suria

Masuk bilik banjir beri salam, tergamam si batik menyerupai helmet ‘curi’ tempat pahar bunga telur - “Kami bertentang mata, ular jelir lidah”

Azie berkongsi detik cemas melihat seekor ular sawa di dalam bilik tidurnya.

"INGATKAN helmet (topi keledar)."

Begitulah reaksi netizen yang menyaksikan satu video tular mengenai kejadian banjir di bilik tidur seorang wanita.

Siapa sangka objek yang disangka topi keledar di atas sebuah rak itu rupa-rupanya seekor ular sawa yang melingkar.

Berkongsi cerita kepada mStar, wanita berkenaan, Nurulfazira Wahman berkata, kediaman keluarganya di Parit Sulong dekat Batu Pahat, Johor antara kawasan yang dilanda banjir teruk, sejak Jumaat.

Lebih mesra disapa Azie, katanya, dia sekeluarga perlu memindahkan barang-barang berharga termasuk peralatan elektrik ke tempat lebih selamat, pada petang Sabtu.

"Banjir dah cecah paras pinggang. Mana-mana barang yang boleh diselamatkan, kami angkut. Saya pula teringat ada dokumen peribadi seperti sijil-sijil dan surat beranak ada diletakkan atas almari dalam bilik.

"Saya masuk bersendirian ke dalam bilik, kemudian terdetik hati kenapa pahar bunga telur (tempat bunga telur untuk pengantin) yang diletakkan di atas rak terjatuh.

"Dua kali saya masuk dan patah balik untuk selamatkan barang-barang. Saya beri salam sebelum masuk bilik, tak sangka saya boleh cakap macam tu," katanya kepada mStar.

ular dalam bilik 6

Banjir mencecah paras pinggang.

Masih berada di dalam bilik tidurnya ketika itu, Azie yang berusia 33 tahun sempat menoleh keadaan sekeliling sebelum beredar.

"Seolah-oleh terpanggil, saya tertoleh ke arah rak. Jadi tepat saya memandang sesuatu di bahagian atas rak.

ARTIKEL BERKAITAN: Subhanallah! Rumah di Kota Tinggi tenggelam sampai paras hidung, tapi sejadah kering terhampar arah kiblat... al-Quran pun tak basah

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak, tak matilah! Dua sahabat lari lintang pukang selepas 'acah berani' tarik ular sawa kekenyangan - "Kami excited dapat tengok depan mata"

"Tiba-tiba saya ternampak ada seekor ular sawa. Masa tu saya tak tahu nak cakap apa, tak ada rasa nak menjerit pun.

"Saya hanya bertawakal dan berjalan perlahan-lahan keluar bilik sebelum memaklumkan perkara itu kepada ayah dan adik lelaki yang turut mengemas dan mengangkat barang-barang," ujarnya yang berasal dari Parit Sulong.

ular dalam bilik 5

Keadaan rak sebelum ini yang turut menempatkan pahar bunga telur.

Mengimbas kembali detik cemas, anak sulung daripada lima beradik masih tidak dapat membayangkan perasaan takutnya melihat reptilia itu di dalam bilik.

"Ular sawa tu jelir lidah ketika saya tepat memandangnya. Saya rabun jauh, mujur pakai cermin mata... kalau tak, tak tahu apa jadi, sebab saya dua kali lalu sebelah rak tu!

Saya rabun jauh, mujur pakai cermin mata... kalau tak, tak tahu apa jadi.

AZIE

"Apabila mata bertentang mata tu, saya dapat rasakan betapa besarnya ular sawa ni," katanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Tiga.

Azie yang mengusahakan inap desa (homestay) bersama keluarganya dekat kediamannya berkata, kejadian ular memasuki rumahnya pertama kali berlaku.

ular dalam bilik 7

Keluarga Azie memindahkan barang-barang ke tempat lebih tinggi.

"Syukur Alhamdulillah saya selamat, dokumen penting juga dapat diselamatkan. Cuma bisnes homestay terjejas akibat banjir.

"Banyak kerosakan dan kerugian, malah kena baik pulih dulu apabila banjir surut. Ada juga tempahan homestay terpaksa cancel dan bagi refund kepada pelanggan.

"Nanti perkara pertama masuk rumah dan homestay kena periksa dulu sama ada ular sawa tu ada lagi ke tak. Kalau ada (ular) kena panggil Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk bawa keluar," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain