suria

Hidup sihat selama 21 tahun, tiba-tiba didiagnos hidap kanser paru-paru stage 3! Siswa UiTM rasa terduduk, dunia jadi gelap

Haziman yang juga pelajar UiTM didiagnos menghidap kanser paru-paru pada Januari lalu.

DALAM sekelip mata, hidup pelajar ini berubah selepas dia disahkan menghidap kanser paru-paru pada awal Januari lalu.

Menurut Abang Muhamad Haziman Abg Ali, 22, dia bagaikan jatuh terduduk ketika menerima perkhabaran itu, namun reda dengan segala ketentuan Allah buatnya.

"Saya masih sihat pada November tahun lepas. Kemudiannya saya alami demam dan sakit dada pada bulan Disember. Ketika itu saya disahkan menghidap pneumonia.

h1

Haziman mula jatuh sakit pada Disember lalu.

"Doktor suspek saya ada kanser sebab x-tray nampak pelik. Saya berharap tiada, sebab usia pun masih muda. Tapi selepas jalankan biopsy dan CT Scan, saya dapat tahu kena kanser paru-paru pada awal Januari.

"Masa tu rasa terduduk, gelap dunia. Tak sangka sebab saya baru berumur 22 tahun, saya pun tak merokok. Rasa hancur hidup saya," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut pelajar bidang perubatan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh itu, dia sudah melengkapkan dua kitaran kemoterapi dan akan meneruskan rawatan, termasuk kemungkinan untuk dibedah pada masa akan datang.

Saya bercita-cita nak jadi doktor... terinspirasi nak jadi pakar kanser, untuk bantu orang lain.

ABANG MUHAMAD HAZIMAN ABG ALI

"Saya dah habis dua kitaran kemoterapi dan akan mulakan yang ketiga pada Selasa depan. Dah habis kemoterapi tu, dalam dua ke tiga hari saya memang tak larat... penat, sakit perut dan muntah-muntah. Tapi selepas tu saya okey dan jalani hidup seperti biasa.

"Saya juga tidaklah sentiasa terperap di rumah. Saya akan keluar, main badminton dan sebagainya. Doktor pun sarankan saya banyak keluar buat aktiviti agar tidak stres.

"Kes saya agak bahaya sebab terlalu dekat dengan jantung. Saya dah stage tiga. Buat masa sekarang, kena tengok dulu kemoterapi saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau tak sempat balas jasa, anak terkejut dapat tahu bapa hidap kanser... Sekelip mata tak boleh berjalan, hilang selera makan

ARTIKEL BERKAITAN: Berakhir sudah derita kanser, wanita setia di sisi sahabat hingga nafas terakhir - “Kak Long ucap I love you untuk Kay”

"Selepas kemoterapi kali ketiga, doktor akan putuskan untuk bedah atau macam mana. Setakat ini belum pernah jalani pembedahan, sebab terlalu dekat dengan jantung," ujarnya lagi.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia cukup terkesan apabila rutin hariannya sebagai mahasiswa tahun ketiga berubah sepenuhnya selepas didiagnos menghidap kanser.

Di sebalik duka yang menyelubungi, Haziman tetap bersemangat untuk kembali ke kampus selepas sihat dan meneruskan perjuangannya untuk bergelar doktor.

ha43

Hazman akui rindu akan rutinnya sebagai pelajar.

"Saya memang terus cuti selepas dapat tahu ada kanser. Doktor sarankan saya untuk cuti dulu. Sejujurnya rindu kampus. Paling rindu nak pergi kelas sama-sama dengan kawan.

"Dah dua bulan saya cuti. Kat kampus ada kawan-kawan, duduk rumah sendirian. Saya memang berharap nak sembuh, nak habiskan apa yang saya dah mula, nak kerja dan jumpa kawan-kawan.

"Saya bercita-cita nak jadi doktor. Selepas tengok sendiri ramai orang yang kena kanser, saya terinspirasi nak jadi pakar kanser, untuk bantu orang lain.

"Untuk Ramadan dan raya kali ni, saya tidak teruja seperti tahun-tahun sebelumnya. Kalau ikutkan, masa raya tu mungkin ada kemoterapi lagi," ujarnya yang menetap di Tampin, Negeri Sembilan.

haziman2

Haziman bercita-cita untuk bergelar doktor suatu hari nanti.

Dalam pada itu, video dikongsi Haziman yang berkisar tentang perjalanannya sebagai pejuang kanser turut meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok.

Haziman berkata, dia terharu ada insan yang sudi mendoakan, sekali gus meniup semangat untuknya agar lebih tabah mendepani hari akan datang.

"Saya kongsi di TikTok untuk simpan sebagai kenangan saja. Saya terharu ada orang yang doakan, saya rasa seolah-olah ada harapan.

"Dalam ramai-ramai yang doakan kita, mungkin akan ada yang makbul. Selain itu, saya juga nak create awareness yang tak semestinya orang muda tak boleh sakit," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain