suria

Tukang jahit dapat job paling sukar seumur hidup! Pelajar B40 minta labuhkan kaki seluar sekolah lusuh, tak tergamak ambil upah

Seorang tukang jahit kongsi pengalaman mengenai seluar sekolah lusuh milik pelanggannya.

DI saat ramai yang teruja untuk kembali ke sekolah, harus diingat terdapat pelajar yang 'struggle' membuat persiapan persekolahan.

Bagi golongan tidak berkemampuan, memiliki seragam baharu tentunya jauh sekali, sebaliknya hanya pasrah menyarung pakaian sedia ada meskipun lusuh.

Seorang tukang jahit antara individu yang terpaksa berdepan dengan golongan ini apabila apabila seorang pelajar datang berjumpa dengannya kerana mahu mengubah saiz seluar sekolah.

Seluar sekolah saiz 33 dengan warnanya lusuh.

Bercakap kepada mStar, Sharipah Sadiah Khalid berkata, seorang remaja berkunjung ke kedainya di kawasan perumahan Rumah Rakyat Sikamat 2 di Seremban, Negeri Sembilan, pada Ahad.

Namun kedatangan pelajar tingkatan tiga itu bukan untuk memendekkan bahagian kaki seluar seperti banyak dilakukan pelajar lain, sebaliknya tukang jahit berusia 40 tahun itu memberitahu, dia mahu melabuhkan kaki seluarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu" - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar 'bekas' abang

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terkejut tengok kasut pelajar tingkatan 2... pelik kaki nampak lebih kecil - "Saya letak kain dalam tu"

"Dia minta saya tolong labuhkan seluar sekolah dia. Seluar saiz 33 inci dan warnanya dah lusuh. Labuh asal (panjang) 36 inci dan dia minta kalau dapat jadikan 37 inci.

"Masa tu saya terfikir macam mana nak lipat kelepet seluar tu sebab basi seluar ada satu inci. Dia suruh saya lipat mana yang boleh supaya tak nampak singkat," katanya kepada mStar, sambil menambah 'basi seluar' adalah lebihan kain untuk proses menjahit.

Kedai jahit yang diusahakan Sharipah Sadiah atau lebih dikenali sebagai Ayang.

Berpengalaman sebagai tukang jahit selama 20 tahun, dia menjahit tepi hujung kaki seluar sekolah remaja itu dan melipatnya sebanyak dua hun (satu hun bersamaan dengan 0.125 inci).

"Pertama kali macam ni, tapi saya usahakan. Saya ukur semula dan dapatlah labuh kepada 37 inci. Seperti mana-mana jahitan, saya perkemaskannya lagi supaya nanti tak 'berbulu' (benang terkeluar) di bawah seluar dia," ujarnya yang mengusahakan kedai jahit sejak setahun lalu.

Lebih dikenali sebagai Ayang dalam kalangan pelanggan, dia mengakui sebak mengenangkan remaja itu yang menghantar dua helai seluar sekolah berwarna hijau.

Dia hendak berjimat-cermat... mana yang boleh pakai, pakai saja

SHARIPAH SADIAH KHALID

"Seluar dia tu lusuh. Kalau dia mampu dia mesti beli seluar baharu. Budak ni pernah datang ke kedai saya sebelum ini.

"Lebih 80 peratus ke kedai saya yang hantar untuk alter (ubah) saiz biasanya yang baharu. Kalau yang lama pun, jarang sekali lusuh," katanya.

Seluar sekolah yang dilabuhkan atas permintaan seorang remaja.

Berkongsi cerita, Sharipah Sadiah berkata, remaja itu tinggal berdekatan bersama keluarganya dan merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Menurutnya lagi, bapa pelajar itu bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya pula suri rumah.

"Keluarga dia kurang berada dan dia hendak berjimat-cermat... mana yang boleh pakai, pakai saja.

"Saya teringat juga mungkin lebih ramai keluarga yang struggle nak beli pakaian sekolah," katanya.

seluar sekolah lusuh LATEST 2

Jahitan tepi diperkemaskan untuk tahan lama.

Walau bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata ini tetap terharu atas kesungguhan pelajar itu yang bersedia untuk meneruskan persekolahan.

"Masa hari dia hantar tu saya beritahu upah alter sehelai RM8, dua helai RM16. Tapi saya dah niat tak kenakan caj dan saya anggap sebagai sedekah.

"Kebiasaannya, hari sama atau esoknya pelanggan dah datang ambil, tapi dia tak muncul sampai kedai saya tutup pukul 11.30 malam.

"Kebetulan saya tahu di mana rumah dia dan saya sendiri ke sana untuk serahkan. Sebak masa nak serah tu sebab dia masih hulurkan duit.

"Saya kata tak perlu bayar. Dalam hati saya kata, selagi saya boleh tolong, saya cuba tolong. Tak sangka posting saya mengenai seluar sekolah lusuh mendapat banyak perhatian dan ramai mahu membantu keluarga pelajar itu, syukur Alhamdulillah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain