suria

Jiran cari pasal parkir depan pagar, tuan rumah ‘hantar’ mak mentua tolong ‘settle’! Sekali amuk terus tak nampak bayang kereta

Kereta yang diparkir individu tidak bertanggungjawab di hadapan rumah Mid.

YANG kurik itu kundi yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Peribahasa ini sesuai untuk sebuah video tular yang menunjukkan sikap seorang individu tidak bertanggungjawab yang selamba meletakkan keretanya di hadapan pagar rumah orang lain.

Gara-gara sikapnya, timbul kesusahan kepada penghuni rumah tersebut yang terpaksa menolak kereta yang diparkir sebelum keluar menghantar anak ke taska dan sebelum keluar ke tempat kerja.

Difahamkan, bukan sebentar kereta tersebut diletakkan di situ tetapi seharian, membuatkan penghuni rumah berkenaan berasa geram.

Video berkenaan dikongsikan di TikTok oleh 'mangsa', seorang pengusaha kosmetik yang hanya mahu dikenali sebagai Mid.

Mid berkata, dalam kejadian pada pagi Isnin, dia terpaksa meminta tolong suaminya untuk mengalihkan kereta tersebut yang diparkir di hadapan kediaman mereka yang terletak di Segamat, Johor.

Tangkap layar video tuan rumah yang terpaksa mengalihkan kereta tersebut

Menurut Mid, ruang di hadapan rumahnya memang sentiasa menjadi tempat meletakkan kenderaan oleh penduduk di situ tetapi kali ini berbeza pula situasinya.

"Waktu tu pukul 8 pagi saya nak keluar hantar anak ke taska dan nak ke pejabat juga. Bila keluar tengok depan rumah ada orang parkir kereta.

"Saya panggil suami nak tunjuk depan rumah ada orang block. Dia pun keluar cuba cari tuan kereta tu sebab nak minta alihkan tapi tiada. Kami tak nak bising dan buat kecoh, suami buat keputusan untuk alihkan sendiri ke tepi sebab kereta tu pun tak berkunci.

ARTIKEL BERKAITAN: Flat ke teres ni? Lain macam selera B40, pasang awning terus dapat 2 parkir - “Beli kondo pun parking kereta jauh”

ARTIKEL BERKAITAN: Perodua Axia baik punya parkir di tempat cas kereta elektrik, tak nak mengalah dengan T20 - “Saya datang dulu, saya punya la”

"Memang kawasan rumah saya tu selalu jadi tempat orang letak kereta tapi kali ini macam melampau pula sebab walaupun suami dah tolak ke tepi, dia alihkan semula ke tempat asal," katanya ketika dihubungi mStar.

Tambah Mid, selesai menghantar anak ke taska dan ketika dia bersama suami sedang bergegas ke tempat kerja, kereta yang baru dialihkan itu diparkir semula di hadapan rumahnya, membuatkan perasaan marah semakin membara.

"Dah sampai rumah lepas hantar anak ke taska, saya dengan suami bersiap-siap nak ke pejabat dan bila keluar rumah, nampak kereta tadi tuannya alih ke tempat asal iaitu depan rumah saya.

Tuan rumah hilang sabar terpaksa alih kereta yang diparkir di hadapan rumahnya sebanyak dua kali.

"Padahal rumah saya dah corner lot, banyak lagi kawasan boleh letak. Jadi terpaksalah suami saya alihkan kereta dia buat kali kedua sebab nak keluar tak boleh," katanya.

Berang dengan sikap pemilik kenderaan berkenaan, Mid sempat menghubungi ibu mentuanya untuk mengadu dan meminta bantuan.

Menganggap anak dan menantunya dianiaya oleh individu berkenaan, ibu mentuanya yang tinggal berhampiran datang dan mengamuk meminta pemilik kereta tersebut untuk mengalihkannya.

"Mak mentua saya datang ke rumah. Dia jerit tanya kereta yang parkir depan rumah tu siapa punya.

"Bila emak saya dah bising macam tu baru dia keluar dan alih kereta. Tak minta maaf pun dan siap tunjuk muka bengis lagi dekat mak mentua saya," katanya.

Tolonglah bertimbang rasa dan jangan suka hati parkir depan pagar rumah orang. Awak dah menyusahkan tuan rumah, kalau ada kecemasan seminit terlambat pun dah tak berguna.

MID

Selepas 'insiden' ibu mentuanya mengamuk, kereta itu sudah tidak kelihatan.

Kata Mid, ini merupakan pertama kali dia dan suami bertindak seperti itu.

"Dia dah tak letak kereta depan rumah lepas kena tegur dengan mak mentua saya. Sebelum ni saya bersabar sebab tak nak besarkan hal ni tapi rasa macam dia makin melampau.

"Sebelum ni tak pernah ada jiran yang parkir kereta sampai seharian depan rumah saya. Kalau ada pun mereka letak malam je dan waktu pagi kereta dah tiada," katanya.

Video yang dikongsi Mid mendapat lebih 440,000 tontonan dan 12,000 tanda suka serta maklum balas daripada netizen.

Rata-rata meminta dia membuat laporan polis atau kepada pihak berwajib untuk tindakan seterusnya.

Antara komen netizen di video tular berkenaan

Mid turut meninggalkan pesan kepada orang ramai untuk tidak bersikap mementingkan diri, apatah lagi sehingga menyusahkan orang lain.

"Semoga video Mid yang viral ni bermanfaat kepada orang lain juga sebab ramai yang komen boleh telefon towing, buat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

"Tolonglah bertimbang rasa dan jangan suka hati parkir depan pagar rumah orang. Awak dah menyusahkan tuan rumah, kalau ada kecemasan seminit terlambat pun dah tak berguna.

"Awak gembira parkir depan rumah orang, tetapi tuan rumah yang merana," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain