suria

Berkat bedung anak patung, kini suami ligat mengasuh bayi sulung! Isteri lega, tak sia-sia masuk kelas ibu mengandung

Farhan tidak kekok tatkala mendukung bayinya buat pertama kali.

PERASAAN bimbang pastinya membelenggu pasangan yang baru pertama kali bakal menimang cahaya mata.

Sudah pasti pelbagai persediaan akan dilakukan ibu bapa termasuk menambah pengetahuan tentang selok belok penjagaan bayi.

Begitu juga dengan pasangan Nor Sakila Asnawi, 30, dan Muhammad Farhan Rifai’e Raduan, 29, yang memasuki kelas antenatal bagi mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai kehamilan, proses bersalin dan keadaan selepas melahirkan anak.

Ujar Sakila ketika dihubungi mStar, kelas yang dihadiri mereka pada 14 Januari lalu itu diadakan di Hospital Naluri, Kuala Lumpur.

“Kelas tu kami pergi sekali saja (satu sesi). Daripada pukul 8.30 pagi sampai 2 petang. Kami sama-sama diajar tentang persediaan melahirkan bayi, persediaan menyusu, persiapan dan cara nak jaga bayi nanti dan banyak lagi.

Farhan begitu tekun belajar ketika menghadirkan diri ke kelas antenatal.

“Untuk suami, dia diajar macam mana nak bantu isteri ketika bersalin seperti urutan bagi membantu melalui contraction bersalin. Ada juga diajar membantu isteri bersenam, merawat bayi seperti membedung, mandikan, tukar lampin, cuci tali pusat bayi dan teknik bantuan pernafasan ketika bayi tersedak,” ujarnya.

Sebagai ibu yang bakal melahirkan anak pertama, sudah pasti timbul rasa bimbang untuk menguruskan anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini kongsi 8 tugas suami jaga isteri dalam pantang, mudah... tak perlu lagi hantar ke kampung

ARTIKEL BERKAITAN: “Kursus kahwin dulu sesi premium ke?” - Sweet habis... suami layan isteri pantang macam permaisuri, siap buat air booster

Namun, Sakila bersyukur dikurniakan seorang suami yang sanggup belajar mengenai penjagaan bayi bagi membantu meringankan bebanan ketika berpantang.

Bagi mengabadikan momen manis itu, Sakila yang sudah berumah tangga sekitar 11 bulan lalu merakamkan gelagat suaminya lalu dikongsikan di TikTok.

Saya berasa terharu dengan suami sendiri. Lagi semangat bila ada dia dekat sebelah sudi nak belajar. Lagi-lagi buat mereka yang first time bakal menimang cahaya mata macam kami berdua.

NOR SAKILA

“Masa belajar tu Alhamdulillah suami memang nampak serius belajar. Tekun sangat tengok dia ambil info sambil ikuti arahan satu persatu. Dia ‘bising’ apabila saya main-main dalam kelas.

“Tujuan saya rakam sebab ia jadi kenangan untuk kami. Selain tu rakaman dibuat sebagai rujukan apabila dah bersalin nanti. Selain video tu ada lagi video lain yang dirakam untuk rujukan akan datang.

“Saya berasa terharu dengan suami sendiri. Lagi semangat apabila ada dia dekat sebelah sudi nak belajar. Lagi-lagi buat mereka yang first time bakal menimang cahaya mata macam kami berdua,” katanya lagi.

Pasangan ini sudah berumah tangga sejak 11 bulan lalu.

Ujar Sakila yang selamat melahirkan anak pada 19 Februari lalu, suaminya ternyata betul-betul banyak membantu menguruskan rumah tangga dan bayi sulung mereka ketika dia berpantang.

Malah, katanya yang berkahwin pada awal Mei 2022, adalah wajar bagi para suami untuk melibatkan diri belajar menguruskan anak dengan betul ketika isteri berpantang.

“Memang dia praktikkan apa yang dia belajar. Dia boleh jaga bayi ketika saya tengah pantang. Malah dia lagi ‘pro’ (handal) daripada saya. Alhamdulillah sedikit sebanyak suami membantu dan beri kekuatan pada saya dalam tempoh pantang ni.

Pasangan ini berkahwin pada Mei 2022.

“Pada saya wajar untuk semua para suami masuk kelas macam ni. Apabila suami turut serta ia akan memberi semangat pada pasangan untuk melalui perjalanan ketika bayi lahir ke dunia kelak sebagai satu persediaan awal.

“Banyak yang lelaki perlu tahu tentang ilmu kelahiran dan penjagaan bayi termasuk macam mana nak kawal emosi isteri. Penting untuk dijaga bukan sahaja semasa kehamilan tetapi selepas kelahiran juga,” jelas Sakila.

Selepas video mereka menyertai kelas itu tular, muncul pula komen-komen lucu daripada netizen dengan mengatakan wajah suaminya itu mirip penyanyi, Andi Bernadee.

Bagaimanapun menurut Sakila, suaminya yang merupakan seorang jurutera tidak meminati penyanyi berkenaan sebaliknya merupakan peminat tegar kumpulan K-pop, Blackpink.

Wajah Farhan disamakan dengan Andi Bernadee.

“Ramai yang puji suami cakap dia comel sebab ikut sama masuk kelas antenatal. Saya pun lega, sedikit sebanyak boleh kongsi dengan orang ramai tentang wujudnya kelas ni dekat negara kita.

“Tapi ramai juga yang komen muka dia macam Andi dan apabila saya tunjuk dekat suami dia gelak dan mula nyanyi lagu Andi. Tapi saya selalu usik suami cakap tak sama.

“Suami saya sebenarnya Blinks (nama kelab peminat Blackpink). Dia minat Blackpink dan baru-baru ni pun dia pergi konsert dengan famili kami yang lain,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain