suria

“Sampai hati bibik tipu kami”- Status WhatsApp macam orang putus cinta, kasih anak dan ‘maid’ kembali bertaut

Kanak-kanak ini tergamam melihat Bibik Yanti kembali ke Malaysia.

BERAT hati seluruh ahli keluarga untuk melepaskan pembantu rumah pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Apatah lagi dia sudah dianggap sebagai ahli keluarga dan paling terkesan adalah anak-anak.

Namun kesedihan keluarga ini terubat apabila pembantu rumah yang dirindui akhirnya kembali ke Malaysia dan ketibaannya di lapangan terbang bagaikan satu drama.

Norazlina Mohd Yusof berkata, pembantu rumah tersebut yang dipanggil Bibik Yanti sebelum ini telah berkhidmat bersama keluarganya selama dua tahun bermula 2019.

Wanita berusia 37 tahun itu menjelaskan bahawa Bibik Yanti terpaksa pulang ke kampung di Medan pada akhir 2021 disebabkan beberapa faktor termasuk suaminya yang tidak sihat.

"Dah setahun bibik balik, kami semua sedih. Ada juga memujuk, tetapi harus akur dengan keadaan yang dialaminya di kampung lebih-lebih lagi keadaan kesihatan suaminya.

"Setiap kali pujuk, bibik kata kena bincang dengan suami. Walau apa pun, dia perlu mendapat restu keluarga," katanya kepada mStar.

bibik kembali 5

Kesedihan si anak selepas pembantu rumah pulang ke Medan, Indonesia.

Lebih dikenali sebagai Cik Lyn Gebu, dia memberitahu hubungan keluarganya dengan pembantu rumah yang kini berusia 46 tahun itu amat baik sehinggakan ketiadaannya begitu dirasai.

"Terutamanya anak perempuan saya, Xufaira Diandra yang berusia sembilan tahun, paling sedih apabila bibik balik kampung. Mereka sangat rapat, makan dan tidur pun selalu bersama.

"Xufaira seorang anak yang ceria, tapi nampak jelas kesedihannya kerana berpisah dengan bibik. Kalau tengok status WhatsApp dia macam orang putus cinta.

"Contoh status macam 'Apa rasanya apabila orang tersayang pergi meninggalkan kamu?', 'Aku rindu kamu'... kadang-kadang dia letak gambar atau video bersama bibik sebab rindu," ujarnya mengenai anak kedua daripada tiga beradik itu.

bibik kembali 1

Tiga anak Norazlina bersama Bibik Yanti.

Menurut Norazlina, pembantu rumahnya pernah kembali ke Malaysia tahun lalu bagi menjaga anak bongsunya yang sakit, dan selepas itu pulang semula ke kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Layan 'maid' macam VIP, bawa shopping baju raya di KLCC... Ramai tawar diri jadi bibik, mengidam bonus RM5,000!

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat - "Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang"

“Walaupun berpisah, kami sering berhubung dan bertanya khabar. Lebih-lebih lagi Xufaira, hampir setiap hari mereka telefon atau hantar mesej,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

bibik kembali 3

Hubungan akrab pembantu rumah dan anak.

Mengenai keperibadian pembantu rumahnya, dia dan keluarga menyifatkan Bibik Yanti sebagai wanita yang baik dan penyayang.

"Orangnya tak pernah meninggi suara, tak pernah naik tangan pada anak-anak saya. Dia tak akan ambil barang atau duit bukan kepunyaannya.

"Dia sangat tenang dan menjaga solatnya, paling terharu dia juga mengajar anak-anak saya mengaji dan mendalami ilmu agama,” tambahnya.

bibik kembali 6

Bibik Yanti (duduk) juga rapat dengan adik dan adik ipar Norazlina, seperti keluarga.

Norazlina yang merupakan pengusaha produk kosmetik dan kecantikan syukur dan gembira apabila pembantu rumahnya itu akhirnya bersetuju untuk kembali berkhidmat dengannya.

"Mereka hidup susah di sana, dengan anak-anak masih bersekolah dan ada juga belajar di universiti di Aceh. Saya bersyukur kerana dapat bantu dia dengan gaji yang best untuk hantar duit ke kampung dan biaya anak belajar... niat saya memang nak bantu.

Kalau kita layan pembantu rumah dengan baik, insyaAllah dia juga okay dengan kita.

NORAZLINA MOHD YUSOF

MAJIKAN

"Kalau kita layan pembantu rumah dengan baik, insyaAllah dia juga okay dengan kita. Jangan bezakan diri kita dengan mereka," katanya.

Turut menyifatkan Bibik Yanti sebagai 'penasihat keluarga', Norazlina berkongsi mengenai kejutan yang dibuat untuk anak-anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2 ) di Sepang, pada akhir Februari.

bibik kembali 2

Norazlina (kiri) bersama Bibik Yanti.

"Saya beritahu nak jemput sepupu mereka dari Sabah, tapi sebenarnya menunggu ketibaan Bibik Yanti dari Medan. Saya dah pesan pada bibik jangan beritahu anak saya, mahu buat kejutan.

"Masa di ketibaan di KLIA2, saya tercari-cari bibik. Tiba-tiba anak saya terdiam, tergamam nampak bibik dulu. Dia menangis sambil kata 'sampai hati bibik sebab tipu kami' (kejutan)," ujarnya secara berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain