suria

“Tak faham ke penat lelah aku kerja” - Gaji dibayar tak cukup, akaun digantung... rider dakwa dianiaya majikan dapat perhatian menteri

Penghantar makanan ini mendakwa dia tidak dibayar gaji penuh.

LUAHAN kekecewaan seorang penghantar makanan yang mendakwa dirinya dianiaya berhubung isu pembayaran gaji mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menerusi satu perkongsian video, pemuda itu dijemput ke pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pelawaan Menteri Besar itu ternyata menarik perhatian netizen di atas keprihatinan pemimpin itu selepas video tersebut dimuat naik di media sosial.

"Terima kasih Menteri Besar, sudi prihatin," menurut keterangan video.

Perkongsian asal di TikTok.

Kisah Saifuddin Mustafa, 28, sebelum ini tular berhubung soal pembayaran gaji membabitkan majikannya.

Pemuda itu dalam satu video mendakwa dia tidak dibayar gaji penuh oleh penyedia perkhidmatan penghantaran makanan itu.

"Di sini aku nak buat satu luahan kepada pihak Foodpanda. Sekarang ni dah nak dekat raya, ID (identifikasi pekerja) aku digantung tanpa sebab kukuh selama tiga hari bermula minggu lepas.

"Lepas tu minggu ni gaji aku sepatutnya masuk RM800 tapi mereka hanya bagi RM500, lagi RM300 saya tak dapat. Kau tak faham ke penat lelah aku kerja, RM300 tu nilai yang besar bagi aku.

"Tambah-tambah lagi dalam keadaan aku sekarang yang sangat memerlukan duit, kereta aku kena gadai RM5,000. Aku nak ambil before raya tapi dah jadi macam ni pula.

ARTIKEL BERKAITAN: Akak kerja gomen ‘panas’ tengok rider Foodpanda ada basikal mahal, syak cuma ‘acah kaya’ pinjam kawan punya

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada order, rider Foodpanda usia 20 tahun singgah surau... tiada masalah ada hamba Allah minta laung azan - “Nak belajar, jangan fikir suara tak sedap”

"Rumah sewa aku dekat kampung dah enam bulan tak bayar," jelas Saifuddin.

Saifuddin juga ada menulis melalui videonya bahawa identifikasi pekerjanya digantung kerana membatalkan pesanan walaupun servis penghantarannya mencapai kadar 100 peratus.

Tambah Saifuddin lagi, hidupnya seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana dia baru sahaja pulih dari kanser tahap tiga.

"Aku bukannya tak nak struggle cari duit dari awal tapi aku baru sahaja sihat daripada kanser tahap tiga. Aku baru sahaja sihat daripada sihir. Bulan November tahun lepas aku baru nak bangkit semula.

Foodpanda ada bagi respons, tapi saya nak cakap kenapa baru sekarang bersuara sedangkan rider dah menderita berapa lama.

SAIFUDDIN MUSTAFA

"Dengan keadaan aku kosong ni aku cuba nak teruskan hidup. Yang kerja Foodpanda di Kuala Lumpur ni, aku pinjam duit dari mak angkat aku RM1,000 untuk bayar deposit beli motosikal.

"Aku bekerja keras, lepas berbuka puasa pun aku masih di atas motosikal hantar order, kadang-kadang sahur pun aku tak sempat. Dari pukul 5 petang sampai ke subuh aku kerja," cerita Saifuddin.

Saifuddin menyatakan tindakannya untuk membawa isu ini ke media sosial adalah pilihan terakhirnya untuk mendapatkan keadilan setelah aduannya melalui e-mel tidak dilayan.

"Aku dah hantar email kepada Foodpanda, aku cakap gaji tak cukup, aku tanya kenapa gantung akaun aku? Aku dah sertakan semua bukti dah.

Saifuddin melawat pusara kedua-dua arwah ibu bapanya.

"Mereka balas, cakap apa yang mereka berikan dah cukup. Dia cakap aku kena gantung sebab cancel order.

"Itu bukan apa yang berlaku, kalau korang tak percaya korang boleh tengok rate aku, rate accept order aku ada antara 100 peratus dan 98 peratus. Tak akan la aku nak cancel order, aku perlukan duit.

"Aku nak kena bayar sewa, perlu duit nak balik raya, arwah mak aku dah tak ada, aku sedih sangat," keluh Saifuddin.

Bercakap kepada mStar secara ringkas, selepas luahannya tular di media sosial, Saifuddin mendakwa pihak Foodpanda mula memberikan maklum balas kepada aduannya.

"Foodpanda ada bagi respons, tapi saya nak cakap kenapa baru sekarang bersuara sedangkan rider dah menderita berapa lama.

"Aduan dah berapa ribu. Tapi kenapa kena tunggu viral baru nak respons," ujar Saifuddin kesal.

Perjumpaan Saifuddin bersama Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyuarakan perasaan terharunya apabila menerima sumbangan dan kata-kata semangat tanpa henti daripada masyarakat yang bersimpati atas nasibnya.

Setakat ini pihak Foodpanda masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan isu ini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berharap agar keadilan dapat ditegakkan untuk Saifuddin.

"Bila kita rasa diri kita susah, rupanya ada yang lagi susah dari kita. Semoga Allah permudahkan urusan abang ni.

"Sedih tengok kisah dia, ujian bertimpa-timpa datang, moga ada insan yang boleh bantu dia. Saya hanya boleh doa dari jauh. Semoga ada rezeki lebih besar lagi nanti untuk adik ni.

"Dengan keadaan dia yang kurang sihat lagi pun boleh ada orang sanggup tindas dia macam ni," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain