suria

Anak teringin sangat nak konvo tapi ‘pergi’ dulu, mak ayah menggigil ambil transkrip! Tak sangka ada kekuatan naik pentas

konvo 1

MATA para hadirin di Dewan Tunku Canselor, Negeri Sembilan terpaku saat sepasang suami isteri melangkah naik di atas pentas untuk menerima transkrip diploma bagi pihak anak mereka yang meninggal dunia.

Hari itu yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan oleh seisi keluarga bertukar hiba apabila pengacara menyebut nama si anak selain meminta para hadirin menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah.

Allahyarham Ahmad Azhan Faris Azhar, 20, yang berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Elektrik dari Kolej Vokasional Melaka Tengah, maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada November lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, ibu kepada Allahyarham, Aida Ahmad berkata anaknya terbabit kemalangan pada 7 November tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang dari kolej menuju ke rumah mereka yang terletak di Sungai Rambai, Melaka.

Akibat kemalangan yang turut membabitkan sebuah lori itu, anaknya mengalami kecederaan dalaman yang parah sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi 14 November, iaitu seminggu selepas bertarung nyawa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ketika jalan terima skrol, fikiran dan jiwa saya sangat kosong” - Bapa graduan meninggal ‘tak sedar’ apa dilakukannya selepas turun pentas

ARTIKEL BERKAITAN: Senyuman bangga seorang ibu... Nora Ariffin terima diploma bagi pihak arwah anak

"Sejurus selepas kemalangan, dia masih sedar. Sebelum masuk dewan bedah pun dia masih sedar dan kami sempat berbual. Sekeluarga ada di sisinya ketika itu, kami saling meminta maaf.

"Saya dan ayahnya juga katakan padanya, kami maafkan segala salah silap, halalkan makan minum dan reda apa yang jadi. Puas hati dia dapat dengar.

Aida dan suaminya, Azhar naik ke pentas menerima transkrip diploma bgai pihak Allahyarham Ahmad Azhan pada 7 Mac lalu.

"Bagaimanapun, selepas pembedahan, dia tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 14 November. Sebenarnya sebelum itu doktor beritahu, kes anak saya sebenarnya tipis harapan untuk bertahan.

"Tapi mereka kata akan melakukan sehabis daya yang terbaik... namun ternyata Allah menyayanginya," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini.

Berkongsi cerita lebih lanjut, Aida berkata, dia dan suami, Azhar Daril, 52, menyangka akan menyaksikan anak mereka menyarung jubah dan naik ke pentas pada 7 Mac lalu untuk mengambil sendiri transkip selepas berjaya menamatkan pengajian.

konvo 3

Allahyarham Ahmad Azhan (belakang, tengah) bersama keluarga.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami yang akan naik ke pentas bagi mewakili anak sendiri. Sebelum ini pernah tengok video ada waris yang naik pentas bagi mewakili arwah anak mereka.

"Tapi kini, kami juga berada dalam situasi yang sama. Kami sebenarnya tak kuat nak hadapi. Tapi saya ingat, sebelum accident, dia pernah cakap, 'An tak sabar nak tunggu konvo... nak banggakan ayah ibu. Tak sabar nak kerja'.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami yang akan naik ke pentas bagi mewakili anak sendiri.

AIDA AHMAD

IBU

"Bila teringat kata-kata itu, saya jadi kuat. Namun menggigil juga kaki masa naik. Orang nampak macam kuat, tapi Allah saja tahu perasaan kami.

"Bila turun pentas, rasa macam tergamam kejap. Ya Allah, macam mana boleh naik... tapi sebenarnya, kerana dialah kami kuat," ujarnya lagi.

Sungguhpun sudah empat bulan tragedi pahit itu berlaku, Aida berkata sehingga kini keluarganya masih terkesan dengan pemergian anak ketiga daripada lima adik beradik itu.

"Dia orangnya sangat periang, suka buat kelakar, mudah menolong orang lain, malah sanggup pinjam wang dekat orang lain demi pinjamkan kepada kawan. Dia juga suka belanja kawan-kawan.

"Ini semua diceritakan oleh kawan-kawannya selepas dia tiada. Kalau masa terluang atau masa cuti, dia suka buat macam-macam kerja untuk dapat duit lebih seperti buat Grab, kerja catering dan tolong ayahnya berniaga... memang dia jenis berdikari.

konvo 4

Gambar kenangan Allahyarham Ahmad Azhan bersama ibu dan dua kakaknya.

"Bila dia tak ada, rumah sunyi sangat. Bukan kami je, jiran pun terkesan dengan pemergiannya.

"Kami sekeluarga tak sangka video yang dikongsikan dil TikTok Kolej Vokasional Melaka Tengah menjadi tular.

"Bila baca komen, kami bersyukur sangat-sangat sebab terlalu ramai yang mendoakannya. Kami ucapkan terima kasih. Apa yang anda lalukan tak mampu kami nak balas... hanya mendoakan moga kebaikan berbalik kepada anda," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain