan dibuka Mac depan. Pastinya bukan sedikit wang yang perlu diperuntukkan untuk membeli pakaian seragam, kasut, beg, alat tulis, yuran bas, yuran sekolah dan pelbagai lagi. Sungguhpun kerajaan menyalurkan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP), namun bagi mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai, situasi ini sedikit sebanyak agak 'memeningkan kepala'. Begitulah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang guru yang tidak asing lagi di laman Facebook, Mohd Fadli Salleh. Kiriman mesej yang diterima daripada seorang penjaga, benar-benar membuatkan hatinya hiba. Seragam badan beruniform yang ingin diinfaq oleh pengikut Mohd Fadli. "Assalamualaikum. Cikgu, ada tak jual baju-baju sekolah rendah yang preloved?" demikian mesej daripada pengirim yang kemudian dikongsikan di Facebook. Justeru, Mohd Fadli bertindak membuat hebahan dan menggunakan platform Facebook miliknya bagi membantu pengikutnya itu. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan buka sekarang, saya malu” - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut ARTIKEL BERKAITAN: Geram martabat guru diperlekeh, Cikgu Fadli pertahan pengajar DidikTV dimalukan gara-gara slang Bahasa Inggeris tak macam ‘mat salih’ - “Yang mana hebat tu cuba mengajar live!” "Sedih pula bila masuk komen macam ni. Baju sekolah yang harga RM15 hingga RM25 pun ramai tak mampu. "Dekat post aku yang nak let go barang preloved pun ada juga yang komen nak cari beg, barang sekolah anak prelove," tulis Mohd Fadli dalam satu hantaran. Dalam hantaran yang sama, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi untuk memberi sumbangan atau infaq barang-barang keperluan persekolahan agar turut menggunakan platform Facebook miliknya bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Kalau ada sesiapa yang betul-betul perlukan bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah boleh PM saya ye. Saya sudi bantu. NETIZEN "Kawan-kawan semua. Aku tahu ramai antara kalian sangat baik hati dan pemurah. Cuma kalian tiada platform untuk infaqkan barang kalian. Inilah platformnya. "Sesiapa yang ada beg, pakaian sekolah preloved yang kondisi cantik 8 hingga 10 sekurangnya, tolong komen. "Beritahu saiz pakaian dan lokasi. Biar senang sasaran nak pergi ambil. Dan kalau boleh, tak payahlah jual. Infaq terus je. Orang tak mampu nak beli baru, pastinya tengah tersepit. "Bantu sebarkan dan tag kawan-kawan lain juga ya. Segala urusan infaq ini teruslah antara pemberi dan penerima. Tak perlu melalui saya. Saya sediakan platform sahaja. Korang berhubunglah sesama ya. Terima kasih," tulisnya lagi. Hantaran tersebut mendapat sambutan hangat dengan menyaksikan ramai dalam kalangan pengikutnya membanjiri ruangan komen dan menyatakan kesediaan untuk menginfaq kelengkapan persekolahan. Malah ada yang begitu bermurah hati mahu memberikan beberapa helai baju seragam sekolah yang digantung dan siap digosok serta berada dalam keadaan yang masih elok. Ruangan komen yang meriah dengan warga maya yang pemurah dan ingin menginfaq keperluan sekolah. "Kalau ada sesiapa yang betul-betul perlukan bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah boleh PM saya ye. Saya sudi bantu mana-mana ibu bapa yang memerlukan. "Baju dan seluar sekolah rendah size XL area Sepanggar, Kota Kinabalu. Baju baru. Boleh WhatsApp 013-8xxxxxx. "Saya ada lima beg sekolah bersaiz seperti dalam gambar untuk diberikan secara percuma kepada yang memerlukan. Saya dari Taiping, Perak. "Saya ada t-shirt pandu puteri saiz M. Lokasi Bangi. Boleh PM. Yang jauh saya boleh pos," demikian antara komen netizen. Sehingga kini, hantaran tersebut meraih lebih daripada 670 perkongsian di Facebook. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube