suria

‘Orang putih’ masuk kampung bungkus roti canai! Tukang tebar mahu tunjuk ‘roti terbang’ kepada lebih ramai warga asing

Aksi Muhammad Muiz menebar roti canai menarik perhatian pelancong Amerika.

HIDANGAN popular rakyat Malaysia, roti canai dinobat sebagai makanan jalanan terbaik di dunia.

Maka tidak hairanlahapa sahaja yang berkaitan dengan menu ini menjadi perhatian pelancong asing dari serata dunia.

Seperti penebar roti canai ini, aksinya menebar dirakamkan oleh seorang pelanggan warga Amerika Syarikat (AS).

Apabila pelancong AS sanggup ke sebuah kedai roti canai bersebelahan dengan Balai Polis Pokok Sena di Pokok Sena, Kedah, tentunya ia menjadi momen istimewa.

Bercakap kepada mStar, penebar roti canai berkenaan, Muhammad Muiz Ruzaini tidak menyangka pelancong Amerika itu hanya datang ke kedainya untuk membungkus roti canai.

"Dia tak makan di kedai, hanya bungkus tiga keping roti canai dan Nescafe ais. Tapi dia ambil masa kira-kira 10 minit untuk menunggu dan merakam saya menebar roti canai.

"Kedai makan keluarga saya di Pokok Sena, bukan di Kuala Lumpur yang dikunjungi lebih ramai pelancong asing. Jadi, saya menghargai kedatangannya," katanya ketika dihubungi.

penebar roti canai 5

Muhammad Muiz melakukan persembahan menebar roti canai di kenduri kahwin.

Pemuda berusia 20 tahun itu memberitahu, dia bukan hanya menebar roti canai untuk membantu bapanya yang berniaga sejak dia di bangku sekolah, tetapi juga menggunakan bakatnya itu dengan membuat persembahan di khalayak ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu ranking nasi lemak sekadar OK, kini roti canai Malaysia dinobat makanan jalanan nombor 1 dunia!

ARTIKEL BERKAITAN: Baju jadi 'mangsa', banyak doh 'dikerjakan' tapi roti canai masih tak terbang! Pelajar tak mahu biasa-biasa macam ayah, akhirnya jadi pakar penebar

"Saya buat show tebar roti canai untuk menarik perhatian tetamu dan memeriahkan majlis. Antara show yang saya buat adalah di ekspo, karnival dan kenduri kahwin.

"Macam di kenduri kahwin, saya buat show sebagai pembuka acara sebelum pengantin berarak ke pelamin," ujarnya yang berasal dari Pokok Sena.

penebar roti canai 4

Persembahan 'roti canai terbang' di majlis keramaian.

Mahu dikenali sebagai pakar roti canai 'terbang', Muhammad Muiz turut menimba pengalaman dengan menyertai beberapa pertandingan menebar roti canai.

Video memaparkan aksinya menebar roti dan dirakam oleh pelancong warga AS, yang dimuat naik di TikTok menarik perhatian ramai.

Malah, ada netizen mengaitkan dirinya dengan program realiti pencarian bakat terkemuka dunia, America’s Got Talent.

penebar roti canai 3

Antara pelancong yang berkunjung ke kedai makan keluarga Muhammad Muiz di Pokok Sena.

"Sudah tentu saya terkejut dan terharu. Bukan setakat America's Got Talent, program realiti itu di peringkat Asia iaitu Asia's Got Talent pun sudah cukup buat saya teruja.

"Sebelum ini saya masih belajar, jadi tidak berkesempatan untuk menyertai program itu. Jika ada program tersebut pada masa akan datang, saya akan mencuba nasib.

Saya buat show tebar roti canai untuk menarik perhatian tetamu dan memeriahkan majlis.

MUHAMMAD MUIZ RUZAINI

"Kebiasaannya saya buat show tebar roti canai di hadapan rakyat tempatan. Keinginan untuk buat show di hadapan orang asing memang ada, satu cabaran baharu bagi saya.

"Tak perlu tunggu pertandingan (program realiti), jika ada show yang dihadiri ramai tetamu warga asing, pasti saya ambil peluang ni. Mungkin saya akan tampil kelainan dengan berpenampilan pahlawan seperti Hang Tuah," tambahnya.

penebar roti canai 2

Muhammad Muiz menunjukkan hidangan istimewa 'roti sarang burung'.

Mengenai kedai makan yang diusahakan keluarganya, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selain Amerika Syarikat, pelancong asing yang turut berkunjung ke gerainya adalah dari Afrika Selatan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Alhamdulillah, sambutan di kedai amat menggalakkan. Kalau hari biasa boleh terjual antara 500 dan 550 biji adunan roti, kalau hari cuti boleh mencecah sehingga 650 biji.

"Ada lebih 20 menu roti di kedai, dan paling istimewa adalah 'roti sarang burung' dan 'roti gulung berceghau'. Bagi pelancong asing, roti canai yang biasa pun mereka suka," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain