suria

Siswa UUM lega, umur 20 tahun akhirnya dapat Mykad... Rasa nikmat dapat status warganegara, boleh buat lesen memandu

Omar akhirnya berjaya memiliki kad pengenalan pada Disember tahun lepas.

IMPIAN jadi realiti.

Begitulah kisahnya mengenai Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman, 21, yang akhirnya berjaya memiliki kad pengenalan (MyKad) pada Disember tahun lalu.

Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) itu pernah menyuarakan kebimbangan sekiranya dia tidak akan diterima ke universiti kerana tidak memiliki MyKad.

omar1

Kisah Omar pernah mendapat liputan mStar pada Ogos tahun lalu.

Selepas kisahnya mendapat liputan mStar pada pada 25 Ogos 2022, Omar turut dibantu oleh beberapa pemimpin politik serta agensi bukan kerajaan (NGO) untuk merealisasikan impiannya.

"Dulu saya kongsikan masalah ini menerusi Twitter untuk tarik perhatian pihak tertentu agar membantu golongan seperti saya. Alhamdulillah, mStar merupakan media pertama yang buat liputan kisah saya. Selepas itu saya turut dihubungi oleh media-media lain.

"Kemudian, saya turut dibantu oleh beberapa NGO serta beberapa pemimpin politik untuk mempercepatkan proses mendapatkan MyKad. Alhamdulillah, saya akhirnya dapat MyKad pada Disember tahun lepas. Rasa macam hilang bebanan selama ini, rasa macam bebas daripada penjara.

Masa sekolah dulu saya tak dapat biasiswa kerana taraf bukan warganegara, sedangkan keputusan akademik memberangsangkan.

MUHAMMAD OMAR MOKHTAR ABDUL RAHMAN

"Dah bertahun saya menunggu, sejak umur 12 tahun lagi. Dah cuba macam-macam jalan, akhirnya saya berjaya dapat MyKad. Sekarang nak pergi mana-mana pun tak risau. Saya dah boleh buka akaun bank, selepas ini saya nak buat lesen memandu pula," ujar Omar yang dilahirkan di Hospital Kajang, Selangor.

Paling manis, Omar juga berjaya diterima ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas kisahnya mendapat perhatian pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun lalu.

"Alhamdulillah saya dah berjaya sambung belajar pada Oktober tahun lepas. Walaupun masa tu saya belum dapat MyKad. KPT bantu untuk saya buat permohonan selepas kisah saya jadi perhatian ramai. Saya diterima masuk ke UUM sebagai pelajar bidang Pengurusan Sumber Manusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang UPSR, PT3, SPM, STPM... sayangnya pemuda lahir di Malaysia tak boleh sambung belajar sebab tiada IC

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar nakal, kelas tercorot bangkit ketika STPM sampai mak ayah tak percaya dapat masuk U... sekarang rasa nak peluk cikgu!

"Saya bersyukur sangat. Kalau ingat balik masa sekolah dulu, saya tak dapat biasiswa kerana taraf bukan warganegara, sedangkan keputusan akademik saya memberangsangkan. Tambahan pula saya daripada keluarga kurang berkemampuan. Rasa macam rugi tak dapat semua tu kerana tiada MyKad.

"Tapi hari ini saya bersyukur dah dapat apa yang saya idamkan. Terima kasih kepada netizen yang bantu menerusi Twitter sehingga kisah saya dapat perhatian ramai," ujarnya yang menetap di Pendang, Kedah bersama bapa kandungnya.

Untuk rekod, Omar berjaya meraih keputusan cemerlang gred purata PNGK 4.0 dan Band 4 Bagi Subjek Muet dalam peperiksaan STPM.

omar33

Omar bersyukur diterima masuk ke UUM.

Selain STPM, Omar juga meraih keputusan 4A, 1B dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), 7A, 2B, 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 5A, 3B, 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Omar bagaimanapun gagal mendapatkan MyKad ketika berusia 12 tahun kerana kesilapan data ibu kandungnya yang dikesan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ayah dan mak kenal di Selangor ketika mereka bekerja di sana. Mereka berkahwin dan kemudiannya berpisah masa saya umur setahun. Masa kecil, saya hanya berhubung dengan mak melalui telefon sehinggalah kami terputus hubungan masa umur saya lima tahun.

1710626

Omar dilahirkan di Hospital Kajang, Selangor.

"Mak berasal dari Sabah. Ketika nak buat kad pengenalan masa umur 12 tahun, JPN kata ada kesilapan pada data mak. Apabila tak boleh tahu asal-usul sebenar mak, JPN cuba daftarkan saya di bawah ayah. Tapi ayah tak lahirkan saya. Untuk buktikan status, JPN perlukan sijil nikah tapi ayah gagal tunjukkan sijil itu sebab mereka pun dah bercerai.

"Jadi JPN tak dapat daftarkan saya sebagai warganegara. Berkaitan asal-usul mak, JPN kata ada tiga kemungkinan. Pertama, mak bukan warganegara. Kemungkinan kedua mak guna kad pengenalan palsu atau guna kad pengenalan orang lain masa daftar kelahiran saya.

"JPN cakap kalau nak kata mak orang Sabah sekali pun, ramai orang Sabah tak ada kad pengenalan, pendatang Filipina pun ramai," dedah Omar.

1710624

Omar merupakan pelajar cemerlang STPM.

Menurut Omar, dia masih gagal menjejaki ibu kandungnya dan berhasrat membuat carian sendiri suatu hati nanti.

"Walaupun kisah saya viral pada tahun lepas, kami masih gagal menjejaki ibu kandung saya. Pihak JPN dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) cuba jejaki pun tak dapat juga. Agak susah sebab dah lama lost contact. Tapi saya berdoa agar ibu kandung masih hidup.

"Niat nak cari selalu ada, sebab dia ibu yang lahirkan saya. Tapi sekarang agak terbatas. Ada rezeki di kemudian hari, InsyaAllah saya akan cuba cari lagi," ujar Omar mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain