SUAMI mana tak sakit hati jika pasangan yang sudah mengikat janji untuk sehidup semati tiba-tiba berlaku curang. Apatah lagi peristiwa hitam itu berlaku di rumah sendiri, disaksikan oleh anak yang masih kecil. Walaupun sudah sembilan tahun berlalu, kisah silam yang pahit itu masih berbekas dalam bagi seorang bapa tunggal. "Balik kerja ni penat, tiba-tiba ada jantan lain belakang pintu. Kau (isteri) sanggup buat suami macam tu. "Saya bertungkus-lumus cari duit, sanggup berhutang dengan ceti lagi pasal nak membesarkan anak. "Dia tak pernah bekerja, duduk rumah saja saya minta jaga anak-anak. "Saya balik kerja, macam tu dia buat saya? Anak yang kecil beritahu saya," luahnya dengan nada kesal. Seorang lelaki mengimbas kembali mengenai kecurangan bekas isteri. Selepas kantoi curang, si isteri minta untuk berpisah dan membawa tiga anak mereka pulang ke Kedah. Bagaimanapun, dia mengambil semula anak-anaknya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang ipar bahawa anak-anaknya didera oleh bekas isteri. "Malam tu juga saya naik bas terus pergi ke Kedah. Tiga-tiga saya terus bawa balik sini," katanya yang menetap di Kuala Lumpur. ARTIKEL BERKAITAN: 'Bapa B40' buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak - "Tak mahu mereka jadi seperti saya" ARTIKEL BERKAITAN: Kisah PdPR! 'Bapa B40' menangis teresak-esak di radio, tak mampu beri pendidikan terbaik untuk 5 anak - "Mereka ketinggalan, saya nak ajar tak pandai" Difahamkan, ketika itu anak yang paling kecil baru berusia tiga tahun. Setelah sembilan tahun berlalu, bapa tunggal itu membesarkan anak-anaknya dengan rezeki bekerja sebagai tukang sapu sampah. Biar saya tak makan, tak apa. Saya nak anak-anak saya makan. BAPA TUNGGAL Menerusi satu perkongsian di TikTok, lelaki berkenaan terpaksa menyara anak-anaknya dengan berhutang pada ceti. "Pendapatannya tak cukup nak sara anak-anak. Tak sanggup nak lihat anak-anaknya lapar dan tak ke sekolah, dia terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi pada ceti. "Daripada RM1,600 gajinya, hampir separuh digunakan untuk melangsaikan hutang pokok RM300 bersama bunga (faedah) RM400 setiap bulan," demikian menurut Arba Foundation, satu gerakan bagi membasmi kemiskinan di Malaysia. Antara komen netizen mengenai luahan seorang bapa tunggal. Kisah bapa tunggal itu dikongsi selepas dia diberikan bantuan bagi menyambut Hari Raya yang bakal menjelma. Bermula dengan gaji serendah RM650 kira-kira 20 tahun lalu, pendapatannya kini masih belum mampu menyara kehidupan anak-anak di bandar. "Sampai sekarang baru seribu lebih, tak sampai dua ribu. Duduk di Kuala Lumpur kalau (gaji) tak sampai RM2,000 macam mana? "Memang saya pun penat, tapi saya tak boleh tengok anak-anak kalau kelaparan. Saya tak nak. "Biar saya tak makan, tak apa. Saya nak anak-anak saya (makan). Itu saja," katanya dengan nada sebak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!