suria

Tragedi Ramadan! Kaki tersepit rim motosikal, anak tak sempat laung azan di surau - “Saya nampak isi daging, kesan rantai motor”

Keadaan anak yang dimasukkan hospital selepas kaki kanan tersepit pada rim motosikal.

SEORANG ibu tidak menyangka keterujaan anak lelakinya menyambut kedatangan Ramadan berakhir dengan tragedi.

Malang tidak berbau, anaknya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah.

"Tragedi di bulan Ramadan yang ibu tak akan lupa sampai bila-bila," tulis seorang wanita menerusi perkongsian video di laman TikTok.

Anak dimasukkan ke hospital selamat empat hari.

Berkongsi cerita kepada mStar, wanita berkenaan, Robiatul Adawiyah Muhamad Puzi berkata, insiden itu melibatkan anak lelakinya berusia 10 tahun dan berlaku pada 6 Ramadan lalu.

"Pagi itu suami nak hantar dua anak termasuk seorang yang belajar darjah satu. Saya dari tingkat dua berek polis dapat melihat mereka yang baru gerak.

"Mereka siap melambai-lambai pada saya. Baru je gerak sikit dalam 100 meter, tiba-tiba motosikal berhenti. Saya dapat dengar anak menjerit sekuat hati kesakitan.

"Dia tak pernah menjerit sekuat itu. Rupanya kaki kanan anak tersepit pada rim motosikal. Saya bergegas turun bagi melihat keadaannya," katanya kepada mStar.

Adawiyah (kiri) menjaga anaknya di hospital.

Hanya tuhan saja yang tahu perasaan wanita berusia 34 tahun ini ketika itu. Dia yang lebih mesra disapa Adawiyah mengakui cemas melihat keadaan kaki anak yang parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hidap tumor otak, bapa setia tunggu dalam 'khemah kereta'... berperang dengan nyamuk, kencing dalam botol - "Nak dekat dengan dia saya kena jimat"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan 6 tahun jatuh dari tingkat 1, bapa tergamam tengok bumbung pecah - "Dia sedar tapi senyap saja, tak menangis"

"Saya dapat lihat isi daging, takut tengok. Pada masa sama, rasa sayu tengok anak teriak kesakitan. Saya tanggalkan stoking anak, nampak kesan rantai motosikal.

"Anak berulang kali berteriak, 'ibu, Ammar (panggilan anak) tak nak kaki patah, tak nak kaki patah'. Masih terngiang-ngiang jeritannya masa tu," ujarnya yang menetap di Yan, Kedah.

Anak sulung Adawiyah (berkerusi roda) merupakan abang yang penyayang kepada adik-adiknya.

Berasal dari Pendang, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, anak sulungnya dimasukkan ke hospital selama empat hari bagi menjalani rawatan.

Menurut Adawiyah, dia bersyukur kerana pembedahan selamat dijalankan dan doktor pakar memaklumkan kaki anaknya tidak patah dan urat dalam keadaan baik.

"Syukur Alhamdulillah. Anak kini berehat di rumah untuk pulih. Sayu tengok keadaan anak, tapi saya tak tunjuk perasaan tu... di belakang dia saya menangis,” katanya yang sentiasa memberi sokongan kepada anaknya untuk terus kuat menempuhi dugaan.

Sayu tengok keadaan anak, di belakang dia saya menangis.

ROBIATUL ADAWIYAH MUHAMAD PUZI

IBU

Menyifatkan anaknya sebagai pemalu dan lemah-lembut, suri rumah itu bersyukur dan berbangga dikurniakan anak yang sangat bertanggungjawab.

"Dia banyak bantu uruskan adik-adiknya, dari memasak, beri makan minum, mandikan dan bersihkan kalau berak sekali pun. Penat-penat balik sekolah pun dia tetap rajin tolong,” katanya sambil menambah anaknya aktif bermain bola sepak dan badminton.

Anak kini berehat di rumah untuk pulih.

Dalam pada itu, Adawiyah mendedahkan pada hari kejadian sepatutnya giliran anaknya melaungkan azan di surau dekat rumah atas kemahuannya sendiri.

"Sejak 1 Ramadan lalu, anak saya setiap hari pergi solat tarawih. Dan setiap malam akan ada anak-anak yang azan di surau. Patutnya malam tu giliran dia, siap berlatih depan saya.

"Saya minta dia bersabar, tuhan nak bagi dia berehat dulu. Itu pun dia teringin ke surau walaupun sekadar solat dengan duduk di kerusi, saya beritahu tunggu sembuh," ujarnya lagi.

Bagi Adawiyah, perkongsian video mengenai insiden yang menimpa anaknya itu sebagai pengajaran kepada masyarakat terutama ibu bapa supaya berhati-hati.

"Memang perkara nak jadi, tapi kita semua sentiasa beringat dan peka. Sentiasa pesan kat anak-anak untuk pastikan mereka berhati-hati di mana jua, pada bila-bila masa," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain