suria

Allah pinjamkan sekejap saja... Pernah viral hadiahkan isteri iPhone 12 ketika hamil, 2 tahun kemudian suami dijemput Ilahi

Arwah suami Nur Ainun menghadiahkan iPhone 12, dua tahun lalu sempena hamil cahaya mata sulung, (kanan) kini anak sulung mereka berusia setahun 6 bulan.

SETIAP pasangan semestinya mengimpikan untuk melayari bahtera perkahwinan sehingga ke akhir hayat.

Namun soal jodoh dan maut adalah ketentuan Yang Maha Esa.

Hanya sempat melayari bahtera perkahwinan selama dua tahun setengah, si suami dijemput ajal kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

Untuk makluman, kisah pasangan ini pernah tular di media sosial dua tahun lalu ketika si suami menghadiahkan sebuah telefon pintar model iPhone 12 sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada isterinya yang disahkan hamil cahaya mata sulung.

Malah, mStar turut menemubual dan menyiarkan kisah pasangan ini susulan perkongsian yang dibuat di Twitter meraih perhatian ramai.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 21 Februari lalu, Nur Ainun Basirah Zaini berkata ketika itu arwah suaminya, Muhammad Emir Afiuddin Muhammad Nasron dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gombak, selepas bersarapan bersama rakan-rakan.

SUAMI 1

Perkongsian Nur Ainun dua tahun lalu selepas disahkan hamil.

"Arwah menaiki motosikal dan melanggar belakang kereta yang sedang berhenti kerana rosak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Apa yang diberitahu oleh saksi, hanya botol dijadikan sebagai tanda.

"Ketika itu saya sedang bekerja dan menerima panggilan dari nombor arwah akan tetapi bukan dia yang bercakap. Orang awam yang menelefon saya dan memberitahu suami saya terlibat dalam kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal jadi bapa selepas 3 bulan kahwin... nak beli satu iPhone, sampai kedai isteri pun dapat sama! - “Bukan murah, dah suami niat saya terima”

"Perasaan saya sangat terkejut sehinggakan saya tak boleh berfikir apa yang perlu dibuat selepas itu. Tanpa berfikir panjang saya terus menelefon abang saya yang sedang bekerja di Ampang untuk ke tempat kejadian.

"Orang awam memberitahu bahawa suami saya akan dihantar ke Hospital Selayang dan saya terus bergegas ke sana menaiki Grab. Arwah bagaimanapun meninggal dunia ketika di hospital," cerita wanita berusia 27 tahun ini.

SUAMI 3

Arwah suami bersama anak tunggal mereka, Muhammad Khalish.

Bercerita lebih lanjut, Nur Ainun berkata arwah suaminya yang merupakan seorang guru, berkelakuan sedikit berbeza pada pagi hari kejadian.

"Pada pagi hari kejadian, arwah sempat menghantar saya ke tempat kerja dan hantar anak ke rumah pengasuh. Arwah juga kelihatan diam dan tidak bercakap banyak.

"Tidak seperti kebiasaan yang selalu mengusik dan mencium anak," ceritanya lagi.

Tambah Nur Ainun, anak tunggal mereka, Muhammad Khalish yang berusia setahun enam bulan turut terkesan apabila sering mencari kelibat arwah.

Arwah juga pemurah bukan hanya dengan saya malah dengan rakan-rakannya juga.

NUR AINUN BASIRAH

ISTERI

"Anak masih kecil dan belum faham apa-apa. Semasa saya mengambil anak di rumah pengasuh, anak ada tunjuk ke tempat papanya selalu parking motor di situ sambil menyebut papa. Dan sehingga ke hari ini sering menyebut papa," kongsinya.

Seminggu sudah berlalu, pemergian suami nyata memberi kesan mendalam kepada Nur Ainun apatah lagi arwah disifatkan sebagai seorang yang sangat ringan tulang.

"Arwah membantu saya mengurus hal-hal dalam rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, membasuh baju, menyidai baju, mandikan anak dan sebagainya.

"Dia juga sentiasa memberikan senyumannya yang sangat manis dan sekarang saya sangat rindu akan senyuman itu.

"Arwah juga pemurah bukan hanya dengan saya malah dengan rakan-rakannya juga. Ada rakan gurunya memberitahu arwah sempat belanja rakan sebelum arwah kemalangan.

SUAMI 2

Foto ketika majlis resepsi pada November 2020.

"Anaklah penguat semangat saya sekarang. Tanpa dia mungkin saya lemah. Mungkin orang nampak kita kuat di luar namun di dalam hanya Allah yang mengetahuinya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nur Ainun turut menitipkan pesanan buat pasangan suami dan isteri agar menghargai pasangan masing-masing selagi masih mempunyai peluang bersama.

"Buat yang sudah kehilangan pasangan, ingatlah bahawa Tuhan tidak akan menguji hamba-Nya jika tidak mampu. Terus kuatkan semangat, sentiasa berdoa dan bersedekah kepada arwah.

"InsyaAllah kita kena yakin bahawa pasangan kita tenang dan beristirehat secukupnya di sana," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain