suria

Kecoh konvoi iring treler keluar dari sekolah siap ada polis, kalau bawa kertas SPM isu soalan bocor dah tak patut ada!

Kontena yang dikatakan membawa kertas soalan SPM keluar dari perkarangan sebuah sekolah.

KEBIASAANNYA penghantaran wang tunai atau kargo mengandungi sesuatu yang berharga akan mempunyai pengiring atau pengawal keselamatan.

Apa yang dilakukan ini adalah sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan barangan tersebut daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya jika berlaku kejadian tak diingini.

Namun, satu video tular di laman Twitter memaparkan sebuah kenderaan berat berupa treler sedang keluar dari perkarangan sekolah menyebabkan ramai berteka-teki apakah 'kargo' yang dibawa itu.

Ciapan asal di laman Twitter.

Lebih menimbulkan tanda tanya apabila treler itu diiringi konvoi kenderaan polis dan beberapa van berwarna hitam.

Selain itu trafik di jalan utama di hadapan sekolah disekat seketika untuk memberi laluan, mirip prosedur perjalanan orang kenamaan.

Pemilik tweet itu cuba membuat tekaan dengan mengatakan barangan berharga yang dibawa itu adalah kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan sekarang adalah musim peperiksaan.

"Bawa kertas soalan SPM ke ni?" tanya penulis tweet itu mencari jawapan kepada persoalannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kesian haters BTS nak kena baca” - Army Malaysia terlebih ‘excited’ jawab kertas BI percubaan SPM, soalan tentang konsert pun a

ARTIKEL BETKAITAN: Kena cop biadab, pelajar Form 2 perjelas tindakan conteng kertas exam, kemudian tayang di Twitter!

Beberapa netizen lain juga melaporkan melihat perkara sama di sekolah di kawasan mereka apabila ada treler yang diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Yes, semalam pun ada bertembung dengan lori dan polis escort macam tu. Terkejut tengok lori bawa kertas exam, rasanya dulu kertas SPM van Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) je yang bawa," tulis seorang netizen.

Seorang warga maya berkata treler itu berkemungkinan besar membawa kertas peperiksaan SPM kerana menurutnya, terdapat kenderaan Lembaga Peperiksaan turut serta dalam konvoi.

Bila tengok prosedur betul ketat macam ni, masalah soalan bocor patut dah tak ada.

NETIZEN

"Rasanya betul bawa kerta soalan SPM sebab kontena lori tu nampak sama.

"Tambahan, konvoi lori ni ada satu kereta Lembaga Peperiksaan KPM ikut belakang," ujarnya.

Netizen lain juga menceritakan wujudnya bilik kebal di setiap sekolah untuk menyimpan kertas peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM.

"Betul bawa kertas soalan SPM, sekolah saya dulu ada satu bilik kebal depan tapak perhimpunan.

"Bila Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau SPM, ada kontena dan konvoi polis hantar kertas soalan. Biasanya bekalan untuk sekolah-sekolah yang sama daerah, satu sekolah akan dipilih jadi center untuk drop kertas peperiksaan.

"Pagi-pagi pengawas peperiksaan akan datang ke bilik kebal untuk ambil kertas soalan pada hari perperiksaan," jelas netizen itu.

Konvoi treler dikatakan membawa kertas soalan SPM diiringi polis di lebuh raya.

Lebih memeranjatkan apabila seorang netizen mendakwa kertas peperiksaan SPM sebenarnya dicetak di luar negara dan kemudiannya dibawa masuk ke dalam Malaysia.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam shipping, kertas SPM dan duit kertas ringgit semua printed overseas. Waktu dulu la, awal 2010 macam tu. Sekarang kurang pasti if dah berubah.

"Kalau tengok dari gaya kontena Mediterranean Shipping Company (MSC) tu, mungkin masih sama sekarang pun," ujar warga maya itu.

Netizen lain pula sempat mengatakan yang isu soalan bocor sepatutnya sudah tidak timbul apabila melihat prosedur penghantaran kertas soalan SPM yang begitu ketat.

"Bila tengok prosedur betul ketat macam ni, masalah soalan bocor patut dah tak ada, sampai polis escort dan siap booking kontena semata-mata nak simpan kertas peperiksaan.

"Kalau bocor juga soalan tak tahu nak cakap apa dah," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain