suria

Budak umur 3 tahun sibuk tolong berniaga, tak sangka pula jadi pelaris gerai... ibu lega upahnya cuma aiskrim

Walaupun masih kecil, keberanian Yaya membantu ibunya berniaga raih perhatian ramai.

MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya.

Mendidik anak pada zaman ini bukanlah suatu perkara mudah kerana mereka lebih terdedah kepada perkara tidak baik dengan adanya gajet dan media sosial.

Tidak hairanlah pelbagai cara dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha mendidik anak mereka dari usia kecil supaya mereka mempunyai sikap pandai menghormati, menjaga pertuturan serta pandai berdikari apabila besar kelak.

Video telatah seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang 'bertugas' di kedai ibunya tular di TikTok hingga meraih lebih 250,000 jumlah tontonan.

Walaupun umurnya baru setahun jagung, gelagat dan kepetahan Nur Aleesya Aafiyah Khairol Anuar atau lebih mesra disapa Yaya ketika membantu ibunya berniaga menarik perhatian warga maya.

Ketika dihubungi mStar, ibunya, Anis Mahadi, 34, berkata anaknya itu sememangnya seorang yang peramah dan pandai bercakap kerana sudah diajar untuk bercakap dengan betul sejak kecil.

Yaya pandai tarik perhatian pelanggan untuk singgah ke gerai ibunya.

Kata Anis, Yaya sentiasa membantu di kedai kek miliknya yang terletak di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur dan mengikutnya berniaga di Kompleks C Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

"Waktu saya rakam tu memang kawan dia yang datang beli dan anak peniaga kat situ juga. Saya buka gerai di Kompleks C bangunan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) Putrajaya. Jadi setiap hari Selasa dan Jumaat Yaya memang akan ikut saya berniaga sekali.

"Pukul 11 pagi macam tu saya keluar rumah, Yaya ikut sama. Dia tak meragam walaupun tempoh tu lama juga bagi budak-budak. Saya berniaga dari pukul 11 pagi sampai 2 petang.

"Kalau dekat kedai saya ada pekerja. Tapi dia pun sama naik nak tolong juga. Macam-macam dia buat dan kadang-kadang tu tolong kopek pisang, mop lantai, sapu lantailah. Semua dia nak buat," katanya kepada mStar.

Menurut Anis, dia dan suami sememangnya tidak mengajar anaknya bercakap pelat seperti sebahagian kanak-kanak lain.

"Dia cakap lancar cuma ada satu huruf sahaja kalau dia sebut perkataan ada huruf L mesti akan bunyi pelat. Kalau baru kenal Yaya ni pemalu, lama-lama dia peramah," katanya sambil menambah Yaya merupakan anak kedua daripada dua adik-beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tempe ‘lover’ tercengang, pelik tengok budak 3 tahun makan snek Jawa mentah-mentah... Bapa kata anak jarang jatuh sakit

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rezeki jual ayam! Video pertama dapat lebih 40 juta views, pemuda Terengganu viral satu dunia selepas 15 tahun bantu ibu berniaga

Tambah Anis yang berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan, telatah anaknya itu sedikit sebanyak membantu mengembangkan lagi perniagaan kek pisang Baby Bites dan tat kejunya.

Menurut Anis, pertolongan yang dihulurkan oleh anaknya itu akan 'dibayar' dengan aiskrim dan dia tidak kisah dengan segelintir komen negatif kerana menganggap ia sekadar penghargaan buat Yaya.

"Cara Yaya ajak orang tu buat ramai yang singgah dan beli. Ada juga yang mesej nak beli lepas tengok video Yaya yang saya muat naik di TikTok. Ada yang kata Yaya comel jadi mereka datang beli.

"Lepas balik jual memang kena beli aiskrim Magnum untuk upah dia tolong. Kalau bagi aiskrim lain tak nak. Nak aiskrim Magnum sahaja. Beli aiskrim lain macam-macam alasannya," ujarnya.

Baru berusia tiga tahun tetapi sudah tahu serba sedikit selok belok berniaga.

Bercerita lanjut mengenai video itu, Anis memberitahu dia tidak menyangka rakaman yang dikongsi di TikTok itu tular dan hanya mendapat tahu apabila dimaklumkan oleh anak lelakinya.

Jelasnya, video Yaya juga mendapat perhatian saudara-mara lain yang menganggap si cilik itu telah memberikan 'marketing percuma' dan dia perlu mendapat 'upah' lebih.

"Saya tahu viral pun sebab abang Yaya bagitahu. Terkejut juga bila tengok views tu sebab sebelum ni saya dah ada muat naik video Yaya tolong berniaga tapi tak viral.

"Mak saudara Yaya cakap ni marketing percuma ni. Kena bayar lebih sebab dialah ramai yang mesej dan datang beli kek pisang dengan tat keju tu," ujarnya.

Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 250,000 tontonan dan lebih 19,000 tanda suka.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan gelagat Yaya dan memuji keberanian anak kecil itu membantu ibunya berniaga.

Yaya bersama keluarganya

"Comel je kecil-kecil dah meniaga. Semoga dimurahkan rezeki selalu.

"Comellah awak ni! Lepas ni ajar dia promosi akak. Ajar dia 'hai mak saya ada jual tat keju'.

"Comellah awak ni. Semoga menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa awak," demikian antara komen netizen.

Ada juga yang berseloroh untuk membawa pulang Yaya kerana telatahnya yang bersungguh-sungguh mengajak orang untuk membeli.

"Kalau acik beli semua kuih tu, boleh percuma bawa balik adik tak?

"Aduh kalau macam ni, tukang niaga pun acik nak beli. Boleh?

"Adik jangan sampai aunty bungkus awak sekali bawa balik tau," seloroh netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain