suria

Suara akak pizza merdu sangat, pelanggan datang kedai suruh nyanyi! Gadis Sabah nak kembang bakat, tak mahu jadi katak bawah tempurung

Ainna menyanyi sambil diiringi rakan-rakan sekerjanya.

VIDEO memaparkan seorang pekerja restoran piza yang menyanyi di tempat kerjanya dihujani komen pujian netizen.

Menerusi video itu, Ainna Erzanie Erwin, 20, yang ditemani rakan-rakan sekerja menyampaikan lagu Semata Kernamu dendangan penyanyi Indonesia Mario G Klau sehingga meraih lebih setengah juta tontonan.

Anak jati Penampang, Sabah, yang senang disapa Ainna itu mengakui terharu dengan komen yang diterima dan berharap bakatnya dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

"Saya memang full time bekerja di restoran piza sejak lapan bulan lepas. Kebetulan restoran ini ada buat promotion, jadi kawan-kawan suruh buat cover nyanyian sambil promo. Video itu dirakam dalam minggu ini.

"Saya terkejut apabila video ini viral di TikTok. Saya post macam biasa dan terus tidur. Bangun esoknya tengok view dah banyak. Komen netizen pula bercampur baur. Ada yang komen tentang suara, ada juga yang tanya mengenai promosi.

"Lepas viral, beberapa hari ni ada pelanggan yang datang membeli dan minta saya menyanyi, siap rekod buat video," ujarnya berseloroh.

Kalau ada rezeki jadi penyanyi, kalau takdir kena pindah ke semenanjung, saya akan pergi.

AINNA

Menurut Ainna, dia sememangnya aktif menyanyi sejak kecil, malah sudah terbiasa menyertai pertandingan bakat suara di sekitar negeri Sabah.

Paling manis, Ainna juga pernah merangkul gelaran juara pertandingan nyanyian, sekali gus membuktikan kemampuan dirinya yang bercita-cita untuk terbang lebih jauh dalam industri seni.

"Sejak kecil lagi saya minat menyanyi. Kalau diingat semula, saya mula menyanyi ketika berusia 10 tahun. Pada waktu itu, saya dah mula naik pentas di sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar ‘rindu ex’ nyanyi di tangga, kawan rakam pun tak sedar... tahu-tahu ramai offer jadi pengganti!- “Saya masih tak boleh move on”

ARTIKEL BERKAITAN: Menyanyi sambil duduk pun sedap, patutlah gadis ini ada ramai followers dari seberang... Sarah Suhairi ‘target’ seterusnya!

"Pada masa sama, saya juga aktif sertai pertandingan nyanyian di Sabah. Rasanya dah lebih 50 pertandingan nyanyian saya sertai.

"Alhamdulillah, saya dah jadi juara lebih 10 kali. Saya juga kumpul koleksi trofi dan piala di rumah," ujar anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Menurut Ainna lagi, dia bersedia untuk meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu negara sekiranya menerima peluang untuk bergelar penyanyi.

aina3

Ainna aktif menyanyi sejak sekolah rendah.

Serius dengan minatnya itu, Ainna juga memasang angan-angan untuk berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, suatu hari nanti.

"Saya memang mahu kenal bidang muzik, lagi maju ke depan untuk perkenalkan bakat yang ada. Sekarang saya duduk di Sabah, jadi susah nak dapat info khususnya mengenai pertandingan TV.

"Saya macam katak di bawah tempurung. Hanya mampu nyanyi ketika live media sosial saja. Kalau ada rezeki jadi penyanyi, kalau takdir kena pindah ke semenanjung, saya akan pergi. Tapi paling penting saya kena dapatkan restu ibu.

ain2

Sebahagian trofi kemenangan yang pernah diraih Ainna.

"Cita-cita nak jadi penyanyi ini disimpan sejak saya umur 10 tahun. Saya juga teringin nak duet dengan Siti Nurhaliza. Ibu saya selalu beli albumnya, dia memang idola kami sekeluarga," ujarnya yang turut menggelarkan diri sebagai 'akak pizza'.

Selain Ainna sendiri, rata-rata netizen di TikTok turut bersetuju agar dia bergelar penyanyi dan menyifatkan gadis itu sebagai individu berbakat besar.

"Menangis aku dengar suara dia. Sedap mat.

"Boleh pergi jauh ni sis. Tone suara awak sedap, sebutan pun jelas, mantap.

"Orang Sabah memang berbakat betul ya," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain