suria

Bapa dah tiada, mak masuk hospital! Dua beradik jual kek dipertemukan dengan pemuda pernah alami nasib sama

Syairee tidak teragak-agak untuk membeli semua kek yang dijual dua beradik itu.

SETIAP orang pasti pernah berada di titik paling bawah dalam kehidupan dan hanya yang mempunyai pengalaman sebegitu sahaja faham keperitannya.

Begitulah kisah dikongsi Wan Muhamaad Qhusyairee Wan Abdullah, 20, yang faham derita ditanggung dua beradik, menyebabkan dia tidak teragak-agak membeli semua produk jualan mereka di sebuah pasaraya di Kota Bharu, Kelantan.

Ketika dihubungi mStar, dia yang mesra disapa Syairee berkata timbul rasa sebak dalam dirinya apabila dua beradik itu memberitahu mereka telah kehilangan bapa dan kini mencari wang sendiri kerana ibu sedang sakit dan berada di hospital.

Syairee berkata, budak lelaki itu berumur lapan tahun, manakala kakaknya pula berusia 16 tahun dan tinggal di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu.

Tangkap layar video yang dimuat naik Syairee di TikTok

"Saya ke Lotus's Kota Bharu pada Isnin sebab pembantu peribadi nak beli minyak wangi dan saya tunggu dalam kereta. Saya nampak ada budak lelaki duduk tepi laluan orang ramai seorang diri.

"Saya buka tingkap kereta, panggil dia nak tanya kenapa duduk situ, bahaya. Bila datang ke kereta, rupanya dia jual kek dengan kakaknya.

"Saya tanya mana mak dengan ayah, terus dia cakap ayah dah meninggal sakit jantung dan mak pula di hospital. Ya Allah terus saya rasa sedih," ujarnya yang menetap di Kota Bharu.

Syairee yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik berkata, dia sangat faham perasaan dua kanak-kanak berkenaan kerana pernah melihat ibunya bersusah payah menguruskan keluarga selepas kematian bapa.

Disebabkan kesuntukan masa selepas 'memborong' kesemua 22 bekas kek daripada dua beradik itu, pengusaha kosmetik ini berjanji akan berjumpa dengan mereka semula di kemudian hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya tak layan ‘lelaki sihat’ minta belanja di Pavilion, pemuda ini terus kejar selepas sedar sesuatu - “Dia nak nasi dan sayur je”

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sekeluarga kebulur tepi highway, treler rosak pukul 3 pagi... Isteri minta bantuan di TikTok, tak sangka netizen hantar nasi kenduri!

Selain sibuk menguruskan syarikat kosmetiknya, Syairee juga aktif memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik seperti rumah anak yatim, mangsa banjir dan golongan kurang berkemampuan.

"Arwah abah meninggal waktu saya umur tujuh tahun. Saya faham sangat apa yang budak dua orang tu rasa sebab saya pernah tengok betapa susahnya mak besarkan kami adik-beradik lepas abah tak ada.

"Saya selalu bantu orang susah cuma tak muat naik di media sosial. Kadang-kadang saya bantu mangsa banjir. Ada yang saya bagi beras dan barang keperluan lain.

"Sekarang pun saya bantu rumah anak yatim di Pasir Pekan dan yang ni saya muat naik di TikTok. Selalu ziarah anak-anak yatim di sana kalau ada masa terluang. Kadang-kadang saya hubungi ustazah yang menjaga rumah anak yatim tu tanya khabar.

"Lepas saya kongsi video tu, Alhamdulillah ramai ejen yang ajak ziarah rumah mereka. InsyaAllah saya akan jumpa semula sebab hari tu nak cepat jadi tak sempat nak borak banyak. Kalau pergi rumah mereka, mungkin ada apa-apa yang saya boleh bantu untuk ringankan beban mereka," katanya.

Syairee sentiasa ke rumah anak yatim untuk meluangkan masa dan menghantar sumbangan

Syairee turut berpesan kepada orang ramai untuk sentiasa bersikap murah hati dan tidak berkira dalam memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Tambahnya, pintu rezeki untuk terus berjaya adalah dengan menghormati ibu bapa dan sentiasa membantu anak-anak yatim.

"Apa yang saya belajar ialah bila kita banyak memberi rezeki Allah SWT itu akan lebih banyak datang. Terutamanya bila banyak memberi kepada anak yatim.

"Saya percaya rezeki yang Allah beri kepada saya hari ni berkat doa seorang ibu dan sebab sedekah," katanya.

Video yang dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 250,000 tontonan dan lebih 20,000 tanda suka.

Syairee akan sentiasa berkongsi rezeki dengan orang ramai

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan mengucapkan terima kasih kepada Syairee kerana sudi berkongsi rezeki dengan adik-beradik berkenaan.

"Alhamdulillah. Sedih pula aku tengok muka budak tu. Semoga rezeki abang murah selalu.

"Alhamdulillah. Terima kasih kerana sudi membantu orang-orang susah.

"Alhamdulillah insan mulia. Semoga dilimpahi rezeki seluas lautan, Amin.

"Semoga kebaikan awak dibalas dengan seribu kebaikan," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain