suria

Pelajar hadir duduki kertas terakhir SPM sehari lebih awal, ibu berdebar dapat panggilan - “Mungkin nak cepat merdeka”

Terlalu teruja nak jawab kertas akhir SPM sampai tersalah tarikh peperiksaan.

DEMAM peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menentukan hala tuju pelajar selepas ini nampaknya belum reda.

Pelbagai kisah dan ragam pelajar yang dikongsi di media sosial sepanjang peperiksaan berlangsung, tidak kira sama ada ia sedih, melucukan malah ada juga yang mendebarkan.

Bagi Effirul Hafiy,18, keterujaannya untuk menduduki peperiksaan SPM kerta terakhir, subjek Bahasa Arab bertukar cemas apabila tidak seorang pun rakannya kelihatan di sekolah.

Tangkap layar video yang dimuatnaik di TikTok

Ketika dihubungi mStar, ibunya iaitu Nor Azillah Fatimah Othman, 42, menceritakan semula apa sebenarnya yang berlaku kepada anaknya.

Menurut Nor Azilah, pada hari kejadian dia berdebar apabila tiba-tiba mendapat panggilan daripada anak sulungnya memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama anaknya menghadapi peperiksaan besar.

Nor Azilah mengakui kesibukannya yang bekerja sebagai pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia, Kajang, telah menyebabkan dia terlepas pandang mengenai tarikh sebenar peperiksaan anaknya itu yang dijadualkan pada 9 Mac 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Hero sulung gemuruh nak ambil SPM, ibu selamba sakat anak siap buat lawak - “Benda bulat-bulat golek di kaki jangan kutip!”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar 10A SPM kembali kejar cita-cita selepas perkahwinan di usia 18 tahun gagal, masih ‘power’ sekali interview terus dapat biasiswa

"Setiap hari memang saya akan hantar anak ke sekolah dan lepas tu baru pergi kerja. Epi tengah SPM sekarang pun saya yang hantar pagi-pagi. Kertas akhir dia Bahasa Arab. Pagi tu sebelum turun dari kereta dia masih menghafal sebab subjek agak susah... banyak kena hafal.

"Saya dah sampai pejabat tiba-tiba dapat panggilan daripada dia. Berdebar jugalah sebab ingatkan tertinggal kad pengenalan atau berlaku sesuatu. Dengan suara panik dia cakap tak ada orang dekat sekolah. Saya suruh periksa lokasi peperiksaan. Bila Epi check, barulah dia perasan tarikhnya salah. Sepatutnya 9 Mac, tetapi dia ingatkan 8 Mac.

Tugas ibu bapa hanyalah membuka jalan dan memberi bimbingan kepada anak-anak. Tapi kita tidak boleh memaksa. Sekiranya kita mahu mencorakkan masa depan mereka, beri pendedahan dari awal supaya minat tu boleh ditanam dalam diri mereka.

ZIL

"Saya pun pergi ambil dia semula di sekolah dan hantar balik rumah. Cuak juga sebab anak sulung, tu yang emaknya pun kalut sampai tak terfikir nak check tarikh betul-betul.

"Mungkin seronok sangat nak 'merdeka' awal. Tapi saya beritahu dia yang mungkin Allah nak bagi peluang lagi sehari untuk belajar lagi. Macam-macam ragam," katanya yang menetap di Hillpark, Bandar Teknologi Kajang.

Bagaimanapun Zil enggan mendedahkan nama dan lokasi sekolah anak lelakinya itu.

Bercerita lanjut, dia yang mesra disapa Zil berkata walaupun dia dan suami lebih ke arah bidang nombor dan pengiraan, namun Epi selaku anak sulung daripada tiga orang adik-beradik mengambil bidang bahasa.

Epi merupakan anak sulung dalam tiga adik beradik.

Dalam pada itu, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini memberitahu dia sekeluarga akan 'terbang' ke Vienna pada 27 April ini selepas ditawarkan menjadi pekerja kerajaan antarabangsa dan akan berkhidmat dengan sebuah syarikat di sana..

Bercakap mengenai minat dan cita-cita Epi, besar kemungkinan anaknya itu juga bakal menyambung pengajiannya di sana.

"Suami saya jurutera. Tapi kami nampak Epi minat bahasa. InsyaAllah kami sokong apa sahaja minat dia. Sebab yang nak belajarnya dia. Kami tak paksa dia untuk sambung bidang yang sama.

"InsyaAllah dia akan sambung belajar dekat sana. Tak sanggup nak tinggal dia dekat Malaysia seorang diri. Sebab saya akan bekerja di sana selama dua tahun. Nanti dia akan buat program Asasi dulu lepas tu baru pilih jurusan," katanya.

Epi (kiri) dan keluarganya

Dalam pada itu Zil berkata dia tidak menyangka video yang dikongsinya itu menjadi tular kerana tujuannya hanyalah untuk dijadikan sebagai kenangan untuk dilihat anaknya kelak.

Pada masa yang sama, wanita ini turut menitip pesan buat ibu bapa di luar sana yang mungkin sedang 'berperang' dengan masa depan anak-anak remaja mereka.

"Sentiasa tenang dalam apa jua keadaan dan lihat sisi positif dalam setiap kejadian yang berlaku.

"Tugas ibu bapa hanyalah membuka jalan dan memberi bimbingan kepada anak-anak. Tapi kita tidak boleh memaksa. Sekiranya kita mahu mencorakkan masa depan mereka, beri pendedahan dari awal supaya minat tu boleh ditanam dalam diri mereka," ujarnya lagi.

Sehingga kini perkongsian Zil di TikTok meraih hampir 100,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia