suria

Pemandu Aruz kongsi detik cemas dirempuh treler... Ibu patah tulang rusuk, anak-anak pula lebam di muka

Nur Asyiqin bercerita tentang nahas yang menyebabkan anaknya cedera ringan.

SEMUANYA berlaku dengan pantas, hanya kedengaran mereka yang berada di dalam kereta melaungkan kalimah Allahuakbar berulang kali.

Sejak awal hari ini rakaman kemalangan menerusi kamera perakam video (dashcam) daripada kereta Perodua Aruz yang dirempuh treler itu kini tular di media sosial.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika pemandu dan penumpang sedang rancak berbual mengenai cara-cara pemanduan di lebuh raya bagi mengelakkan kemalangan.

Berkongsi detik cemas itu kepada mStar, Nur Asyiqin Abdul Manaf yang memandu kereta itu berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Melaka untuk menghantar adik perempuannya berusia 24 tahun ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malam, Perak, pada Selasa lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, turut berada di dalam kereta di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara adalah ibunya berusia 58 tahun dan dua anaknya, masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik cerita tentang kemalangan, tiba-tiba treler rempuh belakang! Audio dashcam cukup mengerikan, tangisan bayi buat ramai cemas

"Dari Melaka perjalanan kami okay, tak sesak teruk. Sampai dekat Rawang, Selangor, tiba-tiba trafik perlahan sebelum kena rempuh dengan sebuah treler.

"Kami terkejut dan hanya fikir untuk sebut Allahuakbar. Apabila kereta dah berhenti berpusing pun kami tak percaya dengan apa yang berlaku, semuanya secara tiba-tiba," katanya kepada mStar.

Keadaan kereta yang rosak teruk dirempuh treler.

Mengulas lanjut, Nur Asyiqin tampil menjelaskan bahawa perbualan ketika kejadian bukanlah menjurus kepada isu kemalangan, sebaliknya memberi tip pemanduan kepada adik perempuannya mengenai pemanduan berhemah.

"Biasalah dalam perjalanan bersama keluarga, mesti akan borak macam-macam dan termasuklah pasal adik perempuan saya yang belum pernah bawa kereta di lebuh raya.

Harta boleh dicari, nyawa lebih penting... syukur Alhamdulillah kami selamat.

NUR ASYIQIN ABDUL MANAF

PEMANDU

"Adik ada lesen memandu, dia juga belum ada pengalaman memandu jarak jauh. Mungkin sebab dia kurang yakin, tambahan pula dia anak bongsu, jadi kami sekeluarga tak galakkan dia untuk memandu terlalu jauh.

"Jadi masa tu, saya beritahu dia kalau nak memandu di lebuh raya, kena buat macam ni macam itu," ujarnya yang berasal dari Paya Rumput di Cheng, Melaka.

nahas dirempuh treler 1 B

Kemalangan berlaku di Lebuhraya PLUS dekat Rawang.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia bersyukur kerana kesemua mereka selamat dan tiada kecederaan parah mahupun insiden ‘berlumuran darah’.

"Ibu saya ada patah tulang rusuk tapi sudah discaj dari hospital dan stabil. Saya pula tisu koyak di bahagian pinggang, cuma sekarang ada sakit tengkuk sikit.

"Adik perempuan dan anak-anak juga cedera ringan, kesan lebam dan benjol. Alhamdulillah, kami semua sedar selepas kejadian itu, cuma anak menangis dan masih trauma," tambahnya.

Anak-anak masih trauma selepas kemalangan.

Nur Asyiqin yang merupakan pakar mata (optometris) memberitahu, doktor terkejut dengan keadaan mereka yang selamat, memandangkan keadaan kereta yang remuk teruk.

"Kami bersyukur selamat walau ketika itu ibarat nyawa di hujung tanduk, memang terasa begitu kuat kereta dihentam dari belakang.

"Kereta termasuk barang-barang milik adik perempuan saya yang diletakkan di dalam but rosak teruk. Tapi harta boleh dicari, nyawa lebih penting... syukur Alhamdulillah selamat," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain