suria

Macam iklan! Murid Cina ‘belanja show’ untuk kawan Melayu sambut hari jadi, guru teruja generasi muda tunjuk nilai harmoni

Aksi seorang murid menari ketika rakan-rakan sekelas menyanyikan lagu selamat hari jadi.

GELAGAT seorang murid berbangsa Cina menari ketika rakan-rakan sekelas menyanyikan lagu selamat hari jadi dalam bahasa Mandarin memeriahkan suasana.

Kesungguhannya menari lincah bagi meraikan ulang tahun rakan sekelas yang merupakan pelajar perempuan berbangsa Melayu pasti menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Video yang dirakamkan oleh seorang guru menjadi tular di media sosial, dengan rata-ratanya kagum dengan keakraban hubungan yang terjalin antara murid meskipun berlainan bangsa.

Bercakap kepada mStar, guru berkenaan, Elden Chan berkata, dia tidak menyangka video yang dikongsi di akaun TikToknya meraih perhatian ramai.

Guru berusia 36 tahun itu memberitahu, video tersebut dirakamkan beberapa hari lalu di kelas selepas tamat waktu pembelajaran bagi Pendidikan Kesihatan di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) di Kuala Lumpur.

"Semuanya berlaku secara spontan apabila beberapa murid lelaki sedang aktif di dałam kelas. Saya mengambil kesempatan dengan mengajak mereka membuat satu persembahan khas kepada rakan-rakan.

"Saya bertanya 'Birthday siapa hari ini?' Selepas itu, seorang murid perempuan menjawab hari jadinya pada minggu ini, iaitu Ahad (19 Februari). Kemudian murid lelaki tu terus nyanyi lagu birthday sambil menari secara spontan," katanya kepada mStar.

Elden (tengah) bersama murid-murid tahun lima.

Bercerita lanjut mengenai apa yang berlaku di kelas tahun lima itu, Elden berkata, tiada sambutan hari jadi dibuat pada hari tersebut kecuali persembahan khas daripada murid lelaki tersebut.

"Dia (murid lelaki) berkawan baik dengan birthday girl yang merupakan murid perempuan berbangsa Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Cina lancar gerakan kumpul dana, terharu tengok pemuda kurang duit gigih beri makan haiwan jalanan

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke Cina kongsi rezeki untuk manfaat orang lain tak kira agama! NGO tukar 4 tayar cuma bayar separuh harga, kadang bagi free

"Murid lelaki itu sangat aktif, talkative dan suka menari. Tapi pada hari tersebut, budak lelaki itu menari secara spontan.

"Saya teruja apabila nampak situasi itu! Reaksi rakan-rakannya memeriahkan suasana pembelajaran hari tersebut dan mereka turut memberi sokongan," ujarnya sambil menambah murid perempuan yang diraikan hari jadinya pula seorang yang rajin dan pemalu.

Elden mempunyai pengalaman dalam bidang sukan.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Elden di sekolah, dia yang merupakan guru Pendidikan Sains Sukan menjelaskan bahawa momen yang dirakamnya itu memaparkan konsep persahabatan sejati tanpa mengenal warna kulit dan bangsa.

Jelas guru yang berasal dari Kuching, Sarawak ini lagi, setiap individu seharusnya sentiasa saling hormat-menghormati dań sayang-menyayangi antara satu sama lain demi kesejahteraan negara.

Saya berharap generasi muda akan datang memupuk nilai-nilai kasih, didik dan sepakat demi mencapai keharmonian dan kemakmuran.

ELDEN CHAN

"Bak kata pepatah, 'bersatu teguh, bercerai roboh'. Sebagai seorang guru generasi baharu, saya berharap generasi muda akan datang memupuk nilai-nilai kasih (love), didik (learn) dan sepakat (share) demi mencapai keharmonian dan kemakmuran dalam kehidupan mereka," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 10 tahun.

Setakat ini, video yang dimuat naik Elden di akaun TikToknya, @eldenchan17 meraih lebih 3.3 juta tontonan.

Antara komen netizen.

Rata-rata netizen merindui suasana harmoni dalam kalangan anak muda berbilang bangsa, malah ada di antaranya melihat keakraban murid Cina dan Melayu itu seperti iklan PETRONAS sempena Hari Kemerdekaan sekitar 2007, yang dibintangi dua kanak-kanak ketika itu, Tan Hong Ming dan Ummi Khazriena.

"Pada pendapat saya, video ini tidak serupa dengan iklan PETRONAS dari segi kandungannya dan niat rakaman lebih kepada tangkapan momen dan secara spontan.

"Mungkin hanya wajah murid lelaki yang menari itu mirip Tan Hong Ming," komen Elden ringkas, yang menyifatkan rakamannya membawa mesej keharmonian dan persahabatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain