suria

“Tak ada tempat dah yang aku boleh panggil rumah” - Wanita dari 'broken family' diabai sejak kecil, jadi ‘bank’ mak ayah selepas hidup senang

Wanita ini sedih kerana merasakan hidupnya seperti serba tak sempurna. -Gambar hiasan

KELUARGA adalah tunjang utama dalam kehidupan setiap insan.

Namun begitu, mempunyai sebuah keluarga bahagia dan harmoni juga merupakan satu rezeki kerana tidak semua orang berpeluang untuk memilikinya.

Melalui satu perkongsian tanpa nama di laman Twitter, seorang wanita mengakui teringin untuk mempunyai sebuah keluarga yang sempurna dan tidak bercerai berai.

Luahan asal di laman Twitter.

"Pernah tak rasa kau tak ada tempat yang kau boleh panggil sebagai rumah? Mak abah aku ada lagi, tapi aku tak bercakap dengan mereka sudah lama.

"Mereka sendiri lepas cerai dah ada keluarga sendiri. Anak-anak sedia ada diketepikan atau dianggap sebagai orang luar dan pengacau dalam rumah tangga baharu mereka berdua.

"Aku sendiri lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dikatakan merempat cari duit sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpengaruh stigma mak tiri jahat, wanita pernah beri syarat kalau calon pengganti ibunya ada anak... elak pening bapa pilih anak dara!

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hiba tengok anak merajuk ‘nak abah’! Tunggu bapa pulang cari rezeki di laut, tertidur di kusyen sampai esok - “Semua tak sayang baby”

"Walaupun aku dapat tawaran universiti, bapa aku siap-siap dah kata, dia tak ada duit. Walaupun kalau ikutkan pendapatan dia dah cecah RM8,000 ke atas. Tapi dia Iebihkan kepada keluarga baharu dia," kata wanita itu terkilan.

Wanita tersebut mengakui hidupnya terkontang-kanting dan dia dahagakan kasih sayang seorang ibu dan ayah.

"Bayangkan remaja perempuan, tak ada pengalaman hidup apa pun. Dicampak keluar. Dibiarkan keseorangan cari jalan nak hidup.

Untuk ada keluarga tidak bermaksud ia harus melalui pertalian darah, cari komuniti anda sendiri yang boleh serasi dengan anda.

NETIZEN

"Selama berapa tahun aku hidup, aku kebuluran dan tak tentu arah dalam hala tuju hidup. Pindah sana sini sebab nak cari kerja dan tempat tinggal yang selamat. Mak bapa langsung tak tolong.

"Sehinggalah aku dapat tawaran kerja dengan gaji yang Iebih baik di negeri berlainan. Semuanya berkat keputusan SPM aku yang cemerlang.

"Kemudian segalanya berubah dan apa yang berlaku membuatkan aku rasa seperti dihiris-hiris hati ini," ujar wanita itu kecewa yang teramat.

Keluarga sepatutnya adalah tempat untuk kita berasa tenang dan selesa. (Gambar hiasan, Freepik)

Wanita itu mengatakan setelah keadaan hidupnya bertambah baik, ibu bapanya mula kembali untuk mencarinya semula.

"Tiba-tiba mak bapa aku pandang aku seolah-olah seperti bank. Sedap je minta duit bayar itu ini termasuk minta aku tanggung adik-adik aku yang masih sekolah.

"Aku cuba tolong mana yang mampu. Tapi aku pun ada masalah peribadi aku sendiri, seperti politik tempat kerja termasuk gangguan seksual dengan lelaki-lelaki miang di pejabat.

"Sebab aku muda. Aku tak faham. Aku tak ada panduan hidup. Aku tak ada didikan daripada seorang ibu dan ayah," kata wanita itu yang hidupnya dirasakan begitu membebankan.

Wanita tersebut sangat menginginkan untuk mempunyai seorang bapa yang mengambil berat ke atasnya agar dia boleh berasa selamat.

"Masa ni walaupun kerja aku bagus dengan gaji yang tinggi, aku mula tak tentu arah, sebab aku kusut sangat. Aku rayu-rayu pada bapa aku, datang tengok aku dekat tempat kerja aku.

"Nak tunjuk kepada orang lain yang aku ada bapa yang ambil berat pasal aku. Tapi bapa aku tak kisah pun, aku makin teruk kena buli. Sampai satu tahap, aku berhenti kerja.

"Aku tak beritahu mak bapa aku pasal benda ni, aku nak putuskan hubungan dengan mereka. Aku cari kerja lain di negeri lain.

Sebahagian komen warga maya.

"Aku bawa diri. Tak ada tempat dah yang aku boleh panggil sebagai rumah," katanya.

Walaupun berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih baik, wanita itu mengatakan hidupnya kini hanya merana.

"Sekarang, aku wanita bujang berumur 30 lebih. Tinggal di kawasan Kuala Lumpur.. Masih hilang arah. Aku bukan liar, cuma aku dah tak kuat nak hadap semua ni seorang diri. Aku penat.

"Asal ada hari cuti, aku pergi ke hotel murah larikan diri. Sekarang bulan puasa, bayangkan aku tak ada tempat nak pergi. Aku berbuka puasa sendirian. Aku akan raya sendiri.

"Aku tak ada tempat yang aku boleh panggil sebagai rumah. Aku sedih dan pilu," kata wanita itu menoktahkan bicara.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya cuba memberikan wanita itu kata-kata semangat.

"Boleh singgah mana-mana masjid berbuka sekali ramai-ramai. Especially masjid besar macam Masjid Wilayah Persekutuan.

"Ramai lagi di luar sana yang berbuka berseorangan. Untuk ada keluarga tidak bermaksud ia harus melalui pertalian darah.

"Cari komuniti anda sendiri yang boleh serasi dengan anda, kawan dan pasangan yang anda boleh bina untuk menjadi keluarga bahagia. Jangan ulangi kesilapan ibu bapa anda, it's a cycle," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan