suria

“Ni aspura ke aspuri?” - Huru-hara dorm! Bingit 20 pelajar menjerit, terlompat-lompat ‘perang’ dengan seekor tikus

Tangkap layar video yang tular di TikTok.

SITUASI tenang dalam sebuah bilik asrama (dorm) bertukar panik apabila 'dicerobohi' seekor tikus.

Suasana menjadi lebih riuh rendah apabila cubaan 20 pelajar menghalau tikus tersebut tidak berjaya.

Situasi kecoh itu sempat dirakamkan oleh salah seorang pelajar yang berada di dalam bilik tersebut, Muhammad Hilman Danish Mohd Liza yang menjelaskan kejadian berlaku di sekolahnya yang terletak di Selangor.

“Kejadian tu berlaku selepas prep (ulangkaji) pukul 11.30 malam tahun 2022. Waktu tu Ahad malam, kami bercadang nak gotong-royong bersihkan dorm.

“Jadi, ada sebahagian daripada kami dah gerak balik ke bilik dulu untuk buat kerja pembersihan. Apabila kami yang lain ni sampai, nampak mereka macam sedang ‘berperang’. Jadi kami yang tak tahu cerita ni tanyalah mereka yang dah sampai lebih awal.

“Rupa-rupanya ada tikus. Tikus tu datang dari longkang dan orang yang perasan tikus tu dahulu adalah salah seorang daripada ahli dorm saya,” ujar Danish ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 hari tak hadir ke sekolah, rupanya pelajar perempuan ditemukan mati tergantung di bilik asrama

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah la laluan orang kampung” - Pelajar asrama teringin makanan luar kebiasaan, peniaga menggigil hantar... mujur ada alat khas

Menurut Danish yang kini berusia 18 tahun, dia dan hampir semua rakan lain berasa takut dan geli untuk memegang binatang yang dianggap kotor itu.

Dalam masa sama, walaupun menyedari ia merupakan makhluk perosak dan membawa penyakit, mereka tidak tergamak untuk membunuh haiwan itu yang dianggarkan berukuran 20 sentimeter.

Pemuda yang berasal dari Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor ini berkata, mereka mencari inisiatif lain dengan cuba menghalau keluar tikus itu menggunakan penyapu dan mop seperti dapat dilihat dalam video.

Danish dan rakan-rakan mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

“Nak bunuh pun tak sampai hati sebab 'dia' pun makhluk Allah. Kami cuba halau supaya pergi ke luar bilik tapi 'dia' lari terlalu laju.

“Hanya dua orang daripada kami yang berani nak halau tikus tu keluar bilik. Yang lain cuma mampu kepung dari pelbagai arah supaya 'dia' tak lari ke celah-celah atau tempat sempit dalam bilik.

Rupanya bila tengok balik video, memang saya rasa riuhnya dorm masa kejadian tu.

MUHAMMAD HILMAN DANISH

“Lebih kurang seminit jugalah kami halau dan akhirnya dia keluar sendiri hidup-hidup masuk longkang semula. Memang tak sempat pun nak tangkap masa tu,” imbas Danish.

Susulan video kejadian yang dikongsi Danish, rata-rata netizen terhibur melihat kekecohan yang tercetus di mana kumpulan pelajar itu dilihat menjerit, terlompat-lompat malah ada yang berlari tanpa arah gara-gara takut dengan haiwan tersebut.

Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 580,000 jumlah tontonan setelah dimuat naik di TikTok.

Danish (barisan hadapan, tengah) bersama 20 rakan sebiliknya.

“Saya terhibur baca komen-komen netizen. Sampai ada yang cakap ni aspura ke aspuri.

“Rupanya bila tengok balik video, memang saya rasa riuhnya dorm masa kejadian tu.

“Apa-apa pun saya anggap perkara yang terjadi malam tu antara momen manis ketika berada di asrama. Semua kenangan ni tak boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain