suria

Semalam pakai uniform sekolah, hari ini sarung baju pengantin! Remaja baharu habis SPM kini isteri orang

Zetty berkahwin setelah beberapa hari menamatkan peperiksaan SPM.

KALAU dah jodoh, tak akan ke mana. Segala rezeki, ajal dan maut, lambat atau cepat sesuatu perkara itu semuanya dengan ketentutan Allah.

Begitulah juga yang berlaku terhadap gadis ini, dia bertemu jodoh pada usia muda dan kisah perjalanan hidupnya itu tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran dibuat seorang perancang perkahwinan, @harryzulhairi, pengantin perempuan dikenali sebagai Zetty Aziz itu berkahwin sejurus selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa minggu lalu.

Tangkap layar video dikongsikan seorang perancang perkahwinan di TikTok.

Kisah Zetty disunting pasangannya ini meraih hampir dua juta tontonan setelah disiarkan di aplikasi TikTok milik Harry Zulhairi.

"Semalam pergi sekolah, hari ni pergi kahwin," tulis perancangan perkahwinan itu di ruangan kapsyen.

Dalam video berdurasi kurang satu minit itu, pada awalnya Zetty dilihat lengkap berpakaian uniform sekolah.

Dia kemudiannya mengubah penampilan dan kelihatan apabila manis mengenakan busana pengantin daripada material songket rona biru dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada 16 Mac lalu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis kahwin sederhana petanda jodoh tak panjang... Wanita pandai-pandai ’tilik’ nasib suami isteri teruk dikecam

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis impi kahwin sebelum umur 20 tahun masa darjah 6, tak sangka jodoh DM profil ‘boleh kahwin 2021’ - “Tepat semua 17 kriteria, siap dapat ekstra”

Lebih meyakinkan apabila jurusolek, Nursyakila Wan Abdullah turut berkongsi beberapa keping foto di Facebook setelah Zetty siap dimekap.

Dalam hantaran lain yang dimuat naik, difahamkan majlis bertandang pula berlangsung di Kampung Semaloi, Endau, Johor dua hari kemudian iaitu pada 18 Mac lalu.

Meninjau pada ruangan komen di TikTok, warga maya mengucapkan tahniah atas perkahwinan pasangan pengantin baharu itu.

Malah, ramai yang bersetuju dengan komen seorang pelayar yang menyatakan 'the real lepas SPM terus kahwin' pada video berkenaan.

Posting dibuat oleh jurusolek Zetty.

Bukan itu sahaja, ada juga segelintir netizen yang 'mencemburui' perjalanan hidup Zetty yang bertemu jodoh awal berbanding mereka.

"Jodoh awal betul dik. Akak (umur) 33, bayangan pun tak nampak lagi.

"Tahniah dik jodoh awal. Akak yang umur 21 ni pun tak kahwin lagi... jodoh tak sampai lagi.

"Macam sayalah lepas SPM je kahwin. Kawan-kawan sekolah ramai yang masuk universiti tapi saya dah timang anak. Apabila lahir anak pertama ramai tanya, adik ke tu," komen netizen berkongsi pengalaman.

Komen netizen di TikTok.

Walaupun jodoh gadis ini dikatakan cepat berbanding kebanyakan orang, perkara lebih penting adalah masing-masing perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami isteri selepas mendirikan rumah tangga.

Secara umum, Enakmen Keluarga Islam dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Hal yang sama terpakai kepada orang bukan Islam.

Bagaimanapun had umur yang ditetapkan ini berbeza mengikut negeri.

Namun begitu ia bukanlah halangan untuk pasangan bawah umur berkahwin asalkan mereka perlu mendapat kebenaran keluarga serta dibenarkan oleh pihak mahkamah.

Pihak mStar akan cuba mendapatkan komen pasangan ini untuk berkongsi hari bahagia mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain