suria

Bisnes aircond dah stabil, cuba jual makanan pula! Baru naik signboard pemilik dah demam tak boleh bangun, 3 malam mimpi ular berbisa

Abang Sejuk terlantar akibat demam berpanjangan setelah membuka kedai makanan.

PELBAGAI dugaan dan cabaran terpaksa ditanggung oleh mereka yang terjun ke dalam dunia bisnes.

Begitulah juga nasib Mohd Najib Amin, 27, apabila perniagaannya yang baru mula 'bernafas' terpaksa dihentikan, didakwa kerana hasad dengki orang lain.

Kisah pahitnya bermula apabila dia yang sebelum ini menawarkan servis dan perkhidmatan berkaitan pendingin hawanya membuka pula bisnes makanan, Abang Sejuk Vendorlicious baru-baru ini.

"Saya kena buka kedai dua tingkat sebab nak naikkan signboard di bahagian atas. Tapi bila buka dua kedai saya tak gunakan ruangan atas dan bawah sepenuhnya.

Abang Sejuk membuka kedai menjual makanan.

"Jadi apabila berbincang dengan pekerja-pekerja mereka beri cadangan bisnes baharu dan akhirnya saya buka kedai jual manisan serta makanan dan minuman.

"Niat saya nak bantu orang ramai terutama golongan ibu yang berniaga supaya bisnes mereka pergi lebih jauh. Apabila buka untuk vendor berniaga, untung jualan boleh dikongsi bersama mereka,” kata Najib yang popular dengan nama Abang Sejuk.

Setelah membuka peluang kepada lebih 80 vendor makanan baru-baru ini, sambutan diterima cukup menggalakkan apabila pelanggan datang dari seluruh pelosok negeri.

Namun, keterujaannya tidak lama apabila Abang Sejuk mula jatuh sakit setelah beberapa hari menjalankan perniagaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sushi baru buat 3 jam dah berulat! Peniaga nekad bisnes macam biasa, enggan tahu siapa hantar sihir

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu pelanggan lalu lalang tapi tak singgah, belum apa-apa ustaz dah tersenyum lihat burung tiong ketika dipanggil periksa kedai disihir

"Alhamdulillah sejak pembukaan kedai, pelanggan memang ramai. Walaupun kedai tutup pukul 9 malam, tapi dah tutup lampu pun masih ada yang naik ke tingkat atas nak beli makanan.

"Tapi selepas lebih kurang lima hingga enam hari buka kedai, saya jatuh sakit. Masa mula-mula jatuh sakit tu saya dah mula dapat rasakan yang saya ni kena buatan orang. Waktu tu saya masih bersangka baik dengan menganggap bahawa saya cuma demam biasa saja.

"Selepas tiga hingga empat hari demam masih tak surut juga saya pun cuba dapatkan rawatan doktor di hospital dan klinik swasta. Mereka suspek saya kena denggi. Doktor ambil sampel darah untuk diuji.

Antara makanan yang dijual.

"Saya lega sikit sebab anggap denggi, bukan sihir tapi selepas balik klinik saya banyak bermimpi saya terkena buatan orang. Dua malam berturut-turut saya mimpi ular berbisa. Malam ketiga saya mimpi ada ular belit bahagian tangan kiri pula. Sebelum tu saya ada mengadu pada isteri, nak pegang pen pun saya tak larat,” imbasnya lagi.

Lebih membuatkan Abang Sejuk yang menetap di Sungai Petani, Kedah ini yakin dia terkena buatan orang apabila doktor memberitahu keputusan ujian sampel darah menunjukkan tiada sebarang simptom demam denggi.

Abang Sejuk sudah memulakan bisnes pendingin hawa sejak enam tahun lalu.

Pada mulanya, Abang Sejuk dan pasangan memilih untuk tidak lagi meneruskan perniagaan tersebut, namun akhirnya sepakat untuk terus melakukannya setelah mendapat petunjuk daripada solat istikharah.

"Mula-mula bisnes dah tergantung 50-50. Tapi kami dah belanjakan hampir RM100,000 untuk ubah suai kedai. Kalau terpaksa tutup juga, kami reda.

Adakalanya kalau kita nak ada rasa dengki dengan orang lain, berbaloi ke dengan pendapatan dia terima.

ABANG SEJUK

"Bagi saya kalau tanya manusia kita tak dapat jawapan tepat. Jadi kami buat solat istikharah selama lima malam berturut-turut. Lepas tu kami dapat mimpi-mimpi yang menunjukkan ke arah untuk teruskan berniaga. Dalam mimpi tu sambutan lepas Hari Raya pun memberangsangkan sangat.

"Lagi pula ramai pengikut di media sosial dan orang sekeliling minta kami ‘lawan’ dan jangan putus asa. Saya pun jadi semangat bila tengok golongan ibu-ibu pun bersabar dan terus menyokong saya nak berniaga bersama-sama,” katanya.

Abang Sejuk terlantar akibat demam berpanjangan setelah membuka kedai makanan.

Abang Sejuk terlantar akibat demam berpanjangan setelah membuka kedai makanan.

Menurutnya yang terkenal dengan kisah 12 beradik bersaudara di TikTok, dia bercadang untuk membuka semula perniagaan selepas Hari Raya Aidilfitri keenam tidak lama lagi.

Tambahnya lagi, buat masa sekarang, dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perkhidmatan dan bisnes pendingin hawa yang sudah beroperasi sekitar enam tahun lalu.

Najib (barisan kedua, dua dari kanan) bersama adik beradik yang lain.

"Orang kenal saya dengan panggilan Abang Sejuk pun sebab perkhidmatan aircond saya buat. Rancangan saya sekarang ni nak buat servis dari Perlis sampailah ke Selangor. Jadi siapa-siapa yang nak guna perkhidmatan saya boleh buat tempahan sebelum Hari Raya.

"Bagi saya apa berlaku ni ada hikmahnya. Kita sudah berada di tahun 2023, kalau kita mahukan sesebuah negara dan bisnes maju, mentaliti kita juga kena ‘maju’.

"Adakalanya kalau kita nak ada rasa dengki dengan orang lain, berbaloi ke dengan pendapatan dia terima. Belum masuk nilai berjuta-juta lagi. Bersainglah secara sihat. Jangan sampai makan diri,” ujarnya menutupi kisah.

Sebagai peringatan bersama, segala bentuk khurafat dan azimat sama ada yang berbentuk amalan atau kepercayaan boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Perkara itu dihuraikan secara panjang lebar di portal e-Sumber Maklumat Fatwa (e-SMAF) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain