suria

Akmal belum balik, keluarga pendaki hilang di Pulau Mawar tawar RM50,000 cari si bongsu - “Mak tanya adik kat mana, hidup lagi?”

Akmal Hakimi hilang selepas mendaki bukit di Pulau Mawar pada 1 Februari lalu.

RAMADAN kali ini terasa berbeza bagi sebuah keluarga di Johor apabila si bongsu kesayangan mereka yang hilang tanpa khabar berita sejak 1 Februari lalu masih belum ditemui.

Menurut Muhamad Mirza Qusyairi Ishak, 26, adik bongsunya iaitu Muhamad Akmal Hakimi tidak pulang ke rumah selepas keluar mendaki bukit secara sendirian di Pulau Mawar, Mersing.

Ketika dihubungi mStar, Qusyairi berkata keluarganya membuat laporan polis, malah operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan juga menemui jalan buntu.

hilang 03

Keluarga menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang berjaya menemui Akmal Hakimi.

"Adik saya hiking seorang diri. Kami menetap di Taman Makmur, Kluang. Lokasi hiking iaitu Pulau Mawar terletak kira-kira satu jam 41 minit perjalanan dari rumah kami. Dia keluar hiking pada 1 Februari.

"Hanya motor adik dijumpai di Pulau Mawar pada pukul 12 tengah hari pada 3 Februari. Jadi, laporan polis dibuat pada hari yang sama.

"Operasi SAR dibuat bermula pada hari berkenaan namun ia dihentikan pada 7 Februari kerana tiada petunjuk ditemui," ujar Qusyairi.

Alam ghaib ni wujud cuma saya dengan keluarga tak taksub... Allah saja yang tahu.

MUHAMAD MIRZA QUSYAIRI ISHAK

Tambah pemuda itu, adiknya yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus Lumut, Perak sudah terbiasa mendaki bukit sendirian sebelum ini.

"Kami dua beradik je. Dia anak bongsu. Dia dah pernah hiking Pulau Mawar sendirian sebanyak tiga kali. Sebelum ini pun dia hiking Gunung Lambak dan Gunung Rembau seorang diri.

"Kami cuba hubungi dan WhatsApp dia tapi tak dapat. Kadang-kadang mak tengah masak pun sedih. Dia tanya adik kat mana, hidup lagi atau tak?" cerita Qusyairi lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 24 hari Acap hilang, abang kata "ikut cara orang kampung pula, tapi clear orang awam dulu"

ARTIKEL BERKAITAN: Cari sudah, bincang pun sudah... betul ke bunian enggan lepaskan Acap?

Biarpun operasi SAR dihentikan, Qusyairi mendedahkan usaha tetap diteruskan oleh pihak lain sehingga 28 Februari lalu.

Biarpun ada pihak yang mengaitkan kehilangan itu dengan alam mistik, Qusyairi berkata keluarga tidak putus harapan dan berharap adiknya akan pulang secepat mungkin.

"Saya dan keluarga turut pergi ke Pulau Mawar sejak 1 hingga 3 Februari. Selepas SAR dihentikan pada 7 Februari, pencarian diteruskan dengan agensi bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, orang kampung, ustaz dan iman Masjid Besar Sultan Iskandar Johor Bahru.

hilang 02

Lokasi hiking terletak kira-kira satu jam 41 minit perjalanan dari rumahnya.

"Alam ghaib ni wujud. Cuma saya dengan keluarga tak taksub. Orang lain nak cakap apa-apa, cakaplah. Allah saja yang tahu. Saya percaya ada hikmah. Selagi belum jumpa petunjuk, saya terus ikhtiar," ujarnya lagi.

Qusyairi turut membuat hebahan mengenai kehilangan itu menerusi aplikasi TikTok dan menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang berjaya menemui adiknya.

Menerusi posting di TikTok, Qusyairi berkata adiknya memakai jaket kuning, kasut kelabu dan beg sandang hitam berjenama Jeep pada hari kehilangannya.

Rata-rata netizen di TikTok turut menzahirkan rasa simpati di ruangan komen dan mendoakan agar adik Qusyairi dapat ditemui semula.

553

Kehilangan Acap pada tahun 2019 kekal misteri sehingga hari ini.

"Kadang-kadang dia nampak kita. Kita je tak nampak dia. Moga urusan pencarian adik dipermudahkan.

"Ya Allah, dalam apa keadaan sekali pun, pertemukanlah adik ni dengan keluarganya.

"Kenapa saya tengok tempat hiking meremang bulu roma?" tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, negara pernah kecoh pada tahun 2019 apabila seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan atau Acap hilang secara misteri.

Operasi besar-besaran yang dibuat menemui jalan buntu, malah Acap masih gagal ditemui sehingga hari ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain