suria

Tak berbaloi dulu sayang BF gila-gila, kena belasah pun tahan je! Dah putus baru gadis dapat tahu ada slip disc kekal

Wanita ini mendakwa menjadi mangsa penderaan bekas teman lelaki.

UNGKAPAN 'buang yang keruh, ambil yang jernih' sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia.

Segelap mana pun kisah silam kita, apa yang berlaku pada masa lalu itulah yang menjadikan siapa diri kita hari ini biarpun ia pahit untuk ditelan.

Begitulah pengajaran yang diperoleh Fara Nurain Nasyaruddin, 23, yang mendakwa pernah menjalinkan hubungan romantik dengan seorang lelaki tetapi 'kaki pukul'.

Perkongsian asal di laman TikTok.

Sikap panas baran yang meluap-luap bekas teman lelakinya itu jugalah yang menyebabkan Fara kini menanggung derita apabila dia didiagnos dengan masalah sakit tulang belakang (slip disc).

"Saya ada relationship dengan dia tahun 2017 dan setahun lepas tu kami putus sebab saya dah tak tahan dengan perangai dia.

"Kami bekerja satu tempat tapi dia ada masalah kuat cemburu dan suka naik angin tak tentu hala.

ARTIKEL BERKAITAN: Disisih keluarga... suami pula penagih dadah, kaki pukul! Wanita terpaksa usung 4 anak merempat minta sedekah, nasib baik jumpa Cikgu Fadli - “Akak kena janji, berubah betul-betul”

ARTIKEL BERKAITAN: Mengadu dibuli, kemudian diri sendiri dera budak? Twitter kena gali... suspek pernah mengaku digelar kaki sihir, alami depresi

"Kerja saya pula kena banyak bergaul dengan orang. Dia tak suka saya berkawan dengan mana-mana lelaki lain. Tapi itulah lumrah kerja saya.

"Kami banyak kali bergaduh pasal benda ni dan kami bukan gaduh biasa-biasa," kata Fara ketika dihubungi mStar.

Menurut Fara, pergaduhan dia dan bekas teman lelakinya bukan hanya bertikam lidah malah melibatkan fizikal.

Saya cuma nak cakap satu je, kalau lelaki itu dah berani angkat tangan dekat awak sebelum kahwin, terus tinggalkan.

FARA NURAIN NASYARUDDIN

"Saya ni orang yang tak suka melawan dan lebih memilih untuk memendam. Kalau orang dari luar tengok bagaimana saya diperlakukan oleh bekas teman lelaki, orang akan cakap it's the biggest red flag ever.

"Tapi itulah, cinta itu buta bukan, sebab sayang saya relakan je, terasa diri ni bodoh sangat waktu tu. Ada sekali tu waktu tengah kerja, perasaan cemburu dia datang mengejut dan dia terus tarik saya keluar dari tempat tu.

"Dia marah-marah saya dan mengamuk, dia hentak saya dekat dinding. Benda ni dah selalu jadi, dia pernah cengkam perut saya, dia selalu tampar dan tolak saya sampai saya jatuh terduduk.

Fara cuba memulakan hidup baharu setelah apa yang berlaku.

"Saya tahankan je semua yang saya kena tu sebab saya anggap saya kuat, tapi rupanya kesannya datang lima tahun selepas itu, kesihatan saya yang tergadai," ujar Fara yang masih bergelar pelajar institut pengajian tinggi (IPT),

Fara mendakwa postur tulang belakangnya terjejas kerana penderaan fizikal oleh bekas teman lelakinya dan perkara itu sering menghantui dirinya.

"Ada sekali tu tiba-tiba badan saya terbaring atas lantai tak boleh bergerak dan macam lumpuh. Bila pergi hospital waktu tu belum nampak lagi gambaran sebenar apa yang berlaku.

"Tapi memang sakit bahagian belakang saya. Kerja berat saya tak boleh buat. Nak berjalan jauh pun tak mampu. Sampai saya terpaksa tinggalkan minat saya untuk buat aktiviti lasak. Banyak benda jadi kurang dalam hidup ni.

"Lima tahun saya tanggung sakit, akhirnya dah tak tahan sangat, saya pergi hospital untuk buat check-up. Baru saya tahu yang saya sebenarnya slipped disc, doktor cadangkan saya buat pembedahan untuk betulkan balik tapi saya takut.

Masa silam Fara meninggalkan 1001 pengajaran.

"Saya diberitahu yang damage slipped dics ni kekal, jadi sekarang saya cuma makan ubat tahan sakit dan sapu minyak panas. Saya tak rancang nak buat apa-apa rawatan alternatif dalam masa terdekat ini," ujar Fara.

Ketika ditanya adakah dia merancang untuk mangambil tindakan undang-undang ke atas bekas teman lelakinya atas apa yang berlaku, Fara berkata dia menganggap semuanya sebagai kisah silam.

"Saya ni cepat kesiankan orang, lagipun sekarang dia dah kahwin. Saya tak nak ganggu rumah tangga mereka.

"Lepas apa yang terjadi dia ada datang minta maaf dekat saya tapi saya macam terkilan, dia dah rosakkan hidup saya dan itu je yang dia boleh cakap.

"Dia tak ada nak bayar pampasan atau ganti rugi ke apa. Saya memang benci dia sebenci-bencinya. Saya nak lenyapkan dia terus dari memori hidup saya.

Fara bersama teman lelaki baharunya.

Fara bagaimanapun bersyukur kerana kekosongan yang ditinggalkan telah digantikan dengan lelaki yang lebih memahami dan penyayang.

"Teman lelaki saya yang sekarang ni penyabar, soft-spoken dan tak pernah tinggikan suara pun. Mungkin akhirnya Allah dah dengar doa saya selama ini," kata Fara yang sedang memulihkan dirinya dari trauma.

Fara sempat menitipkan pesanan kepada wanita di luar sana agar tidak bertoleransi dengan segala bentuk penderaan daripada pasangan mereka.

"Saya cuma nak cakap satu je, kalau lelaki itu dah berani angkat tangan dekat awak sebelum kahwin, terus tinggalkan.

"Dia tak akan boleh berubah kalau itu memang dah perangai dia. Cuba fikir jauh ke depan, agak-agak bila nanti awak dah sah jadi hak milik dia selepas kahwin, apa lagi yang dia berani buat dekat awak.

"Jangan seksa diri kerana lelaki," ujar Fara.

Dalam menjalinkan hubungan cinta, rasa cemburu dan salah faham sering berlaku tetapi setiap individu sama ada lelaki atau perempuan perlu mengawal emosi masing-masing.

Bertindak ganas atau mengasari pasangan tidak sepatutnya dilakukan, sebaliknya cuba selesaikan kemelut dengan berbincang secara baik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain