suria

“Mahal supo bedil” - Peniaga kena ‘sembur’ jual sambal udang RM1 seekor... Pelanggan setia tak setuju, anggap masih murah

Seorang pelanggan bertindak mengira kos bahan mentah dan membandingkan dengan harga makanan siap masak.

TIDAK dinafikan sekarang ini ramai yang mengeluh tentang harga makanan mahal di kebanyakan gerai.

Namun bagi seorang lelaki, dia bersyukur kerana masih berpeluang menikmati lauk-pauk pada harga murah di sebuah kedai makan kegemarannya.

"Selama ini, hari-hari biasa selepas balik kerja memang akan singgah satu gerai ni beli lauk-pauk untuk makan malam.

"Sebab utamanya, sedap dan sangat murah. Kos antara RM20 hingga RM30 boleh makan famili berenam, siap sarapan lagi untuk anak-anak sebelum pergi sekolah," tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

harga udang 3

Orang ramai berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa. -gambar sekadar hiasan

Namun ujar lelaki itu, dia terkejut apabila mendengar rungutan seorang pembeli terhadap peniaga yang terkejut dengan harga makanan di kedai berkenaan.

"Sambal udang ni kira macam mana, dik? Adik tu jawab RM1 seekor. Tiba-tiba spontan brader tu cakap mahal... Mboh.. Mahal supo bedil," imbas lelaki itu mengenai perbualan yang didengarnya antara kedua-dua mereka dalam dialek Kelantan.

Dia yang berada bersebelahan pelanggan tersebut mengakui terkejut dengan apa yang disuarakan kerana berpandangan gerai itu masih menjual pada harga berpatutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula 'total' RM129, rupanya harga sebenar RM75! Restoran mengaku 'salah kira', nafi sengaja naikkan bil

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai 'sendu' jangan disangka tak tertipu! Niat nak tolong, sekali dicaj ekstra RM3 sebab minta kurang ais dalam minuman... di poster tulis lain

"Kalau rasa mahal pun jangan la cakap secara terus dekat adik tu, jaga juga hati dia. Sebab apa, sebab saya memang regular (pelanggan setia) dekat situ.

"Memang sangat yakin kedai tu jual murah je, tak cekik darah. Dia masak pun memang daripada hati (ikhlas),” ujarnya menerusi satu perkongsian di grup Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini.

Lebih dikenali sebagai Zack, dia kemudiannya berkongsi pengalaman membeli makanan segar di sebuah pasar raya dan membuat perbandingan harga.

"Saja ambil udang yang sama sebab nak kira harganya. Harga udang ni, RM29.99 sekilogram (kg). Jadi ambil 20 ekor sebab senang nak kira.

Bukan semua orang berniaga sebab nak kaya pergi haji balik hari... kebanyakan sebab nak sara hidup.

ZACK

"Daripada harga keseluruhan dan bahagi jumlah udang, dapat harga kos seekor udang yang belum diproses adalah 50 sen seekor," katanya.

Namun kos yang dinyatakan itu adalah makanan mentah belum dimasak sebagaimana yang boleh didapati di gerai yang sering dikunjunginya itu.

Dia kemudian membuat perkiraan melibatkan beberapa kos termasuk pengangkutan dan bahan-bahan lain bagi hidangan sambal udang.

"Katakan kos masak, rempah ratus adalah 10 sen seekor. Kos minyak dan pengangkutan 10 sen seekor serta kos tenaga kerja juga 10 sen seekor.

harga udang 4

Lauk sambal udang menjadi kegemaran ramai. -gambar sekadar hiasan, foto SHAARI CHEMAT/The Star

"Jadi kos keseluruhan adalah 80 sen seekor. Dia jual RM1 seekor. Hanya 20 sen untung bagi seekor udang (siap dimasak).

"Rasanya ni sangat murah kalau nak banding dengan 'harga' sebuah kemalasan masak sendiri. Kalau satu bekas udang sambal tu ada 50 ekor udang, baru untung RM10," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak seharusnya menganggap semua peniaga adalah zalim sekiranya harga yang ditawarkan dianggap melampau, kerana mereka mungkin mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

"Jangan terus sembur peniaga dan anggap semua peniaga adalah zalim. Bukan semua orang berniaga sebab nak kaya pergi haji balik hari, ada kebanyakan mereka yang berniaga sebab nak sara hidup," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain