suria

Berteriak si ibu nampak leher anak terbelit mainan lato-lato! Paling cemas kakak cari gunting tak jumpa, mujur ada pemotong kuku

Kelihatan kesan lilitan lato-lato pada leher anak Zulaihah.

SEJAK kebelakangan ini mainan dikenali sebagai lato-lato mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat tidak kira usia.

Namun siapa sangka daripada hanya sebuah permainan ia boleh bertukar menjadi 'senjata' merbahaya khususnya kepada kanak-kanak andai tersilap langkah.

Bagi seorang ibu bernama Zulaihah Abd Mutalibb, dia berdepan detik cemas apabila anaknya yang dikenali sebagai Ayaan hampir hilang nyawa apabila tali permainan itu membelit leher anaknya secara tidak sengaja.

Permainan lato-lato popular dalam kalangan kanak-kanak. Foto: Between-Zuhdiar

“Daripada sebuah mainan bertukar tragedi. Betullah apabila anak kau tiba-tiba tak ada suara (senyap), lebih baik pergi tengok.

"Awalnya aku tak perasan pun pada lehernya (tali). Tapi hatiku tetap tak sedap.

“Muka Ayaan diam (tenang). Pelik. Jari dia tengah cuba tarik sesuatu di leher. Lepas tu dia geleng-geleng kepala,” ujar si ibu mengimbas situasi cemas itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi budak lelaki hayun tukul, ‘bertukang’ rosakkan kemudahan taman permainan buat bapa bimbang nak bawa anak

ARTIKEL BERKAITAN: Bahaya game online, awas ada yang perhati! Ikuti langkah ini untuk pastikan anak selamat

Tambah Zulaihah, pada ketika itu kakak kepada Ayaan tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku kerana sedang leka membaca buku.

"Kakaknya semua sibuk dengan buka cerita mereka. Berteriak aku kepada mereka minta tengokkan keadaan adik.

"Selepas itu kakak-kakaknya pula menjerit beritahu tali mainan tersangkut (membelit) leher Ayann," katanya.

Rupa bentuk mainan lato-lato.

Akui panik dengan situasi itu, Zulaihah segera meminta salah seorang anak perempuannya mencari gunting untuk memotong tali berkenaan.

"Huru hara kakaknya cari gunting, boleh pula mainan ini berbelit talinya di leher anakku! Aku cuba buka tapi punya la sukar.

"Perasaan masa tu bercampur-baur, marah betul aku! Lambat pula kakaknya cari gunting, nasib aku ingat pemotong kuku ada di kunci kereta. Aku potong dan terus buang mainan tu," katanya lagi.

Kakaknya semua sibuk dengan buka cerita mereka, Berteriak aku kepada minta tengokkan keadaan adik.

ZULAIHAH ABD MUTALIBB

Ujar Zulaihah, tidak dapat dibayangkan jika pada saat genting itu dia terus sibuk di dapur tanpa mengambil tahu tentang keadaan anak-anaknya.

Perkongsian Zulaihah di Facebook menjadi peringatan kepada netizen supaya lebih berhati-hati dan kerap memantau aktiviti anak-anak walaupun ketika bermain di rumah.

Bukan itu sahaja, ramai antara mereka turut berkongsi pengalaman merbahaya membabitkan mainan lato-lato.

“Anak aku main ni kena kepala adiknya. Dua kali lagi tu. Adiknya baling nak terpenyek kepala aku terkena lato-lato ni.

Antara komen netizen di Facebook.

“Mainan ni boleh cetuskan 'perang' dengan jiran atau saudara mara. Ia boleh terputus dan terbang ke kepala masa main.

“Kesannya bukan boleh buat main. Silap-silap boleh retak tengkorak jadi darah beku. Sayang anak bukan beli apa mereka minta tanpa fikir kesannya,” komen netizen.

Untuk rekod, lato-lato adalah permainan di mana terdapat dua bebola yang diikat pada tali kemudian pemain akan melanggarkan satu bola kepada satu bola lain sehingga menghasilkan bunyi dan membuat corak pusingan yang sekata.

Berdasarkan beberapa laporan media, permainan tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dibawa ke sekolah di Indonesia dan juga beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain