suria

Budak berpeluh terkurung dalam mesin basuh kedai dobi! Wanita ini dari awal dah boleh agak sesuatu bakal terjadi

Azura melihat seorang kanak-kanak dimasukkan ke dalam mesin basuh di dobi layan diri.

BAHAYA ada di mana-mana sahaja, jadi ibu bapa yang mempunyai anak perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Pada usia yang masih muda, si kecil mula 'panjang akal' melakukan sesuatu di luar jangkaan disebabkan rasa ingin tahu membuak-buak dalam diri mereka.

Maka tidak hairanlah hanya dalam masa sesaat ibu bapa terlepas pandang, sudah cukup untuk mereka melakukan sesuatu yang mengundang risiko dan boleh mengancam nyawa.

Tangkap layar TikTok wanita ini kongsi kisah mencemaskan di sebuah kedai dobi.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, seorang ibu, Azura Sapari menceritakan detik cemasnya ketika sedang berada di sebuah kedai dobi.

Sewaktu menguruskan pakaian untuk dikeringkan, kebetulan terdapat seorang lagi ibu di sana bersama empat anak yang turut menggunakan mesin basuh layan diri yang lokasinya tidak dinyatakan.

Sementara menunggu pakaian siap dicuci di dalam kereta, Azura melihat kanak-kanak berkenaan sangat aktif bermain tolak bakul tanpa ditegur oleh ibu mereka yang ralit bermain telefon.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita di kedai dobi bikin panas, dah sediakan meja tetap berkeras ‘melipat’ depan dryer... apa masalah akak ni sebenarnya?

ARTIKEL BERKAITAN: “Patutlah baju bau panggang” - Kecoh kedai dobi guna gas asli keringkan baju, netizen bimbang letupan jika abai aspek keselamatan

“Saya masuk baju (dalam mesin) untuk keringkan, kemudian saya masuk kereta yang menghadap bahagian dalam dobi. Jadi masa dalam kereta saya tengok budak-budak tu berlari. Saya biar saja.

“Saya perasan mak dia tengok (guna) telefon. Saya tengok mak dia memang tak ada tegur atau buat apa-apa. Dalam hati saya ya Allah kalau anak aku ni tak tahulah.

“Saya perhatikan anak-anak dia. Salah seorang duduk atas kerusi, dua orang sedang bermain,” ujarnya.

Ibu leka bermain telefon ketika anak bermain di dobi. - Gambar hiasan.

Pada mulanya Azura melihat salah seorang anak wanita tersebut sedang bermain buka-tutup pintu mesin basuh.

Tetapi dia mula berasa bimbang apabila melihat si abang cuba mengangkat adiknya yang kecil untuk dimasukkan ke dalam mesin basuh.

“Ingatkan dia nak main buka tutup pintu saja. Tak terfikir pula dia nak masukkan adik dia dalam tu.

“Jadi saya pun (sambung) tengok telefon sebab masa tu saya tengah video call dengan suami. Masa pandang semula (ke arah dobi) eh ada adik dia dalam tu.

“Saya terus keluar dan beritahu salah seorang kawan lelaki yang ada dekat dobi tu. Kawan saya pun terkejut masa tu. Selepas anak dia sendiri turut terkejut, barulah ibunya perasan kejadian tu,” katanya.

Mulalah mak dia menggelepar cari telefon sampai terketar-ketar nak call. Ada juga yang cuba cari spanar untuk ketuk (pintu).

AZURA

Jelas Azura lagi, wanita itu lantas memarahi anaknya dianggarkan dalam lingkungan usia empat hingga lima tahun sebelum cuba menelefon pemilik dobi tersebut.

Mujurlah tiada sesuatu yang buruk terjadi dan mesin basuh yang terkunci itu boleh dibuka semula dengan selamat, cuma anaknya keluar dalam keadaan berpeluh akibat terkurung.

“Mulalah mak dia menggelepar cari telefon sampai terketar-ketar nak call. Ada juga yang cuba cari spanar untuk ketuk (pintu).

“Masa tu kita risau oksigen kurang ke apa. Lepas si ibu call tuan kedai barulah dia suruh tutup plug. Selepas beberapa minit pintu boleh dibuka,” imbas Azura lagi.

Kedai dobi menjadi pilihan kaum ibu untuk mencuci dan mengeringkan pakaian.

Tegas Azura, dia berharap agar kisah ini menjadi pengajaran buat ibu bapa di luar sana supaya sentiasa memantau anak khususnya saat berada di tempat awam.

Apatah lagi pada musim hujan berpanjangan ini, ramai dalam kalangan kita menggunakan perkhidmatan dobi untuk mengeringkan pakaian dengan segera.

Ibu bapa seharusnya mengutamakan keselamatan anak-anak tidak kira di mana mereka berada kerana risiko dan bahaya sentiasa ada tanpa mengira tempat atau lokasi.

Gagal untuk peka dengan keadaan sekeliling mungkin akan menyebabkan berlakunya kemalangan terhadap anak-anak dan waktu itu mungkin menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain