KATA orang, di sebalik kejayaan suami pasti ada isteri yang selalu ada untuknya. Begitu juga dengan kisah dikongsikan seorang lelaki mengenai isterinya yang sanggup berkorban ketika dia diuji dengan kesusahan hidup sejak awal perkahwinan mereka. Omar Ali menerusi satu hantaran yang dibuat di Facebook menceritakan semula mengenai kesabaran dan kesungguhan isterinya yang terpaksa bergolok gadai demi mempertahankan rumah tangga mereka. Setelah mula melayari bahtera perkahwinan pada 9 Ogos 2007, Omar mengakui kehidupannya menjadi 'gelap' kerana masalah kewangan. Ketika dia tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja, isterinya yang bertugas di sebuah hospital di Pulau Pinang mengambil alih tugas menyara keluarga. Omar (tiga dari kiri) bersama ahli keluarganya. -fotoFB Malah, dia juga tidak mampu untuk membayar sewa rumah mereka selama enam bulan. Ketika itu isterinya, Nor Fariha mengalami alahan teruk ketika mengandung menyebabkan mereka kerap ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Omar juga tidak dapat menunaikan keinginan isterinya untuk makan buah kerana tiada wang untuk membelinya. "Waktu isteri tercinta mengandung anak pertama Nor Adrinas Damya, sebulan tiga hingga empat kali masuk hospital akibat alahan yang teruk. "Ada satu hari isteri tercinta nak makan buah tetapi saya tiada satu sen pun duit nak beli buah. Lalu isteri tercinta saya memberikan telefon Nokia untuk saya jual. "Saya pergi di Komtar bersama adik ipar menjual telefon isteri tercinta dengan harga RM450. Setelah dapat duit, saya pergi beli makanan untuk dia makan di hospital. Semua rakan tahu cerita hidup saya ini betul-betul susah," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri korbankan duit simpanan beli motor baharu, tak sanggup tengok suami ulang alik bengkel... ada rahsia terbongkar selepas buat kejutan! ARTIKEL BERKAITAN: Isteri makan hati, suami nak ikut tabligh tak tinggal nafkah malah paksa gadai emas... kalau bersuara dilabel ‘tak sanggup berkorban ke jalan Allah’ Pengorbanan isterinya tidak terhenti di situ sahaja apabila Nor Fariha yang sedang sarat mengandung puteri sulung mereka juga terpaksa menjual barang kemas miliknya demi membantu suami. Menurut Omar, pada ketika itu, tayar kereta yang dinaiki mereka pecah jam 3 pagi ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Pulau Pinang di Gerik, Perak. "Saya, isteri dan seorang kawan berjalan kaki hingga ke bandar Gerik mencari tempat tidur. Kami sewa hotel bajet bernilai RM50. Esok pagi kemudian nak beli tayar tiada duit. "Jual satu rantai tangan kecil di Kedai Emas Gerik untuk beli tayar. Ya Allah amat-amat besar ujian menempuhi kehidupan diriku dan isteri di awal pernikahan. Isteri Omar terpaksa menjual emas demi membantu suami. -Gambar hiasan/The Star "Sebelum saya nak berjaya dalam hidup, isteri membuat pinjaman dengan Bank Rakyat RM50,000. Kesemua duit ini diserahkan kepada saya untuk membuat perniagaan. Ya Allah besarnya jasa isteri tercinta terhadap diriku," katanya lagi. Umpama mentari pagi yang menerangi alam, kira-kira sebulan selepas isteri melahirkan anak sulung, Omar menerima berita gembira bahawa perniagaan diuruskan berjaya mendapat keuntungan lebih RM3 juta pada ketika itu. Bagaimanapun, Omar tidak menyatakan jenis perniagaan yang diusahakan namun menghargai setiap doa, usaha dan pengorbanan dilakukan pasangannya. Hantaran tersebut dikongsikan lebih 1,500 kali dan meraih lebih 2,000 tanda suka setelah menjadi tular. Semakan mStar di ruangan komen mendapati ramai netizen memuji tindakan isterinya yang tidak putus-putus membantu pasangan berada dalam kesusahan ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube