suria

Bapa tebalkan muka rayu minta nasi, 2 anak belum makan... Tuan kedai buka cerita sebenar, momen kesat air mata paling sayu

Individu itu berulang kali ucap terima kasih sambil lap air mata sebelum berlalu pergi.

TANGAN yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.

Seharusnya kita ingat bahawa sekecil mana pun sumbangan yang diberikan ia cukup bermakna kepada si penerima hingga mereka mampu mengukirkan senyuman.

Seperti situasi yang berlaku di sebuah kedai makan di Kajang baru-baru ini, sifat pemurah yang ditunjukkan peniaganya meninggalkan kesan moral yang positif kepada orang ramai.

Berdasarkan video yang tular, seorang lelaki dilihat terpaksa membuang rasa malu apabila melangkah masuk ke sebuah kedai untuk meminta diberikan makanan secara percuma.

Ketika dihubungi mStar, pemilik restoran Ayam Gepuk Pak Agus di Bandar Kajang, Muhammad Shafiq Razak berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah bengkel kereta berdekatan.

Namun pada petang kejadian 6 Mac lalu itu salah seorang stafnya memaklumkan tentang kehadiran lelaki tersebut dan selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia meminta pekerjanya yang bernama Tiara untuk memberi sedekah makanan serta minuman kepada individu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulanya tak layan ‘lelaki sihat’ minta belanja di Pavilion, pemuda ini terus kejar selepas sedar sesuatu - “Dia nak nasi dan sayur je”

ARTIKEL BERKAITAN: “Belanja aku RM18, lauk dia baru RM5” - Pemuda ‘musykil’ tengok penjaga kebun suka bayar orang makan, dapat jawapan selepas cuba tiru amalannya

Untuk rekod restoran milik Shafiq itu beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 7.30 malam dan waktu kejadian itu berlaku hanyalah beberapa minit sebelum kedainya ditutup.

"Staf call saya lebih kurang 6.25 petang dan beritahu ada orang datang minta makanan sebab anak dia dua orang tak makan lagi. CCTV di kedai saya boleh ditonton secara langsung melalui telefon, jadi saya terus tengok keadaan lelaki tu.

"Nampak la keadaan dia macam dalam kesusahan. Saya terus beritahu staff siapkan set lengkap nasi ayam gepuk iaitu nasi, kicap, ayam, sayur, tauhu dan tempe. Saya minta staf untuk beri nasi tambah juga untuk dia," kata Shafiq kepada mStar.

Pekerja Shafiq juga memberikan sebotol air mineral kepada lelaki tersebut

Tambah Shafiq, apa yang mengejutkan apabila lelaki berkenaan tiba-tiba menangis selepas permintaannya ditunaikan.

"Lepas beri makanan... staf kata dia terkejut sebab lelaki tu tiba-tiba menangis kerana menerima bungkusan makanan tu. Dia juga berulang kali ucap terima kasih. Dia juga mendoakan agar kami dimurahkan rezeki.

"Dia ada cakap yang dia akan datang dan bayar semula apabila dah ada duit nanti. Tapi staf kata tak mengapa sebab kira percuma nak sedekah sahaja. Hanya minta dia doakan kedai kami sentiasa berjalan lancar dan murah rezeki sahaja.

"Staf saya tanya nak minum air manis tak? Dia cakap anak dia tak minum ais, sebab tu yang staf saya hulur air mineral bagi dekat dia. Lepas tu dia terus ambil makanan dan pergi sambil lap air mata," ujar pemuda berusia 32 itu.

Shafiq dan isteri, Endang Sulistiyawarni, bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi

Sementara itu, Shafiq yang sudah berniaga selama dua tahun memberitahu dia sebenarnya sudah terbiasa dengan insiden sebegini kerana di belakang kedainya adalah 'port' gelandangan berkumpul.

Tambahnya, ini merupakan perniagaan keluarga yang dilakukan bersama dengan dua orang adiknya.

Dalam pada itu, Shafiq yang menetap di Sungai Penchala berkongsi berita gembira bahawa dia dan isteri bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi memandangkan isterinya kini sedang hamil cahaya mata sulung.

"Abang tu dah tak datang lagi ke kedai saya. Tapi selalu ada sahaja orang lain yang datang ke kedai minta makanan. Belakang kedai saya ada juga gelandangan yang tidur.

Shafiq (dua dari kanan) merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

"Moga-moga apa yang saya kongsikan ini akan menjadi inspirasi kepada orang lain. Saya juga harapkan agar urusan kehamilan isteri yang kini mencecah usia tiga bulan berjalan lancar," ujarnya.

Sementara itu kata Shafiq, jika diberikan peluang dia berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan bagi membantu golongan yang amat memerlukan.

Malah dia sempat menitipkan pesan kepada orang ramai agar bersama-bersama memudahkan urusan mereka yang dalam kesusahan.

Hingga kini video tular itu meraih lebih 1.5 juta jumlah tontonan di TikTok dan mendapat komen positif daripada netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain