suria

Hari-hari makan sedap, badan pun sado... anjing jadi bodyguard gerai nasi lemak! Tauke tukar tapak, Doggo ‘sibuk’ ikut sekali

Anjing yang diberi nama 'Doggo' menjadi pengawal setia gerai nasi lemak ini.

KEBANYAKAN gerai atau restoran mempunyai keunikan tersendiri untuk menarik pelanggan.

Ada yang keistimewaannya terletak pada menu dan ada juga yang menggunakan suasana meriah di sekitar gerai sebagai tarikan.

Bagaimanapun, sebuah gerai nasi lemak yang terletak di Cyberjaya, Selangor sememangnya berbeza apabila mempunyai seekor anjing sebagai 'duta' perniagaan mereka.

Ciapan asal di laman Twitter.

Berdasarkan satu ciapan tular di laman Twitter, anjing yang diberi nama Doggo itu dilihat setia menunggu berhampiran gerai nasi lemak tepi jalan itu, seolah-olah menjadi 'pengawal' memerhati pelanggan lalu-lalang membeli makanan.

Bercerita kepada mStar, peniaga nasi lemak, Ahmad Lela, 67, berkata dia mengenali Doggo ketika memulakan perniagaan di sekitar kawasan Cyberjaya pada 2016.

"Kami dah berniaga nasi lemak dari tahun 2001 di Bandar Baru Bangi, tapi waktu tu saya bekerja sebagai juruteknik dan saya cuma tolong isteri berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berlengah, Ebit Lew ‘muncul’ hulur bantuan... bawa berkampit-kampit ayam, usahakan cari ‘rumah baharu’ untuk anjing jalanan

ARTIKEL BERKAITAN: Bagai dapat extra power! Larian gadis laju habis selepas dikejar anjing, pecut tak pandang kiri kanan - “Silap-silap pecah rekod dunia”

"Bila umur saya 60 dan saya dah bersara baru saya mula berniaga nasi lemak sepenuh masa dengan isteri, kami kemudian pindah berniaga di Cyberjaya.

"Waktu itulah Doggo muncul dalam hidup kami dan ada dengan kami sampai sekarang. Orang Cyberjaya biasa panggil gerai kami ni sebagai Nasi Lemak Anjing atau Nasi Lemak Doggo.

"Memang dah melekat nama tu, kalau orang luar dengar mesti macam pelik kenapa nama gerai sampai macam tu sekali, kasar sangat bunyi dia, tapi sebenarnya ada kisah tersendiri," ujar Ahmad.

Tiap-tiap hari sebelum kami buka gerai pukul 7 pagi, kami akan siapkan lauk untuk Doggo, biasanya ayam goreng.

AHMAD LELA

Menurut Ahmad, lokasi gerainya di Cyberjaya mempunyai banyak tapak pembinaan kerana kawasan itu sedang pesat membangun.

"Kontraktor-kontraktor Cina yang uruskan tapak pembinaan ni mereka bela anjing untuk tolong jagakan barang dekat dalam tu. Banyak ekor yang mereka bela.

"Tapi bila pembinaan tu dah selesai, anjing ni semua mereka tinggal je dan kami rasa kesian bila tengok. Dari situ la kami mula bagi makan dekat anjing.

Perniagaan 'Nasi Lemak Doggo'.

"Doggo ni pada asalnya anak kepada seekor ibu anjing ni, Doggo ada banyak lagi adik-beradik yang lain tapi lama-kelamaan semua hilang.

"Yang tinggal sampai sekarang dengan kami cuma Doggo, anjing yang lain datang dan pergi, bersilih ganti tapi Doggo kekal sebagai 'along' kawasan," ujar Ahmad berjenaka.

Ahmad memaklumkan mereka memberikan Doggo makanan ayam goreng setiap pagi dan beberapa lauk lain yang masih berbaki apabila mahu menutup gerai.

"Tiap-tiap hari sebelum buka gerai pukul 7 pagi, kami akan siapkan lauk untuk Doggo, biasanya ayam goreng. Bahagian ayam yang orang kurang suka contohnya tengkuk dan paha itu kami bagi dekat Doggo.

"Dan kalau nak tahu, kami sebenarnya ada sponsor untuk bagi Doggo dan kawan-kawannya makan, ada tauke dari satu syarikat ni offer duit bila mereka nampak kami bagi makanan dekat anjing.

Doggo menjadi penjaga di hadapan gerai.

"Mereka bagi dalam RM200 suruh guna untuk bagi Doggo makan. Kami jadi orang tengah. Pelanggan pun ada yang nak bagi Doggo makan.

"Ada pelanggan yang beli nasi lemak dari kami, ingatkan untuk dia sendiri rupanya nak bagi dekat Doggo, tapi kami tak bagi dah lepas tu sebab sisa bungkusan dengan plastik buatkan kawasan tu jadi kotor," kata Ahmad.

Ketika ditanyakan adakah Doggo tegap dan sasa kerana dijamu makanan yang lazat, Ahmad berkata ia disebabkan faktor perubatan.

"Ramai yang salah faham bila nampak badan Doggo sihat, mereka ingat sebab kami bagi dia makan banyak tapi itu sebenarnya sebab dia dah dimandulkan, Doggo ni anjing betina.

"Ada satu badan bukan kerajaan (NGO) ni tolong mandulkan mungkin nak tolong kawal populasi anjing dekat kawasan ni.

"Lepas dah dimandulkan tu terus naik mendadak berat badannya, itu nampak dia macam 'sado' je," ujar Ahmad.

Ahmad juga berkongsi bagaimana Doggo akan sentiasa berada di samping mereka walaupun beberapa kali berpindah lokasi sepanjang mereka berniaga di Cyberjaya.

Walaupun berpindah lokasi, Doggo tetapi setia mengikut Ahmad.

"Doggo ni ada satu pokok dekat area sini yang macam rumah dia. Dia akan ikut je ke mana kami pergi. Baru-baru ni kami pindah tempat berniaga baharu dari tapak biasa dekat traffic light.

"Pindah sebab pihak berkuasa kata depan traffic light tu tak selamat nak berniaga. Yang menariknya bila kami buka kedai dekat tempat baharu tu, Doggo tahu mana nak cari kami, jarak dalam 300 meter dari lokasi lama.

"Dah jadi rutin, bila kami buka kedai je, Doggo akan datang standby dan tunggu untuk waktu makan dia iaitu bila kami dah selesai berniaga dalam pukul 10 pagi macam tu.

"Kadang-kadang kalau nampak Doggo dah lapar sangat, kami akan bagi dia makan dulu sebelum mula berniaga," ujar Ahmad.

Ahmad mengakui sejak Doggo menjadi sebahagian dari identiti gerainya, pintu rezeki dia dan isterinya terbuka luas.

"Sejak nama Doggo dah viral dekat media sosial, ramai yang datang ke gerai kami dari jauh semata-mata nak jumpa Doggo dan sambil tu mereka beli makanan kami juga.

"Lauk paling popular dekat gerai kami ialah paru, memang setiap hari licin habis. Karipap sardin kami pun orang cakap sedap," kata Ahmad mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain