suria

“Maaf jika delay sebab anak saya” - Pesawat dah nak terbang semula si kecil masih enggan turun, mujur ada pramugara larat dukung keluar

Pramugara membawa anak Zety keluar dari pesawat.

KECOH dalam kabin gara-gara seorang budak lelaki enggan meninggalkan pesawat.

Walaupun telah mendarat dengan selamat di lapangan terbang, kanak-kanak berkenaan tetap enggan berganjak dari tempat duduknya.

Menerusi video yang tular di media sosial, seorang pramugara dilihat mengangkat si kecil itu yang sedang meraung, keluar dari pesawat.

Berkongsi cerita, Nor Izzaty Abdul Rahim berkata, insiden berlaku ketika dia membawa anak lelaki bersama seorang lagi rakan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, ia merupakan pertama kali anak lelakinya, Muhammad Harith Ikhwan Ibrahim yang berusia empat tahun menaiki kapal terbang.

"Pertama kali naik kapal terbang, anak jadi excited. Tapi anak ni macam-macam perangai, maklumlah anak bongsu.

"Secara kebetulan, saya bersama kawan dan anak check in agak lambat. Jadi, kami dapat seat yang paling belakang," katanya kepada mStar.

tak nak keluar pesawat 3

Zety (kanan) bersama anak dan rakannya.

Lebih mesra disapa Zety, katanya, mula-mula dia menyangka anaknya itu menangis kerana enggan duduk di bahagian belakang.

"Dia nak duduk seat depan, sedangkan kami datang lebih awal. Dia berkeras juga menjerit.

"Bukan sahaja buat perangai, siap tak nak pakai seatbelts," ujarnya yang berasal dari Cheras.

pesawat 6

Harith seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, keadaan kembali tenang selepas anak lelakinya itu tidur dalam penerbangan selama kira-kira sejam.

ARTIKEL BERKAITAN: Minat bola sepak 'diasah' sejak dalam perut ibu, tendangan si cilik ini sentiasa masuk gol... gaya 'Siu' Ronaldo pun boleh buat

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan bisnes! Ibu terkejut anak usia 4 tahun jadi 'tauke', buka 'kedai' mainan depan rumah... bila ramai nak beli tak jadi jual pula

Bagaimanapun, kata Zety, keadaan tenang di dalam kabin tidak berpanjangan kerana anaknya kembali meraung dan enggan keluar dari pesawat.

"Masa tu saya risau sebab anak mula menangis, dia kata nak naik lagi. Siap pramugara dan pramugari datang pujuk.

"Kemudian saya nampak beberapa penumpang masuk di bahagian depan, saya syak mereka merupakan penumpang seterusnya yang menaiki pesawat sama," tambahnya.

tak nak keluar pesawat 2

Zety bersama anaknya.

Jelasnya lagi, tidak lama kemudian, salah seorang pramugara hadir dan membantu mengangkat anak bongsunya itu keluar dari pesawat.

"Kalau nak harapkan saya yang angkat, memang berat kira-kira 23 kilogram. Macam mana la dia boleh angkat dan berjalan laju ke luar pesawat.

Kalau kanak-kanak seusia dengannya takut naik kapal terbang pertama kali, tapi dia ni suka sangat pula.

ZETY

"Saya malu juga ketika itu sebab mungkin orang ramai di pintu pelepasan ingat ada sesuatu yang cemas berlaku seperti anak cedera.

"Alhamdulillah, anak saya okay. Jika hari tu ada penerbangan delay yang mungkin disebabkan oleh anak saya, minta maaf," katanya.

pesawat 5

Harith teruja untuk menaiki penerbangan.

Menyifatkan anaknya seorang yang ceria, aktif dan lasak, Zety yang mengusahakan bisnes secara dalam talian menganggap kejadian tersebut melucukan.

"Kelakar ada, nak marah pun ya tapi kena sabar. Kalau kanak-kanak seusia dengannya takut naik kapal terbang pertama kali, tapi dia ni suka sangat pula.

"Terima kasih kepada pramugara berkenaan dan kru-kru lain yang turut membantu. Sekarang ni anak saya tak sabar nak naik kapal terbang lagi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain