suria

Pemuda meremang bulu roma, seram sejuk pangku mayat mangsa kemalangan... Rupanya ada hikmah guna jalan lama balik rumah

Pemuda ini melalui pengalaman yang menginsafkan selepas membantu mangsa kemalangan.

HIDUP di muka bumi hanyalah sebagai tempat persinggahan dan ajal boleh menjemput pada bila-bila masa.

Sebagai manusia, kadangkala kita lalai dan lupa tentang kematian sehinggalah sesuatu perkara terjadi dalam hidup seolah-olah mengejutkan diri daripada tidur.

Begitulah pengalaman yang dilalui Ifwat Syamim, 25, apabila dia menjadi orang pertama tiba di lokasi kemalangan maut membabitkan dua kenderaan baru-baru ini.

Ciapan asal di laman Twitter.

Melalui ciapannya di laman twitter, Ifwat menceritakan bagaimana dia menyaksikan jasad yang tidak lagi bernyawa berada dalam rangkulannya sehingga menyebabkan dia berasa begitu hampir dengan kematian.

Berkongsi lanjut tentang pengalaman itu, Ifwat memberitahu itu adalah kali pertama dia melalui jalan tersebut untuk pulang ke rumahnya di Melaka selepas selesai kerja lapangan di Johor.

"Waktu tu saya tengah nak balik rumah, tiba-tiba ada seorang makcik ni cuba menahan kereta sebab ada accident baru berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Kamu kejam rampas bayi kami!” - Lelaki merana anak meninggal, isteri parah dalam kemalangan gara-gara lori lebih muatan

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kilang sempat ‘tunjuk sayang’... edit, upload video dengan isteri di TikTok sebelum maut kemalangan

"Biasanya kalau nampak ada accident, saya jalan terus je... tapi kali ini sebab saya antara orang pertama yang sampai, jadi saya turun menolong.

"Saya nampak ada sebuah kereta dah terbalik dekat dalam gaung, rasanya dalam kereta tu ada lapan orang ahli keluarga. Teruk sangat keadaan kereta tu. Sebuah lagi kereta yang accident tu tak teruk sangat dan family dalam tu boleh keluar sendiri.

"Macam mana accident tu berlaku saya kurang pasti sebab waktu saya sampai memang dah jadi," ujar Ifwat ketika dihubungi mStar.

Saya tak pernah uruskan jenazah, ini kali pertama angkat dan pegang jasad seseorang yang dah tak bernyawa.

IFWAT SYAMIM

Untuk rekod kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 13, kawasan Kahang, Jalan Mersing, Johor pada 22 Januari lalu meragut lima nyawa termasuk dua kanak-kanak.

Ia membabitkan kenderaan jenis Produa Myvi dan Honda Stream yang sarat membawa ahli keluarga dan sanak saudara.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Mohd Fauzi Md Nor berkata kejadian itu turut menyaksikan enam lagi individu mengalami kecederaan.

Mereka yang maut ialah Mohammad Ashraf Radiq Abdullah, 11; Muhammad Syakir Noramin, 11; Muhammad Zharfah Noramin 16; Masrina Kahdar, 21, dan Muhammad Adil Abdul Kadir, 23.

Selain itu Ifwat memaklumkan dia dan beberapa pengguna jalan raya yang lain segera membantu mangsa nahas kereta Perodua Myvi tersebut sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Kereta Perodua Myvi yang kemalangan. Foto ihsan bomba

"Waktu tu dah bau minyak petrol, saya risau kalau kereta tu terbakar je, dalam tu ada orang lagi. Mereka meraung minta tolong.

"Kami pun terus turun ke dalam gaung tu, nak turun tu pun satu hal juga sebab gaung tu curam, kena hati-hati. Keadaan dah terdesak, kami tak fikir panjang, kami turun juga.

"Ada beberapa ahli keluarga tarik keluar mangsa dari kereta dan beri pada saya, kemudian saya dengan beberapa orang awam lain bawa mangsa naik atas.

"Agak mencabar terutamanya untuk mangsa dewasa, kebanyakan mangsa dah tak sedarkan diri, jadi kami kena rangkul mereka dan angkat bawa naik, ditambah dengan keadaan muka bumi yang membukit," cerita Ifwat.

Setibanya di atas, Ifwat memberitahu dia meremang bulu roma dan berasa seram sejuk apabila mendapati beberapa mangsa yang dibawanya sebenarnya sudah meninggal dunia.

Kereta Honda Stream yang kemalangan. Foto ihsan bomba

"Kami baringkan mangsa di atas tanah yang dah beralas. Ada mangsa berikan reaksi dan ada pergerakan apabila kami baringkan mereka.

"Tapi ada beberapa mangsa yang memang kaku dan mata mereka pun terbuka. Apabila tengok tu saya terus tahu yang ada antara mereka sudah meninggal. Sejujurnya saya memang takut waktu tu.

"Saya tak pernah uruskan jenazah sebelum ni dan ini kali pertama saya angkat dan pegang jasad seseorang yang dah tak bernyawa," jelas Ifwat memberikan gambaran.

Ifwat sempat berkongsi suasana di lokasi kemalangan apabila melihat reaksi ahli keluarga mangsa kemalangan.

Kereta Perodua Myvi yang kemalangan terjunam ke dalam gaung.

"Kereta Perodua Myvi tu sebenarnya bergerak konvoi. Ada lagi dua kereta dengan keluarga yang sama ikut mereka. Mereka semua satu keluarga besar.

"Nampak mereka sedih sangat. Ada yang rasa bersalah. Ada yang minta tukar tempat.

"Mereka minta agar andai masa boleh diputarkan semula, biar mereka duduk dalam kereta yang kemalangan. Ia supaya anak-anak mereka boleh duduk dalam kereta yang selamat," kata Ifwat.

Tragedi di hadapan mata Ifwat itu diakui meninggalkan trauma yang mendalam kerana ia memberikan kesedaran bahawa kita semua boleh dijemput Ilahi pada bila-bila masa.

Kereta Perodua Myvi menerima impak hentaman yang kuat dalam kemalangan.

"Apabila tengok mangsa semua tu, ia buatkan saya terfikir. Beberapa minit sebelum kejadian tu, mungkin mereka dalam kereta sedang bergelak tawa.

"Mungkin mereka dalam kereta tengah dengar lagu sama-sama. Mungkin mereka tengah berbual tentang kisah hidup mereka. Dan sekarang mereka di alam lain.

"Kejadian ni memang buatkan saya insaf.

"Ketika sambung perjalanan balik rumah lepas tu saya bawa perlahan je dan tak lebih had laju yang ditetapkan," ujar Ifwat mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain