suria

Tiada istilah terlewat! Wanita ADHD teringin bergelar mahasiswa sebelum jadi ‘pelukis berilmu’, bakal ambil SPM di usia 22 tahun

Asyura melukis untuk mengisi masa lapang dan mencari pendapatan sampingan.

KETIKA rakan sebaya yang lain sudah menjejakkan kaki ke menara gading, gadis ini baru mengorak langkah untuk mengejar impiannya.

'Tercicir' beberapa tahun ke belakang, namun itu bukanlah alasan untuk dia menguburkan cita-cita mahu bergelar seorang pelukis disegani satu hari nanti.

Gadis bernama Asyura Najiha Mohd Zamri, 22, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada pertengahan bulan ini selepas hasrat tersebut tertangguh sejak lima tahun lalu.

"Saya ada masalah pembelajaran atau learning disability dan juga Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).

"Saya ambil aliran seni ketika di sekolah menengah tapi tak berkesempatan ambil SPM pada 2018 sebab ada masalah kesihatan. Selepas habis sekolah, saya sambung belajar di madrasah selama dua tahun.

spm 2

Lukisan kanvas hasil kerja tangan Asyura.

"Saya baru nak ambil SPM bulan ni. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya ikuti online class tapi agak sukar.

"Sekarang saya ambil kelas tuisyen dan belajar secara bersemuka dengan cikgu. Selain itu, saya juga banyak belajar sendiri dengan tengok YouTube serta buat soalan peperiksaan yang lepas sebagai persediaan," ujarnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar sambil bantu bakal pengantin! Pelajar jadi wedding planner, tawar pakej kahwin murah - “Bawa badan je...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup berlapar demi ibu akhirnya ‘tewas’, minta bantuan selepas putus bekalan makanan... elaun belajar semua kirim ke kampung!

Senang disapa sebagai Asyura, anak ketiga daripada lima adik beradik ini sebenarnya sudah hampir enam tahun bergelar pelukis secara part time meskipun belum berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang seni di institusi pengajian tinggi.

"Alhamdulillah, saya selalu dapat commission untuk tote bag dan juga canvas art. Tapi untuk tote bag agak mencabar sebab materialnya lagi susah daripada kertas dan kanvas.

"Kadang sampai tak cukup tidur sebab nak siapkan. Tapi apabila tengok orang gayakan hasil seni saya, serta merta letih tu hilang, sebaliknya rasa puas hati dan berbaloi.

spm 4

Beg tote yang mendapat sentuhan Asyura.

"Buat masa ini, saya sedang siapkan projek commission lukisan kanvas diving underwater dan ambil masa sedikit kerana ada teknik yang masih saya belajar.

"Dalam masa yang sama, sekarang ni saya fokus belajar untuk SPM dahulu. Selepas habis peperiksaan, saya sambung fokus untuk commission," ujarnya.

Gadis ini menanam impian untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Mudah-mudahan impian saya untuk bergelar mahasiswa tercapai selepas beberapa lama tertangguh," katanya lagi.

Bagi mereka yang keciciran pelajaran, jangan ada mindset yang negatif. Kalau ada mindset negatif, sampai bila-bila pun kita akan keciciran.

ASYURA NAJIHA MOHD ZAMRI

Asyura dalam pada itu berkata, dia bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan padu yang terdiri daripada ibu bapa serta rakan-rakan meskipun rata-ratanya sudah menjejakkan kaki ke menara gading.

"Kawan-kawan dari sekolah menengah selalu beri semangat apabila saya down. Malah mereka juga jadi tempat rujukan saya untuk bertanya pasal pelajaran," katanya yang bercita-cita mahu membuka galeri seni kecil untuk mempamerkan hasil seninya satu hari nanti.

Biarpun sudah berjinak-jinak menerima tempahan karya seni sejak beberapa tahun lalu, namun gadis ini tetap mahu menggenggam segulung ijazah sebagaimana impiannya satu ketika dahulu.

spm 3

Beg tote adalah antara hasil air tangan Asyura yang mendapat permintaan tinggi.

"Saya pernah dapat mesej di DM daripada seorang student, dia ada masalah mental dan tak beleh sambung belajar. Saya memahami situasi itu dan berkongsi kata-kata semangat dengannya.

"Segelintir remaja zaman sekarang mudah terpengaruh... ramai tak hirau pendidikan. Ada anggap SPM tak penting. Saya bukan nak rendahkan orang yang tak ada SPM tapi ini qualification asas.

"Bagi mereka yang keciciran pelajaran, jangan ada mindset yang negatif. Kalau ada mindset negatif, sampai bila-bila pun kita akan keciciran," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain