suria

Anak akur hari jadinya tiada sambutan khas! Menangis ketika diraikan walau tumpang majlis birthday sepupu - “Dia tulis ucapan untuk diri sendiri”

Farish terkejut sehingga mengalirkan air mata kerana tidak menyangka hari jadinya turut diraikan keluarga.

SAMBUTAN hari jadi adalah antara perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak pada setiap tahun.

Sama ada diraikan secara besar besaran atau sederhana, ia tetap meninggalkan momen berharga buat mereka.

Video yang tular baru-baru ini memaparkan seorang kanak-kanak lelaki mengalirkan air mata kerana terharu dengan kejutan yang dilakukan oleh ibu bapanya dan reaksi yang ditunjukkan cukup membuatkan warga maya tersentuh.

Mana tidaknya, kanak-kanak tersebut sama sekali tidak menyangka turut mendapat kek hari jadi ketika sambutan ulang tahun kelahiran sepupunya.

Berkongsi kisah dengan mStar, Faiezah Amran berkata ketika video tersebut dirakam, dia bersama keluarganya meraikan majlis sambutan ulang tahun kelahiran dua orang anak saudaranya di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Serba mewah! Anak umur 5 tahun diberi kejutan sambutan ‘birthday mahal’ di Dubai... ucapan di skrin Burj Khalifa, jumpa Salt Bae

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih je nak hadiah apa, semua akan dibeli! Anak bujang buat kejutan ikut trend, dapat bonus terus balik kampung belanja mak

"Sebenarnya hari jadi anak lelaki saya, Muhammad Farish Rizzqi yang ke-8 jatuh pada tanggal 5 Februari. Dia ada bertanya, tapi saya kata 'abang nak masuk sekolah, nak beli baju dan lain-lain. Nanti ada rezeki kita sambut'.

"Dia faham dan tak merungut apa pun. Kemudian suami saya beritahu, dia ternampak Farish tulis ucapan hari jadi untuk diri sendiri. Saya rasa sedih dan tak sanggup nak kecewakan dia. Jadi saya dan suami plan kalau ada rezeki, kami nak sambut.

birthday 2

Farish (berbaju oren, belakang) bersama sepupu sepapatnya ketika majlis sambutan hari jadi baru-baru ini.

"Kebetulan adik saya nak buat sambutan birthday untuk dua anaknya yang jatuh pada pertengahan Februari. Saya tanya adik nak tumpang majlis anaknya sekali untuk raikan Farish.

"Semua tak tahu plan ni, hanya saya, suami dan adik saya saja. Pada hari tersebut, kami beli kek untuk Farish tapi sorok dulu," cerita wanita berusia 39 tahun ini.

Menurut Faiezah, Farish langsung tidak dapat menghidu kejutan tersebut dan dia ceria menyambut hari jadi sepupunya.

"Masa tengah menyanyi lagu hari jadi untuk sepupunya, suami saya masuk dan bawa kek Farish. Dia terkejut sebab tak sangka dia turut diraikan. Terus dia menangis.

Walau tanpa sambutan yang besar, tapi kenangan itu yang berharga.

FAIEZAH AMRAN

IBU

"Saya dan adik-beradik serta keluarga turut tak dapat tahan sebak bila tengok dia menangis. Video sempat dirakam setakat dia menangis saja sebab semua pun 'banjir' masa itu.

"Sebelum potong kek, dia ucap terima kasih kepada saya dan suami sebab raikan hari jadinya tapi tak sempat rakam," cerita ibu kepada lima cahaya mata ini.

Bercerita lebih lanjut, Faiezah yang merupakan seorang suri rumah berkata, Farish yang merupakan anak keempat merupakan seorang kanak-kanak yang matang dan berjiwa halus.

"Sebelum-sebelum ini, kami raikan majlis hari jadinya tapi biasa-biasa saja. Kadang abangnya belikan kek. Bukanlah sambutan yang besar... hanya ahli keluarga saja.

"Anak-anak saya termasuk dia tahu yang ayah mereka bekerja biasa saja. Saya pula suri rumah. Farish ni jenis faham kalau kita cakap apa pun. Dia bukan jenis yang meminta itu dan ini.

birthday 3

Farish merupakan anak keempat daripada lima adik beradik.

"Bagi kami, kalau ada rezeki... ada la. Walau tanpa sambutan yang besar, tapi kenangan itu yang berharga," ujarnya yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih lebih daripada sejuta jumlah tontonan, Faiezah berkata dia sekadar mengabadikan momen istimewa itu di media sosial.

"Terpulanglah nak sambut hari jadi secara sederhana atau besar, hakikatnya momen itu tak boleh dibeli.

"Terharu bila baca semua komen. Siap ada yang komen minta alamat nak beri dekat Farish. Selain itu, ramai yang mendoakannya menjadi anak soleh. Bagi saya, itu pun dah cukup buat saya terharu," akhirnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain