suria

Raya tahun ini pemilik homestay makan sedap! Mahu sembelih 4 ekor itik selepas tetamu tinggal 30 biji telur sampai menetas

Zakaria menunjukkan anak itik yang kini sudah membesar.

DULU, ketika ditinggalkan di sebuah homestay, ia hanyalah anak itik yang comel dan kini setelah membesar haiwan itu diternak menjadi itik daging.

Begitulah rezeki seorang pengusaha homestay sebuah rumah Semi-D setingkat di Pendang, Kedah, Zakaria Nazir yang tanpa dirancang membela beberapa ekor itik.

Untuk rekod, mStar sebelum ini pernah membuat liputan mengenai Zakaria selepas video tetamu meninggalkan 30 biji telur itik di homestay yang diusahakannya menjadi tular.

Sebahagian anak itik yang menetas.

Berkongsi cerita, pemuda berusia 30 tahun itu berkata, daripada 13 anak itik yang hidup pada November tahun lalu, sekarang hanya empat ekor yang tinggal.

"Banyak anak itik mati masa masih kecil, tak sampai pun sebulan selepas menetas. Baki empat ekor itik kini di kampung saya di Jitra.

"Alhamdulillah, keadaan empat ekor ni semakin sihat. Kami sekeluarga beri makan dedak dan lebihan nasi buat itik-itik ini.

"Kesemuanya adalah itik jantan dan tidak bertelur. Tinggal masa untuk disembelih jadi daging itik, kalau simpan lama-lama bimbang nanti mati," katanya kepada mStar.

Kini terdapat empat ekor itik dewasa.

Mengusahakan homestay sejak pertengahan 2021, Zakaria mengakui sewaktu kisahnya tular terdapat tawaran daripada orang luar yang mahu membeli anak-anak itik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Homestay bau bangkai sebab tetamu tinggal telur lepas check-out, pemilik gembira dapat jadi 'bapa 13 itik'

"Masa tu tak jual sebab sayang dan saya memang niat nak bela anak-anak itik tu. Lagipun saya mendapat izin daripada tetamu homestay yang meninggalkan sepapan telur tu.

"Dia pun sudah empat kali menginap di homestay saya selepas kejadian itu. Salah seorang pelanggan setia yang kerap menempah dan kali terakhir sebelum bulan puasa," ujarnya yang berasal dari Jitra dan keluarganya menetap di Kampung Bukit Berangan.

Zakaria di hadapan homestay di Pendang, Kedah.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, homestay yang diusahakannya mendapat sambutan yang menggalakan sempena Hari Raya tahun ini.

"Setiap kali raya memang ramai nak booking sebab mereka balik ke kampung halaman masing-masing untuk bercuti, jadi perlukan penginapan di kawasan sekitar.

"Alhamdulillah, tempahan kali ini lebih baik berbanding raya tahun lepas iaitu hanya tiga hari ditempah.

Raya kali lebih istimewa sebab ada itik yang kami bela.

ZAKARIA NAZIR

PENGUSAHA HOMESTAY

"Raya tahun ini tempahan sudah penuh dari 19 sehingga 26 April, iaitu lapan hari melibatkan beberapa pelanggan. Malah, ada seorang pelanggan tu dah booking sejak sebelum puasa lagi.

"Nampaknya raya tahun ini saya berulang alik antara Jitra dan Pendang kerana perlu menguruskan sendiri homestay untuk persiapan dan pembersihan sebelum tetamu seterusnya pula masuk," katanya.

Empat ekor itik yang bakal menjadi habuan hidangan hidangan raya.

Mengenai empat itik dewasa yang dibela, Zakaria yang merupakan guru Bahasa Inggeris berkata, keluarganya merancang untuk menjadikannya sebagai juadah Hari Raya nanti.

"Setiap kali raya keluarga akan berkumpul beramai-ramai. Kami akan sembelih ayam yang diternak untuk dibuat lauk.

"Raya kali ini lebih istimewa sebab ada itik. Kebiasaannya saya akan turut sama sembelih ayam dan masak di dapur.

"Cuma untuk itik-itik ni, saya tak sampai hati nak sembelih... tak tahu kenapa. Biar ayah atau abang uruskan, dan siapa yang akan memasak itik-itik itu nanti belum diputuskan," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain