suria

“Selagi tak mampu beli Mercedes, saya tak kan tukar kereta” - Siswi ligat bisnes sambil belajar, mak ayah tak perlu risau fikir yuran pengajian

Sarah menguruskan bisnes sambil menamatkan pengajian ijazah jurusan perakaunan.

SETIAP pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) datang dari pelbagai latar belakang keluarga namun matlamat mereka adalah sama untuk mencapai kejayaan demi membanggakan keluarga.

Sebagaimana diceritakan Sarah Azrahi, katanya, sewaktu belajar di kolej dia dan rakan-rakannya gemar membelanjakan wang untuk mencuba pelbagai jenis makanan.

Sebagai seorang yang turut minat berniaga sejak kecil, Sarah memilih untuk belajar sambil membuka bisnes yang mana ketika itu dia menyambung pengajian peringkat diploma.

“Ibu bapa saya berniaga di kantin sekolah. Kalau hari cuti memang selalu tolong mereka. Jadi dari kecil lagi saya dah diajar cara bisnes.

“Dari situlah timbul minat untuk jadi seorang usahawan. Dari tingkatan 1 lagi saya masuk kelas perakaunan. Masa tu juga saya mulakan bisnes sendiri. Saya jual kek, cookies dan macaroon sebab nak cari duit poket sampailah sekarang.

“Saya juga suka makan dan keluar melepak jadi saya cari duit sendiri sebab tak nak minta duit dekat ayah zaman belajar. Lagipun saya senang hati bila tengok orang lain gembira makan produk yang saya buat,” katanya ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut, wanita ini berkata dia dan kawan baiknya memilih untuk tinggal di luar kolej ketika pengajian diploma.

Sarah minat berniaga sejak kecil.

Disebabkan menyewa rumah di luar kolej, dia yang merupakan anak sulung daripada empat beradik ini perlu berdikari dengan mencari mendapatan sendiri.

Malah, imbas Sarah, dia juga pernah menjual kek di kantin tempat ibu bapanya bekerja sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi meringankan beban mereka.

“Masa zaman diploma saya memang ada masalah kewangan. Jadi saya dan kawan masak sandwich telur dan cheezy wedges untuk berniaga. Kami ketuk bilik ke bilik setiap hari dari jam 8 hingga 10 malam. Alhamdulillah dapat lebih kurang RM100 setiap malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup sihat selama 21 tahun, tiba-tiba didiagnos hidap kanser paru-paru stage 3! Siswa UiTM rasa terduduk, dunia jadi gelap

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia ‘oppa’ UiTM berjemur tengah panas, tugasan bunyi hon catat rekod tinggi! Ada juga sanggup henti kereta nak bertegur

“Tapi masa PKP saya dah habis diploma. Waktu tu saya dapat idea nak buat makanan ringan Gummies yang viral tu. Asalnya saya nak buat makan sendiri tapi ramai pula suruh jual. Agak susah sebab masa tu saya tak pandai berniaga online.

“Awal-awal jual tu kena kecam sebab produk cair bila sampai dekat pelanggan. Tapi sekarang syukur sangat makanan saya jual okay saja. Dah sampai ke Sabah dan Sarawak pun saya buat penghantaran,” katanya yang kini menetap di Ipoh, Perak.

Gummies yang dijual oleh Sarah dibungkus dalam kotak.

Menurut Sarah yang kini berada di semester akhir pengajian ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, dia bersyukur kerana jualan Gummies telah mencecah lebih 4,000 unit.

Enggan mendedahkan jumlah keuntungan perniagaan, Sarah bagaimanapun menyatakan kesyukuran dengan bisnesnya yang semakin maju serta dapat menguruskan yuran pengajian sendiri.

Target saya sekarang, selagi tak mampu nak pakai kereta Mercedes, saya tak akan tukar kereta!

SARAH

“Saya pernah jual macam-macam dulu termasuklah produk kurus dan bengkung. Sekarang saya fokus dengan jual Gummies dan Cekelat Kayangan saja. Disebabkan saja buat ijazah secara PJJ (Pengajian Jarak Jauh), saya siapkan produk di rumah ibu dan ayah saja.

“Saya buat di dapur bahagian belakang rumah sebab pencahayaan situ baik. Di situlah tempat saya baking dan buat video. Lagipun rumah ni panjang ke belakang siap ada tiga dapur lagi.

“Apa-apa pun saya bersyukur dengan apa saya dapat sekarang. Kenderaan pun saya masih gunakan kereta Viva ibu dan ayah hadiahkan masa dapat keputusan SPM 10 tahun dulu. Target saya sekarang, selagi tak mampu nak pakai kereta Mercedes, saya tak akan tukar!” ujarnya lagi.

Dalam pada itu juga, dia yang kini memiliki hampir 140,000 pengikut di TikTok berharap lebih ramai anak muda di luar sana dapat berusaha mencari pendapatan sendiri walaupun ketika sedang mengikuti pengajian di peringkat menara gading.

Sarah teruja live TikTok mendapat sambutan sehingga ditonton lebih 1,500 orang dalam satu masa.

“Kalau rasa nak putus asa tu rehatkan diri sekejap tapi jangan putus asa. Belajar part-time sambil kerja tak sama macam pengajian sepenuh masa. Lagi perit sampai tak ada rehat sebab ada kelas dan assignment. Kenduri kahwin kawan pun tak dapat pergi.

“Kerja dengan orang gaji tak besar, sebab tu saya pilih buat bisnes. Lagipun dari kecil saya memang ada pengalaman berniaga. Saya pula sekarang ada dua adik tengah buat ijazah, seorang lagi tengah SPM jadi banyak duit nak pakai.

“Apa-apa pun kalau dah pasang niat nak berniaga atau tengah buat bisnes, teruskan. Jangan terburu-buru. Ambil masa perlahan-lahan. Kalau jatuh nanti rehat sekejap, nanti bangun balik. Jangan rehat terus pula. Kita bukan orang kaya!” ujarnya berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain