suria

“Rasa macam mengemis” - Minta susu formula, tak dilayan... bayi baru lahir menangis seharian sebab lapar! Esoknya doktor sahkan Hipoglisemia

Nurul menceritakan kisah anaknya menghidapi Hipoglisemia.

NALURI seorang ibu terhadap anaknya tidak pernah salah.

Begitulah kisah yang dikongsikan Nurul Lubis, 30, mengenai anak keduanya yang disahkan mengalami Hipoglisemia, sehari selepas dilahirkan.

Ketika dihubungi mStar, dia yang mesra disapa Nurul berkata segalanya bermula selepas anaknya, Ahnaf dilahirkan di sebuah hospital di Melaka pada September 2022 dan masalah kesihatannya itu kekal sehingga hari ini.

Ahnaf kini berusia empat bulan

"Anak saya songsang jadi doktor bagi tarikh awal dan terpaksa lahirkan dia secara pembedahan sebab berat waktu tu dah 3.9 kilogram pada usia 37 minggu.

"Selepas lahirkan Ahnaf dan kesan bius hilang, saya diminta untuk beri susu badan tetapi diuji pula dengan payudara bengkak dan tidak mengeluarkan susu.

"Anak dah nangis waktu itu sebab lapar. Sebagai ibu saya tak putus asa, cuba juga tapi memang tak keluar susu," katanya.

Saya sebagai ibu, saya tahu anak sedang lapar.

NURUL

Nurul yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu meluahkan rasa sedih dan kesal apabila mendakwa dia dilayan secara kasar oleh jururawat ketika dia meminta anaknya diberikan susu formula.

Menurut Nurul, dia bertambah sedih kerana Ahnaf ketika itu tidak berhenti menangis dan akhirnya tidur dalam kelaparan apabila seharian tidak diberikan susu.

Lebih membuatkan Nurul terkejut apabila keesokan harinya doktor memaklumkan keadaan Ahnaf yang menggigil disebabkan dia mengalami Hipoglisemia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya menangis, rasa tak berguna” - Bayi datang period selepas lahir, jururawat selamba kata ibunya ‘cuci ganas sangat’

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak kongsi foto anak bermata unik baru lahir, ramai minta nak tengok! Dah tunjuk, bayi disamakan alien, jadi bahan lawak

"Nurse marah saya dan minta saya tengok pampers atau periksa takut anak kembung perut. Tetapi saya sebagai ibu, saya tahu anak sedang lapar. Rasa macam mengemis pula.

"Sepanjang malam anak berada dengan saya tapi tak boleh minum susu. Dia akan diam kalau penat menangis dan akhirnya tidur dalam keadaan berlapar.

"Esoknya, bila doktor datang periksa, dia cakap anak saya menggigil. Saya ingatkan itu normal dan beritahu doktor yang saya dah minta susu formula daripada jururawat tapi kena marah dan dia berulang kali minta maaf kepada saya," katanya.

Kesan Hipoglisemia, anaknya terpaksa ditahan di wad penjagaan bayi untuk dipantau paras gula dan dalam masa sama denyutan jantungnya juga bermasalah kerana lahir pramatang.

Malah, katanya, sehingga kini Ahnaf masih mengalami masalah tersebut walaupun sudah berusia empat bulan.

Nurul bersama suami dan dua anaknya.

"Seminggu anak saya kena tahan di wad sebab masalah ini. Saya dah pulang ke rumah dan terpaksa ulang alik setiap hari ke hospital untuk datang melawatnya.

"Masih ada kesan tu sampai sekarang cuma tidak teruk. Bila lambat bagi susu dia jadi gelisah dan gelengkan kepala kiri dan kanan. Badan dia pun akan menggigil," katanya.

Nurul turut berpesan kepada ibu yang kurang berpengalaman untuk mengambil kisahnya sebagai pengajaran supaya ia tidak berlaku kepada mereka.

Tambahnya, Hipoglisme tidak boleh dipandang ringan terutamanya kepada bayi yang baru lahir kerana ia mengundang risiko kesihatan dan mengancam nyawa.

"Memang susu ibu terbaik. Tetapi kalau macam kes saya ni nasi pun dah jadi bubur. Jadi sediakan susu formula kalau payudara bengkak dan tak boleh keluarkan susu sebab nyawa anak lagi penting.

Antara komen netizen di TikTok.

"Ibu di luar sana boleh tuam pada bahagian payudara supaya bengkak mudah surut sebab susu ibu memang bagus untuk rangsangan bayi. InsyaAllah susu akan keluar," katanya.

Video yang dimuat naik di TikTok meraih lebih 300,000 tontonan dan 10,000 tanda suka.

Rata-rata netizen meninggalkan komen meluahkan rasa simpati dan berpandangan susu formula perlu diberikan jika keadaan mendesak dan membahayakan bayi.

"Memanglah susu ibu tu terbaik tetapi kena tengok situasi juga. Bukan semua ibu selepas bersalin keluar susu banyak. Kalau jadi macam ni kesian kat anak. Tak berdosa pun minum susu formula.

"Hari pertama kena macam ni juga sebab susu tak keluar. Anak pula anak pertama dan rasa sedih tengok dia lapar. Nasib baik ada nurse yang baik tolong tunjukkan cara urut dan lega nampak air susu keluar," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu, ada juga warganet yang mendakwa mengalami nasib sama seperti Nurul.

"Masalah awak sama macam saya. Saya kena waktu lahirkan anak pertama dan lahir secara pembedahan juga. Nurse langsung tak bagi susu formula kat anak sampai jadi Hipoglisemia.

"Hampir sama macam saya. Lahir secara pembedahan juga dan susu tak keluar. Terkial-kial minta tolong nurse. Seharian anak tak menyusu dan lepas tu anak demam. Hari seterusnya kena masuk wad penjagaan bayi.

"Sama maca cerita saya. Nasib baik anak saya belum tahap Hipoglisemia. saya minta tolong nurse susukan anak tapi dia marah. Saya dah cakap susu tak keluar sebab payudara bengkak. Nurse tak percaya dan paksa juga untuk susukan anak. Rasa sedih sangat waktu tu," netizen berkongsi pengalaman masing-masing.

Menurut laman web rasmi Hospital Kuala Penyu, Sabah, Hipoglisemia merupakan kejadian paras gula seseorang itu menjadi rendah seperti paras gula mencecah bawah 3.9 mmol/L (60 or 70 mg/dL) tapi seringkali individu hanya merasa simptom apabila mencapai aras 2.8 hingga 3.0 mmol/L (50 to 54 mg/dL).

Antara simptomnya ialah jantung rasa berdebar, kepenatan, rasa menggigil, kulit menjadi pucat dan jika seseorang itu menghidapinya dengan lebih serius ia akan menyebabkan tidak sedarkan diri atau mengalami sawan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain